KELUARAN 31:12-17
KELUARAN 31:12-17 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN memerintah Musa supaya memberitahu umat Israel, “Rayakanlah hari Sabat, hari yang telah Aku tetapkan sebagai hari rehat, kerana hari itu adalah suatu tanda antara Aku dan kamu selama-lamanya, untuk menunjukkan bahawa Aku, TUHAN, telah menjadikan kamu umat-Ku sendiri. Kamu mesti merayakan hari rehat itu, kerana hari itu suci. Sesiapa yang tidak merayakan hari itu, dan yang bekerja pada hari itu mesti dihukum mati. Kamu boleh bekerja selama enam hari, tetapi hari ketujuh adalah hari rehat yang suci, yang telah ditahbiskan untuk-Ku. Sesiapa yang bekerja pada hari itu mesti dihukum mati. Umat Israel mesti merayakan hari ini sebagai tanda perjanjian. Hari itu suatu tanda yang kekal antara Aku dengan umat Israel, kerana Aku, TUHAN telah menjadikan langit dan bumi dalam masa enam hari; pada hari ketujuh Aku berhenti bekerja, dan Aku berehat.”
KELUARAN 31:12-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
TUHAN berfirman kepada Musa, “Katakanlah kepada orang Israel, ‘Sesungguhnya, hendaklah kamu pelihara hari-hari Sabat-Ku, kerana itulah tanda peringatan antara Aku dengan kamu turun-temurun, supaya kamu tahu bahawa Akulah TUHAN yang menyucikan kamu. Maka, peliharalah hari Sabat kerana hari itu hari yang suci bagimu. Sesiapa yang mencemarinya pastilah dihukum mati, kerana sesiapa pun yang melakukan pekerjaan pada hari itu, nyawanya harus dilenyapkan daripada kalangan bangsanya. Hendaklah pekerjaan dilakukan selama enam hari, tetapi hari ketujuh ialah hari Sabat, hari istirahat penuh yang suci bagi TUHAN. Maka sesiapa pun yang melakukan pekerjaan pada hari Sabat pasti dihukum mati. Oleh sebab itu orang Israel hendaklah memelihara hari Sabat dengan merayakannya turun-temurun sebagai suatu perjanjian yang berkekalan. Itulah tanda peringatan antara Aku dengan orang Israel untuk selama-lamanya, kerana enam hari lamanya TUHAN menjadikan langit dan bumi, dan pada hari ketujuh Dia berhenti daripada kerja penciptaan itu lantas berasa puas.’ ”