KELUARAN 7:8-13
KELUARAN 7:8-13 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Jika raja minta kamu melakukan keajaiban sebagai bukti, suruhlah Harun mengambil tongkatnya dan mencampakkan tongkat itu di hadapan raja. Tongkat itu akan berubah menjadi ular.” Oleh itu Musa dan Harun pergi menghadap raja dan melakukan hal seperti yang diperintahkan TUHAN. Harun mencampakkan tongkatnya di hadapan raja dan para pegawainya, lalu tongkat itu berubah menjadi ular. Selepas itu raja memanggil orang yang berilmu dan para tukang sihir, lalu dengan ilmu sihir, mereka melakukan perkara yang sama. Mereka mencampakkan tongkat-tongkat mereka, lalu tongkat-tongkat itu berubah menjadi ular. Tetapi tongkat Harun menelan tongkat-tongkat mereka. Namun raja tetap berdegil dan tidak mahu mendengar kata-kata Musa dan Harun, seperti yang sudah difirmankan TUHAN.
KELUARAN 7:8-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)
TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun demikian, “Apabila Firaun berkata kepada kamu begini, ‘Tunjukkanlah suatu mukjizat,’ maka haruslah kamu katakan kepada Harun, ‘Ambillah tongkatmu dan campakkanlah di hadapan Firaun, kemudian tongkat itu akan menjadi ular.’ ” Maka pergilah Musa dan Harun menghadap Firaun, lalu mereka melaksanakan apa yang diperintahkan oleh TUHAN. Harun mencampakkan tongkatnya di hadapan Firaun dan di hadapan para pegawainya, lalu tongkat itu menjadi ular. Kemudian Firaun memanggil orang berilmu serta para ahli sihir. Mereka, iaitu para ahli ilmu sihir Mesir itu, menggunakan ilmu mereka lalu turut membuat perkara yang sama. Masing-masing mencampakkan tongkatnya, lalu tongkat-tongkat itu menjadi ular. Tetapi tongkat Harun menelan tongkat-tongkat mereka. Meskipun begitu, hati Firaun tetap keras dan dia enggan mendengar permintaan Musa dan Harun, sebagaimana yang telah difirmankan oleh TUHAN.