KELUARAN 33:1-4,7-11
KELUARAN 33:1-4 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN berfirman kepada Musa, “Tinggalkanlah tempat ini bersama dengan umat yang engkau bawa keluar dari Mesir, dan pergilah ke tanah yang telah Aku janjikan kepada Abraham, Ishak, Yakub, dan keturunan mereka. Aku akan menghantar satu malaikat untuk memimpin kamu. Aku akan mengusir orang Kanaan, Amori, Het, Feris, Hewi, dan Yebusi. Kamu akan pergi ke tanah yang kaya dan subur. Tetapi Aku sendiri tidak akan pergi bersama-sama kamu, supaya kamu tidak Aku binasakan di tengah perjalanan, kerana kamu umat yang degil.” Selepas umat mendengar firman itu, mereka mula berkabung dan tidak lagi memakai barang kemas
KELUARAN 33:7-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Bila-bila sahaja orang Israel berkhemah, Musa akan mengambil Khemah lalu memasangnya di luar kawasan perkhemahan mereka, tidak berapa jauh dari perkhemahan itu. Khemah itu dinamakan Khemah TUHAN. Sesiapa yang minta nasihat TUHAN akan pergi ke Khemah itu. Setiap kali Musa pergi ke Khemah itu, segenap umat akan berdiri di pintu khemah mereka dan memperhatikan Musa sehingga dia masuk ke dalam Khemah TUHAN. Setelah Musa masuk, tiang awan turun dan berhenti di pintu Khemah itu, lalu TUHAN berfirman kepada Musa dari awan itu. Sebaik sahaja umat melihat tiang awan di pintu Khemah TUHAN, mereka bersujud. TUHAN berfirman kepada Musa dengan bersemuka, sebagaimana seseorang bercakap dengan sahabatnya. Kemudian Musa kembali ke perkhemahan, tetapi Yosua anak Nun, pemuda yang menjadi pembantu Musa, tinggal di dalam Khemah TUHAN.
KELUARAN 33:1-4 Alkitab Versi Borneo (AVB)
TUHAN berfirman kepada Musa, “Berangkatlah dan pergilah dari tempat ini, kamu serta umat yang telah kamu pimpin keluar dari Tanah Mesir itu. Tujuilah negeri yang telah Kujanjikan dengan bersumpah kepada Abraham, Ishak, dan Yakub dengan berfirman, ‘Kepada keturunanmu akan Aku kurniakannya,’ dan akan Kuutus malaikat-Ku berjalan mendahuluimu dan akan Kuusir bani Kanaan, bani Amori, bani Het, bani Feris, bani Hewi, dan bani Yebus. Pergilah ke negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu itu. Atas sebab kamu umat yang keras kepala, Aku sendiri tidak akan hadir menyertai kamu agar Aku tidak membinasakan kamu ketika kamu dalam perjalanan.” Apabila terdengar kata-kata ancaman yang mengerikan itu, berkabunglah umat itu; tiada sesiapa pun antara mereka memakai barang perhiasan.
Keluaran 33:7-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sudah kebiasaan untuk Musa mengambil sebuah khemah lalu memasangnya di luar kawasan perkhemahan, agak jauh dari perkhemahan. Dia menamai khemah itu Khemah Pertemuan. Maka sesiapa pun yang mahu mendapatkan petunjuk TUHAN akan pergi ke Khemah Pertemuan, yang terletak di luar perkhemahan itu. Apabila Musa pergi ke khemah itu, bangkitlah seluruh warga lantas masing-masing berdiri di pintu khemahnya. Pandangan mereka mengikuti Musa sampai dia masuk ke dalam khemah itu. Setelah Musa masuk ke dalam khemah itu, turunlah tiang awan lalu berdiri tegak di pintu khemah itu. Kemudian TUHAN pun berfirman kepada Musa. Apabila seluruh umat itu melihat tiang awan berdiri di pintu khemah, mereka pun segera sujud menyembah, masing-masing di pintu khemahnya. Berfirmanlah TUHAN kepada Musa secara berhadapan muka, sama seperti manusia bercakap dengan sahabatnya. Setelah itu, kembalilah Musa ke perkhemahan, tetapi Yosua anak Nun, pemuda yang menjadi penolongnya, tidak meninggalkan khemah itu.