KELUARAN 6:1-13

KELUARAN 6:1-13 Alkitab Berita Baik (BM)

Allah berfirman kepada Musa, “Akulah TUHAN. Aku telah menampakkan diri kepada Abraham, Ishak, dan Yakub sebagai Allah Yang Maha Kuasa, tetapi Aku tidak memperkenalkan diri kepada mereka dengan nama-Ku yang suci, iaitu TUHAN. Aku juga telah membuat perjanjian dengan mereka. Aku berjanji untuk memberi mereka tanah Kanaan, tanah tempat mereka dahulu tinggal sebagai orang asing. Aku telah mendengar keluhan orang Israel yang diperhamba oleh bangsa Mesir, lalu Aku mengingat perjanjian-Ku itu. Oleh itu, beritahulah orang Israel bahawa Aku berfirman kepada mereka, ‘Akulah TUHAN; Aku akan membebaskan kamu daripada perhambaan orang Mesir. Aku akan menggunakan kuasa-Ku yang besar untuk menyelamatkan kamu dan untuk menjatuhkan hukuman berat ke atas bangsa Mesir. Aku akan menjadikan kamu umat-Ku sendiri, dan Aku akan menjadi Allah kamu. Kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah kamu, apabila Aku membebaskan kamu daripada perhambaan di negeri Mesir. Aku akan membawa kamu masuk ke negeri yang telah Aku janjikan dengan sumpah untuk diberikan kepada Abraham, Ishak, dan Yakub. Aku akan memberikan tanah itu kepada kamu sebagai milik kamu sendiri. Akulah TUHAN.’ ” Musa menyampaikan semua firman itu kepada orang Israel, tetapi mereka tidak mahu mendengarkan kata-katanya, kerana perhambaan yang kejam itu telah menyebabkan mereka putus asa. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap raja Mesir dan katakan bahawa dia mesti membenarkan orang Israel meninggalkan negerinya.” Tetapi Musa menjawab, “Orang Israel sendiri tidak mahu mendengarkan kata-kataku, apalagi raja Mesir. Aku tidak pandai berkata-kata.” Tetapi TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Beritahulah orang Israel dan raja Mesir bahawa Aku telah memerintah engkau untuk memimpin orang Israel keluar dari Mesir.” Inilah salasilah Musa dan Harun: Ruben, anak sulung Yakub, mempunyai empat orang anak lelaki: Henokh, Palu, Hezron, dan Karmi. Merekalah nenek moyang puak-puak dalam suku Ruben.

KELUARAN 6:1-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Lalu berfirmanlah TUHAN kepada Musa, “Sekarang kamu akan melihat apa yang akan Kulakukan terhadap Firaun, kerana hanya setelah dipaksa oleh tangan yang kuat barulah dia akan mengizinkan orang Israel pergi. Ya, dengan dipaksa oleh tangan yang kuat barulah dia akan mengusir mereka dari tanahnya.” Kemudian berfirmanlah Allah kepada Musa, “Akulah TUHAN. Aku telah menampakkan diri kepada Abraham, Ishak, dan Yakub sebagai Allah Yang Maha Kuasa, tetapi Aku belum menyatakan diri dengan sepenuh makna nama-Ku, TUHAN. Aku juga sudah menetapkan perjanjian-Ku dengan mereka untuk mengurniakan Tanah Kanaan kepada mereka, iaitu tempat mereka tinggal sebagai pendatang. Aku telah mendengar rintihan orang Israel yang diperhamba oleh warga Mesir, dan Aku ingat akan perjanjian-Ku. Maka katakanlah kepada orang Israel, ‘Akulah TUHAN. Aku akan membebaskan kamu daripada beban kerahan kerja paksa oleh warga Mesir. Aku akan melepaskan kamu daripada perhambaan mereka, dan menebus kamu dengan lengan yang terhulur dan hukuman yang besar. Aku akan mengangkat kamu menjadi umat-Ku dan Aku akan menjadi Allahmu. Kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allahmu, yang membebaskan kamu daripada beban kerahan kerja paksa oleh warga Mesir. Aku akan membawa kamu ke negeri yang dengan bersumpah Aku berjanji akan Kukurniakan kepada Abraham, Ishak, dan Yakub. Aku akan mengurniakannya kepadamu untuk menjadi milikmu. Akulah TUHAN.’ ” Namun begitu, apabila Musa menyampaikan kata-kata itu kepada orang Israel, mereka yang terlalu sedih dengan penindasan daripada beban perhambaan atas mereka itu langsung tidak mahu mendengar kata-kata Musa itu. TUHAN berfirman pula kepada Musa, “Pergilah dan katakanlah kepada Firaun, raja Mesir, supaya dia mengizinkan orang Israel pergi dari negerinya.” Tetapi Musa berkata kepada TUHAN, “Orang Israel manakala enggan mendengar hamba-Mu ini, bagaimana mungkin Firaun akan mendengar kata-kata hamba-Mu ini. Apatah lagi, hamba seorang yang tidak petah lidahnya?” Tetapi TUHAN berfirman lagi kepada Musa dan Harun serta mengutus mereka kepada orang Israel dan kepada Firaun, raja Mesir, untuk membawa orang Israel keluar dari Tanah Mesir.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami