KELUARAN 3:4-10
KELUARAN 3:4-10 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila TUHAN nampak Musa menghampiri-Nya, TUHAN memanggil dia dari tengah semak itu, “Musa, Musa!” Musa menjawab, “Ya, aku di sini.” Allah berfirman, “Jangan datang dekat-dekat. Tanggalkan kasutmu kerana engkau sedang berdiri di tanah yang suci. Akulah Allah yang disembah nenek moyangmu, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub.” Oleh itu Musa menutup mukanya kerana dia takut memandang Allah. Kemudian TUHAN berfirman, “Aku telah melihat betapa kejamnya umat-Ku dianiaya di Mesir; Aku telah mendengar seruan mereka mohon dibebaskan daripada pengerah-pengerah abdi. Sesungguhnya, Aku tahu akan segala penderitaan mereka. Oleh itu Aku turun untuk membebaskan mereka daripada orang Mesir, dan membawa mereka keluar dari negeri itu ke suatu negeri yang luas, kaya, dan subur. Pada masa ini, negeri itu didiami oleh orang Kanaan, Het, Amori, Feris, Hewi, dan Yebusi. Sesungguhnya Aku telah mendengar seruan umat-Ku dan melihat bagaimana orang Mesir menindas mereka. Sekarang Aku mengutus engkau untuk menghadap raja Mesir supaya engkau dapat memimpin umat-Ku keluar dari negeri raja itu.”
KELUARAN 3:4-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Apabila TUHAN melihat Musa menghampiri-Nya, Allah pun berseru kepadanya dari tengah-tengah belukar itu, firman-Nya, “Musa, Musa!” Lalu dia menjawab, “Ya, aku ada di sini.” Allah berfirman, “Jangan datang lebih dekat. Tanggalkan kasutmu dari kakimu kerana tempat kamu berdiri itu tanah suci.” Firman-Nya lagi, “Akulah Allah ayahmu, juga Allah Abraham, Allah Ishak, dan Allah Yakub.” Lalu Musa menutup mukanya, kerana dia takut memandang Allah. Berfirmanlah TUHAN, “Aku telah menyaksikan penindasan umat-Ku di Mesir, dan mendengar rintihan mereka kerana dianiayai oleh para tukang kerah mereka. Aku tahu tentang keperitan yang dialami mereka. Maka Aku turun untuk membebaskan mereka daripada cengkaman warga Mesir dan membawa mereka keluar dari negeri itu ke sebuah negeri yang luas dan kaya lagi berlimpah-limpah susu dan madu, iaitu wilayah orang Kanaan, orang Het, orang Amori, orang Feris, orang Hewi, dan orang Yebus. Sesungguhnya, Aku telah mendengar rintihan orang Israel, dan telah melihat betapa tertindasnya mereka dalam tangan warga Mesir. Maka sekarang, Aku mengutus kamu kepada Firaun untuk membawa orang Israel, iaitu umat-Ku, keluar dari Mesir.”