KELUARAN 6:1-9

KELUARAN 6:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Lalu berfirmanlah TUHAN kepada Musa, “Sekarang kamu akan melihat apa yang akan Kulakukan terhadap Firaun, kerana hanya setelah dipaksa oleh tangan yang kuat barulah dia akan mengizinkan orang Israel pergi. Ya, dengan dipaksa oleh tangan yang kuat barulah dia akan mengusir mereka dari tanahnya.” Kemudian berfirmanlah Allah kepada Musa, “Akulah TUHAN. Aku telah menampakkan diri kepada Abraham, Ishak, dan Yakub sebagai Allah Yang Maha Kuasa, tetapi Aku belum menyatakan diri dengan sepenuh makna nama-Ku, TUHAN. Aku juga sudah menetapkan perjanjian-Ku dengan mereka untuk mengurniakan Tanah Kanaan kepada mereka, iaitu tempat mereka tinggal sebagai pendatang. Aku telah mendengar rintihan orang Israel yang diperhamba oleh warga Mesir, dan Aku ingat akan perjanjian-Ku. Maka katakanlah kepada orang Israel, ‘Akulah TUHAN. Aku akan membebaskan kamu daripada beban kerahan kerja paksa oleh warga Mesir. Aku akan melepaskan kamu daripada perhambaan mereka, dan menebus kamu dengan lengan yang terhulur dan hukuman yang besar. Aku akan mengangkat kamu menjadi umat-Ku dan Aku akan menjadi Allahmu. Kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allahmu, yang membebaskan kamu daripada beban kerahan kerja paksa oleh warga Mesir. Aku akan membawa kamu ke negeri yang dengan bersumpah Aku berjanji akan Kukurniakan kepada Abraham, Ishak, dan Yakub. Aku akan mengurniakannya kepadamu untuk menjadi milikmu. Akulah TUHAN.’ ” Namun begitu, apabila Musa menyampaikan kata-kata itu kepada orang Israel, mereka yang terlalu sedih dengan penindasan daripada beban perhambaan atas mereka itu langsung tidak mahu mendengar kata-kata Musa itu.