KELUARAN 36:1-7
KELUARAN 36:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Bezaleel, Oholiab, dan semua tukang yang telah dikurniakan kemahiran dan pengertian oleh TUHAN, iaitu mereka yang tahu cara membuat segala yang diperlukan untuk membina Khemah TUHAN, mesti melakukan segala-galanya sebagaimana yang telah diperintahkan TUHAN.” Musa memanggil Bezaleel, Oholiab, dan semua tukang lain yang telah dikurniai kebolehan oleh TUHAN, iaitu mereka yang rela menolong; lalu Musa menyuruh mereka memulakan pekerjaan itu. Musa memberi mereka segala sumbangan yang dibawa oleh orang Israel untuk pembinaan Khemah TUHAN. Tetapi orang Israel masih lagi membawa sumbangan kepada Musa tiap-tiap pagi. Oleh itu para tukang yang sedang melakukan pekerjaan itu memberikan laporan kepada Musa, “Umat telah memberikan lebih daripada apa yang diperlukan untuk pekerjaan yang diperintahkan TUHAN.” Kemudian Musa memberitahu segenap umat supaya tidak membawa sumbangan lagi untuk Khemah TUHAN; umat pun tidak memberikan apa-apa lagi. Bahan-bahan yang sudah diberikan lebih daripada cukup untuk menyelesaikan segala pekerjaan itu.
KELUARAN 36:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Bezaleel, Aholiab, juga setiap warga berkemahiran yang dianugerahi kebijaksanaan dan pengertian oleh TUHAN agar mereka tahu bagaimana mengerjakan segala jenis pekerjaan untuk peribadatan di tempat suci, hendaklah bekerja sebagaimana yang TUHAN perintahkan.” Kemudian Musa memanggil Bezaleel, Aholiab, serta setiap warga yang berkemahiran dianugerahi TUHAN kebijaksanaan, iaitu setiap orang yang tergerak hatinya untuk datang memikul pekerjaan itu. Daripada tangan Musa, mereka menerima kesemua persembahan khusus yang dibawa oleh orang Israel untuk melaksanakan pekerjaan pembinaan tempat suci. Sementara itu, tiap-tiap pagi orang masih terus membawa persembahan sukarela kepada Musa. Maka tampillah semua warga yang berkemahiran iaitu para tukang, masing-masing meninggalkan pekerjaan yang sedang dikerjakannya, untuk melaksanakan segala pekerjaan pembinaan tempat suci itu. Berkatalah mereka kepada Musa, “Lebih daripada cukup bahan yang dibawa oleh umat demi pelaksanaan pekerjaan yang diperintahkan oleh TUHAN itu.” Lalu Musa memerintahkan supaya diuar-uarkan di perkhemahan bahawa: “Jangan lagi ada lelaki atau perempuan yang membuat sesuatu untuk dijadikan persembahan khusus bagi tempat suci.” Maka umat itu dicegah daripada membawa persembahan lagi, kerana bahan yang diperlukan mereka untuk melakukan segala pekerjaan itu sudah cukup, bahkan berlebihan.