KELUARAN 5:1-22

KELUARAN 5:1-22 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian Musa dan Harun pergi menghadap raja Mesir dan berkata, “Demikianlah firman TUHAN, Allah umat Israel, ‘Benarkanlah umat-Ku pergi agar mereka dapat beribadat kepada-Ku di padang gurun.’ ” “Siapakah TUHAN itu?” tanya raja. “Mengapakah beta harus mendengarkan dia dan membenarkan orang Israel pergi? Beta tidak kenal akan TUHAN itu, dan beta tidak akan membenarkan orang Israel pergi.” Musa dan Harun berkata, “Allah orang Ibrani telah menampakkan diri kepada hamba berdua. Benarkanlah hamba sekalian pergi ke padang gurun sejauh tiga hari perjalanan untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah hamba semua. Jika hamba sekalian tidak melakukan hal ini, Dia akan membunuh hamba semua dengan penyakit atau peperangan.” Raja bertitah kepada Musa dan Harun, “Mengapa kamu menyebabkan semua orang itu melalaikan pekerjaan mereka? Suruhlah abdi-abdi itu bekerja! Bangsa kamu sudah lebih banyak daripada orang Mesir. Sekarang kamu mahu mereka berhenti bekerja!” Pada hari itu juga raja Mesir memberikan perintah kepada pengerah-pengerah abdi berbangsa Mesir dan mandur-mandur berbangsa Israel. Raja bertitah, “Jangan berikan jerami kepada bangsa itu untuk membuat batu bata. Biarlah mereka pergi mencarinya sendiri. Tetapi suruhlah mereka membuat batu bata sebanyak dahulu; jangan kurangkan bilangannya walau seketul pun. Mereka tidak mempunyai cukup pekerjaan, itulah sebabnya mereka minta dibenarkan pergi untuk mempersembahkan korban kepada Allah mereka. Paksalah umat itu bekerja lebih keras lagi, supaya mereka sibuk dengan pekerjaan dan tidak mempunyai masa untuk mendengar cerita-cerita bohong.” Pengerah-pengerah abdi berbangsa Mesir dan mandur-mandur berbangsa Israel keluar lalu berkata kepada orang Israel, “Raja memberikan perintah bahawa kamu tidak diberikan jerami lagi. Kamu sendiri mesti pergi mencari jerami di mana sahaja kamu boleh mendapatinya. Tetapi kamu mesti membuat batu bata sebanyak dahulu.” Oleh itu orang Israel menjelajahi seluruh negeri Mesir untuk mencari jerami. Para pengerah abdi terus mendesak agar setiap hari orang Israel membuat batu bata sebanyak yang dibuat pada masa mereka diberikan jerami dahulu. Pengerah-pengerah abdi memukul mandur-mandur berbangsa Israel yang telah ditugaskan untuk mengawasi pekerjaan itu. Mereka bertanya, “Mengapa kamu tidak membuat batu bata sebanyak dahulu?” Kemudian mandur-mandur itu pergi menghadap raja dan mengadu, “Mengapakah tuanku melakukan hal ini kepada hamba sekalian? Hamba semua tidak diberikan jerami, namun hamba sekalian dipaksa membuat batu bata. Sekarang, hamba semua dipukul pula, padahal pegawai-pegawai tuanku itulah yang bersalah.” Raja menjawab, “Kamu memang malas dan tidak mahu bekerja. Itulah sebabnya kamu minta dibenarkan pergi untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN. Sekarang pergilah bekerja lagi. Jerami tidak akan diberikan kepada kamu, tetapi kamu mesti membuat batu bata sebanyak dahulu.” Mandur-mandur itu sedar bahawa mereka dalam kesusahan apabila diberitahu bahawa setiap hari mereka mesti tetap membuat batu bata sebanyak dahulu. Apabila mandur-mandur keluar dari istana, mereka bertemu dengan Musa dan Harun, yang sedang menunggu mereka. Mandur-mandur itu berkata kepada Musa dan Harun, “TUHAN melihat apa yang telah kamu lakukan. Dia akan menghukum kamu! Kamulah yang menyebabkan raja dan pegawai-pegawainya membenci kami. Kamu telah memberi mereka alasan untuk membunuh kami.” Kemudian Musa menghadap TUHAN lagi dan berkata, “Ya Tuhan, mengapa Engkau menganiaya umat-Mu? Mengapa Engkau menghantar aku ke sini?

KELUARAN 5:1-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sesudah itu, pergilah Musa dan Harun menghadap Firaun lalu berkata, “Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Izinkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat mengadakan perayaan bagi-Ku di gurun.’ ” Tetapi kata Firaun, “Siapakah TUHAN itu sehingga aku harus mematuhi-Nya dan mengizinkan orang Israel pergi? Aku tidak kenal akan TUHAN itu dan aku tidak mengizinkan orang Israel pergi.” Kemudian mereka berkata, “Allah orang Ibrani menemui kami. Izinkanlah kami pergi sejauh tiga hari perjalanan ke gurun dan mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah kami, supaya Dia tidak mengazab kami dengan wabak penyakit atau dengan pedang.” Tetapi kata raja Mesir kepada mereka, “Musa dan Harun, mengapakah kamu membuat orang Israel untuk melalaikan pekerjaan mereka? Kembali bekerja kamu!” Tambah Firaun lagi, “Lihat, sekarang bangsa itu sudah begitu ramai di negeri ini, dan kamu mahu menghentikan mereka daripada pekerjaan mereka.” Maka pada hari itu juga Firaun memberikan perintah demikian kepada para tukang kerah orang Israel itu dan kepada para mandur mereka, “Jangan lagi kamu beri bangsa itu jerami untuk membuat batu bata seperti sebelumnya. Biarkan mereka sendiri pergi mengumpulkan jerami. Namun begitu, jumlah batu bata yang perlu dibuat mereka mestilah sama banyaknya dengan yang dibuat mereka sebelumnya; jangan menguranginya. Mereka itu pemalas maka itulah sebabnya mereka berteriak, ‘Izinkanlah kami pergi mempersembahkan korban kepada Allah kami.’ Beratkan pekerjaan mereka itu lagi supaya mereka terus bekerja dan tidak menghiraukan kata-kata dusta.” Maka keluarlah para pengerah bangsa itu dan para mandur, lalu berkatalah mereka kepada orang Israel, “Beginilah titah Firaun, ‘Aku tidak akan memberikan jerami lagi kepadamu. Pergi dan carilah sendiri jerami di mana-mana sahaja kamu boleh mendapatinya. Akan tetapi, bahagian pekerjaanmu tidak boleh kurang sedikit pun.’ ” Maka orang Israel menjelajah seluruh Tanah Mesir untuk mengumpulkan tunggul gandum sebagai jerami. Para tukang kerah terus mendesak mereka dengan berkata, “Selesaikanlah pekerjaanmu sehari-hari seperti pada waktu ada jerami.” Lalu para tukang kerah Firaun memukul para mandur orang Israel yang diangkat oleh mereka untuk menyelia bangsa mereka sambil berkata, “Mengapa kelmarin ataupun hari ini jumlah batu bata yang kamu buat tidak menurut jumlah yang ditetapkan, iaitu seperti dahulu?” Maka pergilah para mandur orang Israel menghadap Firaun lalu berseru, “Mengapakah tuanku bertindak seperti itu kepada hamba-hambamu ini? Jerami tidak lagi diberikan kepada hamba-hambamu ini, tetapi para tukang kerah berkata kepada kami, ‘Buat batu bata!’ Ketahuilah, hamba-hambamu ini dipukul padahal orang tuanku yang bersalah.” Kata Firaun, “Memang kamu semua pemalas! Maka sebab itulah kamu berkata, ‘Izinkanlah kami pergi mempersembahkan korban kepada TUHAN.’ Sekarang, pergilah bekerja semula! Kamu tidak akan diberi jerami lagi tetapi jumlah batu bata yang mesti kamu serahkan sama seperti biasa!” Maka sedarlah para mandur orang Israel bahawa mereka berada dalam kesusahan apabila mereka diberitahu, “Kamu tidak boleh mengurangkan jumlah batu bata yang ditetapkan setiap hari.” Ketika mereka keluar meninggalkan Firaun, mereka bertemu dengan Musa dan Harun, yang sedang berdiri menantikan mereka. Lalu kata mereka kepada kedua-duanya, “Semoga TUHAN melihat perbuatanmu serta menghukum kamu, kerana kamu telah membusukkan nama kami di hadapan Firaun dan di hadapan para pegawainya. Kamu memberikan sebilah pedang kepada mereka untuk membunuh kami.” Maka kembalilah Musa menghadap TUHAN, katanya, “Ya Tuhan, mengapakah Engkau menyusahkan bangsa ini? Mengapakah pula Engkau mengutus hamba-Mu ini?