KELUARAN 33:12-21

KELUARAN 33:12-21 Alkitab Berita Baik (BM)

Musa berkata kepada TUHAN, “Memang benar Engkau telah menyuruh aku memimpin umat ini ke tanah yang telah Engkau janjikan, tetapi Engkau tidak memberitahu aku siapa yang Engkau utus untuk menyertai aku. Engkau berfirman bahawa Engkau mengenal aku dengan baik serta berkenan kepadaku. Jika hal ini benar, nyatakanlah rancangan-Mu supaya aku dapat mengabdikan diri kepada-Mu dan tetap menyenangkan hati-Mu. Ingatlah juga bahawa Engkau telah memilih umat ini menjadi milik-Mu sendiri.” TUHAN berfirman, “Aku akan ikut engkau, dan Aku akan memberikan ketenangan fikiran kepadamu.” Musa menjawab, “Jika Engkau tidak ikut kami, jangan suruh kami meninggalkan tempat ini. Bagaimanakah orang lain tahu bahawa Engkau berkenan kepada umat-Mu dan aku, jika Engkau tidak ikut kami? Hadirat-Mu di tengah-tengah kami akan membezakan kami daripada bangsa lain di bumi.” TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku akan melakukan seperti yang engkau minta, kerana Aku mengenal engkau dengan baik dan Aku berkenan kepadamu.” Kemudian Musa memohon, “Benarkanlah aku melihat cahaya hadirat-Mu.” TUHAN menjawab, “Aku akan lalu dengan segala keagungan-Ku di hadapanmu, sambil mengucapkan nama-Ku yang suci, iaitu TUHAN. Aku akan menunjukkan rahmat dan belas kasihan kepada orang yang Aku pilih. Engkau tidak boleh melihat wajah-Ku, kerana tiada manusia yang tetap hidup setelah melihat wajah-Ku. Berdirilah di atas bukit batu yang terletak di sebelah-Ku.

KELUARAN 33:12-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Musa berkata kepada TUHAN, “Memang Engkau ada berfirman kepadaku, ‘Pimpinlah bangsa ini,’ tetapi Engkau tidak memberitahuku siapa yang akan Kauutus menyertai aku. Namun demikian, Engkau juga berfirman, ‘Aku mengenal namamu dan Aku berkenan kepadamu.’ Sekarang, jika memang Engkau berkenan kepadaku, nyatakanlah kiranya jalan-jalan-Mu kepadaku, supaya aku dapat mengenal Engkau dan Engkau tetap berkenan kepadaku. Ingatlah juga bahawa bangsa ini ialah umat-Mu.” Firman-Nya, “Hadirat-Ku akan memimpin kamu dan Aku akan memberikan ketenteraman kepadamu.” Kata Musa kepada-Nya, “Jika hadirat-Mu tidak memimpin aku, janganlah kami dibawa pergi dari sini. Dari manakah orang akan tahu bahawa Engkau berkenan kepadaku, iaitu aku dan umat-Mu ini? Bukankah kerana kehadiran-Mu menyertai kami maka kami, iaitu aku dan umat-Mu ini, dibezakan daripada semua bangsa yang ada di muka bumi?” Berfirmanlah TUHAN kepada Musa, “Akan Kulaksanakan hal yang kamu katakan ini, kerana Aku berkenan kepadamu dan Aku mengenal namamu.” Kata Musa, “Tunjukkanlah kiranya kepadaku kemuliaan-Mu.” Firman-Nya, “Segala kegemilangan-Ku akan Kulalukan di hadapanmu dan Aku akan menyeru nama TUHAN di hadapanmu. Aku akan mengasihani sesiapa yang Kukasihani dan Aku akan berbelas kasihan kepada sesiapa yang Kubelaskasihi.” Firman-Nya lagi, “Kamu tidak dapat memandang wajah-Ku, kerana tiada manusia yang dapat memandang Aku dan terus hidup.” Firman TUHAN, “Ada sebuah tempat dekat-Ku, dan kamu akan berdiri di atas keutuhan batu pejal itu.