KELUARAN 31:1-11
KELUARAN 31:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku telah memilih Bezaleel anak Uri, cucu Hur, daripada suku Yehuda. Aku telah mengurniai Bezaleel kuasa-Ku. Aku telah memberi dia pengertian, kemahiran, dan kebolehan dalam segala jenis karya seni: untuk merancang rekabentuk yang memerlukan kemahiran serta membuatnya dengan menggunakan emas, perak, dan gangsa; untuk mencanai batu permata yang akan ditatah; untuk mengukir kayu dan untuk membuat segala jenis karya seni yang lain. Aku juga memilih Oholiab anak Ahisamakh daripada suku Dan, untuk bekerja dengan Bezaleel. Aku telah mengurniakan kebolehan yang luar biasa kepada semua tukang yang mahir, supaya segala yang Aku perintahkan dapat dibuat oleh mereka: Khemah TUHAN, Tabut Perjanjian dan penutupnya, semua peralatan Khemah TUHAN, meja dan peralatannya, kaki pelita daripada emas tulen dan peralatannya, mazbah tempat membakar kemenyan, mazbah tempat korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan segala peralatannya, besen dan alasnya, pakaian ibadat untuk imam, yang dipakai oleh Harun dan anak-anaknya apabila mereka bertugas sebagai imam, minyak upacara, dan kemenyan yang berbau harum untuk Bilik Suci. Mereka harus membuat semuanya tepat seperti yang telah Aku perintahkan kepadamu.”
KELUARAN 31:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
TUHAN berfirman kepada Musa, “Lihat, Aku telah memanggil Bezaleel anak Uri anak Hur daripada bani Yehuda. Aku memenuhi dia dengan Roh Allah, dengan kebijaksanaan, pengertian, pengetahuan, dan segala jenis kemahiran bertukang untuk merancang hasil kerja mahir daripada emas, perak, dan gangsa, dan juga untuk mengukir batu permata untuk tatahan, mengukir kayu, serta mengerjakan segala jenis keahlian dalam pelbagai bidang kerja. Tambahan pula Aku juga menetapkan orang, iaitu Aholiab anak Ahisamakh daripada bani Dan, untuk menyertainya. Dalam hati semua yang berkemahiran, Aku telah mengurniakan kebijaksanaan supaya mereka membuat semua yang telah Kuperintahkan kepadamu: Khemah Pertemuan, tabut loh hukum dan penutup pendamaian di atasnya dan segala kelengkapan khemah itu, iaitu meja dengan segala wadahnya, kaki pelita murni dengan segala wadahnya, dan mazbah pendupaan, mazbah korban bakaran dengan segala wadahnya, bejana pembasuhan dengan kekakinya, pakaian yang halus tenunannya, pakaian suci untuk imam Harun dan pakaian anak-anaknya untuk menunaikan tugas keimaman, minyak tahbis, serta dupa daripada rempah-ratus yang harum untuk Tempat Suci itu. Hendaklah dilakukan mereka sebagaimana segala yang telah Kuperintahkan kepadamu.”