KELUARAN 9:1-35

KELUARAN 9:1-35 Alkitab Berita Baik (BM)

TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap raja dan beritahulah dia bahawa TUHAN, Allah orang Ibrani berfirman, ‘Benarkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku. Jika engkau masih tidak mahu membenarkan mereka pergi, Aku akan menghukum engkau. Aku akan mendatangkan penyakit yang dahsyat kepada semua ternakanmu: kuda, keldai, unta, lembu, domba, dan kambing. Aku akan membezakan ternakan orang Israel dengan ternakan orang Mesir. Seekor pun ternakan orang Israel tidak akan mati. Aku, TUHAN telah menetapkan hari esok untuk melaksanakan hal ini.’ ” Pada keesokan harinya TUHAN melakukan seperti yang difirmankan-Nya, lalu semua ternakan orang Mesir mati, tetapi ternakan orang Israel tidak ada yang mati. Raja menanyakan apa yang telah berlaku, lalu raja diberitahu bahawa ternakan orang Israel tidak seekor pun yang mati. Namun, raja masih berdegil dan tidak mahu membenarkan orang Israel pergi. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Ambillah beberapa genggam abu dari relau. Musa harus menghamburkan abu itu ke udara di hadapan raja. Abu itu akan tersebar seperti debu halus ke seluruh tanah Mesir. Abu itu akan menimbulkan bisul yang pecah menjadi luka bernanah pada manusia dan binatang.” Oleh itu Musa dan Harun mengambil abu dari relau dan berdiri di hadapan raja. Musa menghamburkan abu itu ke udara, lalu abu itu menimbulkan bisul yang pecah menjadi luka bernanah pada manusia dan binatang. Tukang-tukang sihir tidak dapat bertemu dengan Musa kerana mereka diliputi bisul seperti orang Mesir yang lain. Tetapi TUHAN menyebabkan raja berdegil, dan sebagaimana yang telah difirmankan TUHAN, raja tidak mahu mendengarkan kata-kata Musa dan Harun. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap raja awal pagi esok, dan beritahulah dia bahawa TUHAN, Allah orang Ibrani berfirman, ‘Benarkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku. Kali ini Aku akan menghukum bukan hanya para pegawai dan rakyatmu, tetapi engkau juga, agar engkau tahu bahawa tiada sesiapa pun yang seperti Aku di seluruh dunia. Jika Aku telah menghukum engkau dan rakyatmu dengan penyakit, tentu kamu sudah binasa sama sekali. Tetapi Aku membiarkan engkau hidup untuk menunjukkan kuasa-Ku kepadamu, supaya nama-Ku termasyhur di seluruh dunia. Namun engkau masih angkuh dan tidak mahu membenarkan umat-Ku pergi. Kira-kira waktu ini esok, Aku akan menurunkan hujan batu yang lebat, yang belum pernah berlaku sepanjang sejarah negeri Mesir. Sekarang berikanlah perintah supaya ternakan dan segala kepunyaanmu yang berada di luar dibawa ke tempat terlindung. Semua manusia dan ternakan yang berada di luar dan tidak terlindung akan mati ditimpa hujan batu.’ ” Beberapa orang antara pegawai raja takut kerana firman TUHAN itu. Oleh itu, mereka membawa abdi dan ternakan mereka masuk ke dalam rumah supaya terlindung. Tetapi para pegawai yang lain tidak mempedulikan firman TUHAN dan membiarkan abdi serta ternakan mereka di luar. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Angkatlah tanganmu ke arah langit, lalu hujan batu akan turun di serata tanah Mesir. Hujan itu akan menimpa manusia, ternakan, dan segala tumbuhan di padang.” Oleh itu, Musa mengangkat tongkatnya ke arah langit, lalu TUHAN mendatangkan guruh dan hujan batu; kilat pun menyambar ke tanah. TUHAN menurunkan hujan batu yang lebat, dan kilat menyambar ke sana-sini. Itulah hujan batu yang paling dahsyat yang pernah berlaku sepanjang sejarah negeri Mesir. Di seluruh negeri Mesir, hujan batu memusnahkan segala sesuatu yang berada di luar, termasuk semua manusia dan ternakan. Hujan batu itu memusnahkan segala tumbuhan di padang dan menumbangkan semua pokok. Hanya kawasan Gosyen, tempat tinggal orang Israel, tidak ditimpa hujan batu. Kemudian raja memanggil Musa dan Harun, lalu bertitah, “Kali ini beta telah berdosa. TUHAN memang yang benar; beta dan rakyat beta bersalah. Berdoalah kepada TUHAN. Kami sudah cukup menderita kerana guruh dan hujan batu ini. Beta berjanji untuk membenarkan kamu pergi. Kamu tidak usah tinggal di sini lagi.” Musa berkata kepada raja, “Sebaik saja hamba keluar dari kota, hamba akan berdoa kepada TUHAN sambil mengangkat tangan. Guruh akan berhenti dan hujan batu akan reda, supaya tuanku tahu bahawa bumi ini milik TUHAN. Tetapi hamba tahu bahawa tuanku dan para pegawai tuanku belum takut akan TUHAN Allah.” Tanaman rami dan barli musnah, kerana barli sudah matang dan rami sedang berbunga, tetapi gandum tidak musnah kerana belum matang. Kemudian Musa meninggalkan raja dan pergi ke luar kota. Di situ dia berdoa kepada TUHAN dengan mengangkat tangan, lalu guruh, hujan batu, dan hujan berhenti. Apabila raja melihat apa yang telah terjadi, raja berdosa lagi. Raja dan para pegawainya tetap berdegil. Sebagaimana yang difirmankan TUHAN melalui Musa, raja tidak mahu membenarkan orang Israel pergi.

KELUARAN 9:1-35 Alkitab Versi Borneo (AVB)

TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap Firaun dan katakanlah kepadanya, ‘Beginilah firman TUHAN, Allah orang Ibrani, “Izinkanlah umat-Ku pergi, supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku. Sebabnya jika engkau tidak mengizinkan mereka pergi dan masih menahan mereka, maka tangan TUHAN akan mendatangkan penyakit sampar yang sangat teruk kepada ternakan kamu di padang, iaitu kuda, keldai, unta, lembu, serta domba. Tetapi TUHAN akan membezakan ternakan orang Israel daripada ternakan warga Mesir. Tidak seekor pun daripada ternakan orang Israel akan mati.” ’ ” Kemudian TUHAN menetapkan waktunya, firman-Nya, “Hari esok TUHAN akan melaksanakan hal itu di negeri ini.” Keesokan harinya, TUHAN pun melaksanakan hal itu. Semua ternakan warga Mesir mati, tetapi tidak ada seekor pun ternakan orang Israel mati. Lalu Firaun menyuruh orang memeriksa hal itu, dan benarlah, tidak seekor pun ternakan orang Israel mati. Namun demikian, hati Firaun tetap keras. Dia masih tidak mengizinkan orang Israel pergi. TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Ambillah segenggam penuh jelaga dari relau, lalu hendaklah Musa menghamburkannya ke udara di hadapan Firaun. Jelaga itu akan menjadi debu halus yang meliputi seluruh Tanah Mesir serta menjadi bisul yang pecah bernanah pada manusia dan haiwan di seluruh Tanah Mesir.” Maka mereka mengambil jelaga dari relau lalu berdiri di hadapan Firaun. Musa menghamburkan jelaga itu ke udara, lalu berjangkitlah penyakit bisul yang pecah bernanah pada manusia serta haiwan. Para ahli ilmu sihir tidak dapat berdiri lagi di hadapan Musa akibat bisul-bisul itu, kerana bisul itu juga menjangkiti para ahli ilmu sihir, seperti semua warga Mesir yang lain. Tetapi TUHAN mengeraskan hati Firaun sehingga dia tidak mahu mendengar kata kedua-duanya, sebagaimana yang telah TUHAN firmankan kepada Musa. TUHAN berfirman kepada Musa, “Bangunlah pagi-pagi, dan berdirilah di hadapan Firaun dan katakanlah kepadanya, ‘Beginilah firman TUHAN, Allah orang Ibrani, “Izinkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku, kerana kali ini Aku akan melepaskan segala azab-Ku atas dirimu, atas para pegawaimu, serta atas rakyatmu, supaya engkau tahu bahawa tidak ada yang seperti Aku di seluruh bumi. Sekarang pun Aku boleh sahaja menghulurkan tangan-Ku untuk mengazab engkau dan rakyatmu dengan wabak penyakit sehingga engkau lenyap dari bumi. Akan tetapi, untuk tujuan ini Aku membiarkan engkau hidup, iaitu supaya Aku dapat memperlihatkan kepadamu kuasa-Ku, dan supaya nama-Ku termasyhur di seluruh bumi. Meskipun demikian, engkau masih sahaja meninggikan diri terhadap umat-Ku dan tidak mengizinkan mereka pergi. Sesungguhnya esok, pada waktu seperti ini, Aku akan menurunkan hujan batu yang sangat kuat, yang belum pernah terjadi di Mesir sejak Mesir diwujudkan sampai sekarang ini. Sekarang, suruhlah orang mengandangkan ternakan kamu dan segala sesuatu yang kaumiliki di padang. Semua orang dan haiwan yang ada di padang dan tidak dibawa masuk ke rumah akan mati ditimpa oleh hujan batu itu.” ’ ” Maka beberapa orang daripada pegawai Firaun yang takut kepada firman TUHAN melarikan para hamba serta ternakan masing-masing ke rumah. Tetapi orang yang tidak mengendahkan firman TUHAN meninggalkan para hamba serta ternakan mereka di padang. Firman TUHAN kepada Musa, “Hulurkanlah tanganmu ke langit supaya hujan batu turun di seluruh Tanah Mesir dan melanda manusia, haiwan, serta segala tumbuhan di padang, di Tanah Mesir.” Musa pun menghulurkan tongkatnya ke langit, lalu TUHAN mendatangkan guruh dan hujan batu, serta menurunkan api pula ke bumi. TUHAN menghujani Tanah Mesir dengan hujan batu. Hujan batu turun dan api sambar-menyambar di tengah-tengah hujan batu itu dengan sangat hebatnya. Belum pernah terjadi hal sebegitu di seluruh Tanah Mesir sejak Mesir menjadi sebuah negara. Hujan batu itu membinasakan segala sesuatu yang ada di padang di seluruh Tanah Mesir, baik manusia mahupun haiwan. Maka rosaklah dan binasalah segala tumbuhan serta pokok akibat hujan batu itu. Hanya di Tanah Gosyen, iaitu tempat tinggal orang Israel, hujan batu tidak turun. Maka Firaun menyuruh agar Musa dan Harun dipanggil. Lalu katanya kepada mereka, “Kali ini aku telah berdosa. TUHAN itulah yang benar, sedangkan aku dan rakyatku bersalah. Berdoalah kepada TUHAN. Cukuplah sudah guruh yang luar biasa dan hujan batu ini. Aku akan mengizinkan kamu pergi. Tidak usah lagi kamu tinggal di sini.” Kata Musa kepadanya, “Apabila aku sudah keluar dari kota ini, aku akan menadahkan tanganku kepada TUHAN. Guruh akan berhenti dan hujan batu tidak akan turun lagi, supaya engkau tahu bahawa bumi ini milik TUHAN. Akan tetapi, aku tahu bahawa sesungguhnya engkau dan para pegawaimu belum juga takut kepada TUHAN Allah.” Pada masa itu musnah segala tumbuhan rami dan barli, kerana barli sedang berbulir dan rami sedang berbunga. Tetapi gandum dan sekoi yang belum tumbuh itu tidak musnah. Musa keluar dari kota itu meninggalkan Firaun, lalu dia menadahkan tangannya kepada TUHAN. Maka berhentilah guruh dan hujan batu, dan hujan tidak lagi mencurah-curah ke atas bumi. Namun begitu, apabila Firaun melihat bahawa hujan, hujan batu, dan guruh sudah berhenti, dia kembali berbuat dosa dan mengeraskan hatinya. Begitu jugalah para pegawainya. Hati Firaun tetap keras dan dia tidak mengizinkan orang Israel pergi, sebagaimana yang telah difirmankan oleh TUHAN dengan perantaraan Musa.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami