KELUARAN 8:1-32

KELUARAN 8:1-32 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap raja dan beritahulah dia bahawa TUHAN berfirman, ‘Benarkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku. Jika engkau menolak, Aku akan memenuhi negerimu dengan katak sebagai hukuman. Sungai Nil akan terlalu penuh dengan katak, sehingga katak keluar dari air lalu masuk ke dalam istanamu, ke dalam bilik tidur dan ke atas katilmu, serta ke rumah para pegawaimu dan rakyatmu, bahkan ke dalam ketuhar roti dan tempat adunan roti. Katak akan melompat ke atasmu, rakyatmu, dan semua pegawaimu.’ ” TUHAN berfirman kepada Musa, “Suruhlah Harun menghulurkan tongkatnya ke atas sungai, saluran air, dan kolam, supaya katak akan muncul dan memenuhi seluruh tanah Mesir.” Harun menghulurkan tongkatnya ke atas air, maka katak-katak muncul sehingga meliputi seluruh negeri itu. Tetapi tukang-tukang sihir Mesir juga menggunakan ilmu sihir, dan menyebabkan katak-katak muncul sehingga meliputi seluruh negeri. Raja memanggil Musa dan Harun, lalu bertitah, “Berdoalah kepada TUHAN supaya Dia menghapuskan katak-katak ini, maka beta akan membenarkan bangsa kamu pergi, agar mereka dapat mempersembahkan korban kepada TUHAN.” Musa berkata kepada raja, “Hamba bersedia berdoa untuk tuanku. Tentukanlah masanya, lalu hamba akan berdoa untuk tuanku, para pegawai, dan rakyat tuanku. Tuanku akan dibebaskan daripada katak-katak itu, dan tiada lagi yang akan tinggal kecuali katak yang di dalam Sungai Nil.” Raja menjawab, “Berdoalah untuk beta esok.” Musa berkata, “Hamba akan berdoa sebagaimana tuanku minta, maka tuanku akan tahu bahawa tidak ada yang seperti TUHAN, Allah hamba semua. Katak-katak itu akan dijauhkan daripada tuanku, rumah-rumah tuanku, para pegawai, dan rakyat tuanku. Tiada lagi katak yang akan tinggal kecuali yang di dalam Sungai Nil.” Kemudian Musa dan Harun meninggalkan raja. Musa berdoa kepada TUHAN supaya menghapuskan katak-katak yang didatangkan-Nya kepada raja. TUHAN mengabulkan permintaan Musa lalu katak-katak di dalam rumah, di halaman, dan di ladang, semuanya mati. Orang Mesir mengumpulkan bangkai-bangkai katak itu sampai bertimbun-timbun, sehingga seluruh negeri berbau busuk. Apabila raja nampak bahawa semua katak sudah mati, raja menjadi degil semula. Raja tidak mahu mendengarkan kata-kata Musa dan Harun, sebagaimana yang telah difirmankan TUHAN. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Suruhlah Harun memukul tanah dengan tongkatnya, dan debu akan berubah menjadi agas di seluruh negeri Mesir.” Oleh itu Harun memukul tanah dengan tongkatnya, lalu debu di seluruh negeri Mesir berubah menjadi agas yang mengerumuni manusia dan haiwan. Tukang-tukang sihir cuba menggunakan ilmu sihir mereka untuk mengadakan agas, tetapi tidak berjaya. Agas terdapat di merata tempat. Tukang-tukang sihir itu berkata kepada raja, “Allah telah melakukan hal ini!” Tetapi raja masih berdegil dan tidak mahu mendengarkan kata-kata Musa dan Harun, sebagaimana yang telah difirmankan TUHAN. TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap raja awal pagi esok, ketika dia pergi ke sungai. Beritahulah dia bahawa TUHAN berfirman, ‘Benarkanlah umat-Ku pergi beribadat kepada-Ku. Jika engkau menolak, Aku akan mendatangkan lalat kepadamu, para pegawaimu, dan rakyatmu. Rumah-rumah orang Mesir, bahkan seluruh negeri akan diliputi lalat. Tetapi Aku akan membuat kekecualian bagi kawasan Gosyen, tempat umat-Ku tinggal. Lalat tidak akan terdapat di sana. Aku melakukan hal ini supaya engkau tahu bahawa Aku, TUHAN, berkuasa di negeri ini. Aku akan membuat perbezaan antara umat-Ku dan rakyatmu. Mukjizat ini akan berlaku pada hari esok.’ ” TUHAN mendatangkan lalat yang banyak sekali ke istana raja dan ke rumah para pegawainya. Seluruh negeri Mesir sangat menderita kerana lalat-lalat itu. Kemudian raja memanggil Musa dan Harun lalu bertitah, “Pergilah persembahkan korban kepada Allah kamu di negeri ini.” Tetapi Musa menjawab, “Hamba sekalian tidak boleh berbuat begitu, kerana orang Mesir akan tersinggung apabila melihat hamba semua mempersembahkan binatang sebagai korban kepada TUHAN, Allah hamba semua. Jika hamba sekalian menggunakan binatang yang menyinggung perasaan mereka, hamba semua akan direjam sampai mati oleh mereka. Hamba sekalian mesti pergi ke padang gurun sejauh tiga hari perjalanan untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah hamba semua, sebagaimana yang telah diperintahkan-Nya.” Raja bertitah, “Beta akan membenarkan kamu pergi ke padang gurun untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah kamu, asal kamu tidak pergi terlalu jauh. Berdoalah untuk beta.” Musa menjawab, “Sebaik saja hamba pergi, hamba akan berdoa kepada TUHAN agar esok lalat-lalat itu meninggalkan tuanku, para pegawai, dan rakyat tuanku. Tetapi janganlah tipu hamba sekalian lagi, dan jangan halang orang Israel pergi untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN.” Musa meninggalkan raja lalu berdoa kepada TUHAN. TUHAN mengabulkan doa Musa. Lalat-lalat meninggalkan raja, para pegawai, dan rakyatnya; tiada seekor pun yang tertinggal. Tetapi kali ini pun raja berdegil, dan tidak mahu membenarkan bangsa itu pergi.

KELUARAN 8:1-32 Alkitab Versi Borneo (AVB)

TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap Firaun dan katakanlah kepadanya, ‘Beginilah firman TUHAN, “Izinkanlah umat-Ku pergi, supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku. Jika kamu tidak mengizinkan mereka pergi, maka Aku akan mengazabkan seluruh daerahmu dengan mendatangkan katak. Sungai Nil akan berlimpah dengan katak dan katak-katak itu akan naik lalu masuk ke dalam istanamu, ke dalam bilik tidurmu, dan ke atas tempat tidurmu. Juga ke dalam rumah para pegawaimu dan rakyatmu, ke dalam tempat pembakaran rotimu, serta ke dalam tempat adunanmu. Katak-katak itu pun akan naik memanjati kamu, rakyatmu, dan semua pegawaimu.” ’ ” Firman TUHAN lagi kepada Musa, “Katakanlah kepada Harun, ‘Hulurkanlah tanganmu dengan tongkatmu ke atas segala sungai, terusan, serta kolam, dan buatlah supaya muncul segala katak di atas Tanah Mesir.’ ” Harun pun menghulurkan tangannya ke atas perairan Mesir, lalu muncullah katak lalu menutupi Tanah Mesir. Para ahli sihir turut melakukan hal yang sama dengan ilmu mereka lalu membuat katak turut muncul serta melitupi Tanah Mesir. Kemudian Firaun memanggil Musa dan Harun serta berkata, “Berdoalah kepada TUHAN supaya Dia menyingkirkan kesemua katak itu daripadaku dan daripada rakyatku, maka aku akan mengizinkan orang Israel itu pergi supaya mereka dapat mempersembahkan korban kepada TUHAN.” Kata Musa kepada Firaun, “Katakan sahaja kepadaku bila harus aku berdoa untukmu, untuk para pegawaimu, dan untuk rakyatmu supaya katak-katak itu disingkirkan daripadamu dan dari rumah-rumahmu, sehingga ada di Sungai Nil sahaja.” Kata Firaun, “Esok.” Lalu kata Musa, “Jadilah seperti katamu itu, supaya engkau tahu bahawa tidak ada yang seperti TUHAN, Allah kami. Katak-katak itu akan disingkirkan daripadamu, dari rumah-rumahmu, daripada para pegawaimu, dan daripada rakyatmu hingga ada di Sungai Nil sahaja.” Setelah Musa dan Harun keluar meninggalkan Firaun, berserulah Musa kepada TUHAN tentang katak-katak yang telah Dia datangkan kepada Firaun, dan TUHAN mengabulkan permintaan Musa. Matilah kesemua katak di segala rumah, halaman, dan ladang. Bangkai katak yang dikumpulkan itu bertimbun-timbun sehingga tanah itu berbau busuk. Namun begitu, apabila Firaun melihat ada kelegaan, maka dikeraskan lagi hatinya dan enggan mendengar permintaan kedua-duanya, seperti yang telah difirmankan oleh TUHAN. TUHAN berfirman kepada Musa, “Katakanlah kepada Harun, ‘Hulurkanlah tongkatmu dan pukullah debu tanah, maka debu itu berubah menjadi agas di seluruh Tanah Mesir.’ ” Mereka pun melaksanakan hal itu. Harun menghulurkan tangannya dengan tongkatnya, lalu dipukulnya debu tanah. Maka muncullah agas yang tidak terhingga banyaknya lalu hinggap pada manusia dan binatang. Semua debu tanah berubah menjadi agas di seluruh Tanah Mesir. Para ahli ilmu sihir turut berusaha memunculkan agas dengan ilmu mereka, tetapi mereka tidak berdaya melakukannya. Maka berkerumunlah segala agas itu menghinggapi manusia dan binatang. Lantas berkatalah para ahli ilmu sihir itu kepada Firaun, “Inilah kuasa Allah.” Tetapi hati Firaun tetap keras dan dia enggan mendengar permintaan mereka, sebagaimana yang telah difirmankan oleh TUHAN. TUHAN berfirman kepada Musa, “Bangunlah pagi-pagi, lalu nantikanlah Firaun ketika lazimnya dia keluar ke sungai. Katakanlah kepadanya, ‘Beginilah firman TUHAN, “Izinkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku, kerana jika engkau tidak mengizinkan umat-Ku pergi, maka akan Kubuat kawanan lalat mendatangimu, mendatangi para pegawaimu, rakyatmu, serta rumah-rumahmu. Rumah orang Mesir akan penuh dengan kawanan lalat, dan begitu jugalah bumi yang dipijak mereka itu. Akan tetapi, pada hari itu Aku akan mengecualikan Tanah Gosyen yang dihuni para umat-Ku. Di sana tidak akan ada kawanan lalat, supaya engkau tahu bahawa Akulah, TUHAN, yang hadir di tengah-tengah tanah ini. Aku akan mengadakan perbezaan antara umat-Ku dengan rakyatmu. Esok mukjizat ini akan terjadi.” ’ ” Maka TUHAN pun berbuat demikian. Maka datanglah begitu banyak kawanan lalat yang masuk ke dalam istana Firaun, ke dalam rumah para pegawainya, dan ke seluruh Tanah Mesir. Rosaklah negeri itu akibat kawanan lalat itu. Lalu Firaun memanggil Musa dan Harun. Katanya, “Pergilah, persembahkanlah korban kepada Allahmu di negeri ini.” Tetapi Musa berkata, “Kami tidak dapat berbuat demikian, kerana korban yang hendak kami persembahkan kepada TUHAN, Allah kami, ialah sesuatu yang dipandang keji oleh warga Mesir. Apabila kami mempersembahkan korban yang dipandang keji oleh warga Mesir di hadapan mata mereka, tidakkah mereka akan merejam kami? Kami perlu pergi ke gurun yang berada sejauh tiga hari perjalanan, dan mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah kami, sebagaimana yang Dia firmankan kepada kami.” Kata Firaun, “Aku akan mengizinkan kamu pergi mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allahmu, di gurun. Hanya, janganlah pergi terlalu jauh, dan berdoalah untukku.” Kata Musa, “Lihatlah, aku akan keluar meninggalkan kamu dan aku akan berdoa kepada TUHAN supaya esok kawanan lalat ini disingkirkan daripada Firaun, daripada para pegawainya, serta rakyatnya. Hanya, janganlah Firaun berbohong lagi dengan tidak mengizinkan umat ini pergi mempersembahkan korban kepada TUHAN.” Setelah itu keluarlah Musa meninggalkan Firaun, lalu berdoa kepada TUHAN. TUHAN pun mengabulkan permintaan Musa lalu Dia menyingkirkan kawanan lalat itu daripada Firaun, daripada para pegawainya, serta rakyatnya, sehingga tidak ada seekor pun yang tertinggal. Namun demikian, kali ini juga, Firaun mengeraskan hatinya dan tidak mengizinkan umat itu pergi.