KELUARAN 3:11-15
KELUARAN 3:11-15 Alkitab Berita Baik (BM)
Tetapi Musa berkata kepada Allah, “Siapakah aku ini? Aku tidak sanggup menghadap raja dan membawa orang Israel keluar dari Mesir.” Allah berfirman, “Aku akan menyertai engkau. Apabila engkau telah membawa orang Israel keluar dari Mesir, kamu akan beribadat kepada-Ku di gunung ini. Itulah buktinya bahawa Aku telah mengutus engkau.” Tetapi Musa berkata, “Jika aku menemui orang Israel dan berkata kepada mereka, ‘Allah nenek moyang kamu telah mengutus saya kepada kamu,’ mereka akan bertanya, ‘Siapakah namanya?’ Apakah yang harus aku katakan kepada mereka?” Allah berfirman kepada Musa, “Aku adalah AKU. Inilah yang mesti engkau katakan kepada mereka, ‘Dia yang menyebut diri-Nya AKU sudah mengutus saya kepada kamu.’ Beritahulah umat Israel, bahawa AKU, TUHAN, Allah nenek moyang mereka, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, telah mengutus engkau kepada mereka. Itulah nama-Ku untuk selama-lamanya; itulah nama panggilan-Ku yang harus digunakan oleh semua keturunan yang akan datang.
KELUARAN 3:11-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Akan tetapi, Musa berkata kepada Allah, “Siapakah hamba-Mu ini sehingga hamba harus pergi menghadap Firaun dan membawa orang Israel keluar dari Mesir?” Firman-Nya, “Sesungguhnya, Aku akan bersama dengan kamu. Inilah tanda untukmu bahawa Aku yang mengutus kamu: Apabila kamu telah membawa orang Israel keluar dari Mesir, kamu akan beribadat kepada Allah di gunung ini.” Kata Musa kepada Allah, “Tetapi apabila hamba mendatangi orang Israel dan berkata kepada mereka, ‘Allah nenek moyangmu mengutus aku kepadamu,’ mereka akan bertanya, ‘Siapakah nama-Nya?’ Apakah yang harus hamba katakan kepada mereka?” Firman Allah kepada Musa, “Akulah AKU.” Firman-Nya lagi, “Kamu harus berkata begini kepada orang Israel, ‘Akulah AKU yang mengutus aku kepadamu.’ ” Allah selanjutnya berfirman kepada Musa, “Kamu harus katakan begini kepada orang Israel, ‘TUHAN, Allah nenek moyangmu, Allah Abraham, Allah Ishak, dan Allah Yakub, telah mengutus aku kepadamu.’ Itulah nama-Ku untuk selama-lamanya dan dengan nama itulah Aku diseru turun-temurun.