KELUARAN 6:2-8
KELUARAN 6:2-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Aku telah menampakkan diri kepada Abraham, Ishak, dan Yakub sebagai Allah Yang Maha Kuasa, tetapi Aku tidak memperkenalkan diri kepada mereka dengan nama-Ku yang suci, iaitu TUHAN. Aku juga telah membuat perjanjian dengan mereka. Aku berjanji untuk memberi mereka tanah Kanaan, tanah tempat mereka dahulu tinggal sebagai orang asing. Aku telah mendengar keluhan orang Israel yang diperhamba oleh bangsa Mesir, lalu Aku mengingat perjanjian-Ku itu. Oleh itu, beritahulah orang Israel bahawa Aku berfirman kepada mereka, ‘Akulah TUHAN; Aku akan membebaskan kamu daripada perhambaan orang Mesir. Aku akan menggunakan kuasa-Ku yang besar untuk menyelamatkan kamu dan untuk menjatuhkan hukuman berat ke atas bangsa Mesir. Aku akan menjadikan kamu umat-Ku sendiri, dan Aku akan menjadi Allah kamu. Kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah kamu, apabila Aku membebaskan kamu daripada perhambaan di negeri Mesir. Aku akan membawa kamu masuk ke negeri yang telah Aku janjikan dengan sumpah untuk diberikan kepada Abraham, Ishak, dan Yakub. Aku akan memberikan tanah itu kepada kamu sebagai milik kamu sendiri. Akulah TUHAN.’ ” Musa menyampaikan semua firman itu kepada orang Israel, tetapi mereka tidak mahu mendengarkan kata-katanya, kerana perhambaan yang kejam itu telah menyebabkan mereka putus asa.
KELUARAN 6:2-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian berfirmanlah Allah kepada Musa, “Akulah TUHAN. Aku telah menampakkan diri kepada Abraham, Ishak, dan Yakub sebagai Allah Yang Maha Kuasa, tetapi Aku belum menyatakan diri dengan sepenuh makna nama-Ku, TUHAN. Aku juga sudah menetapkan perjanjian-Ku dengan mereka untuk mengurniakan Tanah Kanaan kepada mereka, iaitu tempat mereka tinggal sebagai pendatang. Aku telah mendengar rintihan orang Israel yang diperhamba oleh warga Mesir, dan Aku ingat akan perjanjian-Ku. Maka katakanlah kepada orang Israel, ‘Akulah TUHAN. Aku akan membebaskan kamu daripada beban kerahan kerja paksa oleh warga Mesir. Aku akan melepaskan kamu daripada perhambaan mereka, dan menebus kamu dengan lengan yang terhulur dan hukuman yang besar. Aku akan mengangkat kamu menjadi umat-Ku dan Aku akan menjadi Allahmu. Kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allahmu, yang membebaskan kamu daripada beban kerahan kerja paksa oleh warga Mesir. Aku akan membawa kamu ke negeri yang dengan bersumpah Aku berjanji akan Kukurniakan kepada Abraham, Ishak, dan Yakub. Aku akan mengurniakannya kepadamu untuk menjadi milikmu. Akulah TUHAN.’ ”