YEHEZKIEL 1:4-9
YEHEZKIEL 1:4-9 Alkitab Berita Baik (BM)
Aku menengadah dan melihat angin ribut datang dari utara. Kilat sambar-menyambar dari awan yang amat besar, dan langit di sekelilingnya terang-benderang. Ketika kilat itu sambar-menyambar, terlihat sesuatu yang bersinar-sinar seperti gangsa. Di tengah-tengah angin ribut itu aku nampak juga empat kerub, iaitu makhluk yang menyerupai manusia, tetapi setiap makhluk mempunyai empat muka dan empat sayap. Kaki makhluk itu lurus, berkuku seperti kuku anak lembu dan bersinar-sinar seperti gangsa yang digilap. Selain empat muka dan empat sayap itu, setiap makhluk mempunyai empat tangan yang seperti tangan manusia, satu tangan di bawah setiap sayap. Dua sayap daripada setiap makhluk itu terkembang dan hujungnya bersentuhan dengan sayap makhluk yang lain sehingga keempat-empat makhluk itu membentuk segi empat. Apabila bergerak, makhluk-makhluk itu bergerak lurus ke hadapan tanpa memusingkan badan.
YEHEZKIEL 1:4-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ketika kulihat, tampak angin badai datang dari utara membawa awan besar dengan api yang sambar-menyambar. Cahaya mengelilingi awan itu. Di tengah-tengahnya, iaitu di tengah-tengah api itu, ada sesuatu seperti logam yang berkilau-kilauan. Di tengah-tengah api itu pun ada empat susuk makhluk hidup. Beginilah rupa mereka: mereka menyerupai manusia, tetapi masing-masing mempunyai empat muka dan masing-masing memiliki empat sayap. Kaki mereka lurus dan telapak kaki mereka seperti telapak kaki anak lembu. Kaki mereka itu bergemerlapan seperti gangsa yang digosok. Mereka mempunyai sepasang tangan manusia di bawah sayap yang ada pada keempat-empat sisi mereka. Keempat-empatnya mempunyai muka dan sayap, dan sayap itu bersentuhan satu sama lain. Mereka tidak berpaling ketika berjalan, masing-masing berjalan lurus ke hadapan.