KELUARAN 3:10-22

KELUARAN 3:10-22 Alkitab Berita Baik (BM)

Sekarang Aku mengutus engkau untuk menghadap raja Mesir supaya engkau dapat memimpin umat-Ku keluar dari negeri raja itu.” Tetapi Musa berkata kepada Allah, “Siapakah aku ini? Aku tidak sanggup menghadap raja dan membawa orang Israel keluar dari Mesir.” Allah berfirman, “Aku akan menyertai engkau. Apabila engkau telah membawa orang Israel keluar dari Mesir, kamu akan beribadat kepada-Ku di gunung ini. Itulah buktinya bahawa Aku telah mengutus engkau.” Tetapi Musa berkata, “Jika aku menemui orang Israel dan berkata kepada mereka, ‘Allah nenek moyang kamu telah mengutus saya kepada kamu,’ mereka akan bertanya, ‘Siapakah namanya?’ Apakah yang harus aku katakan kepada mereka?” Allah berfirman kepada Musa, “Aku adalah AKU. Inilah yang mesti engkau katakan kepada mereka, ‘Dia yang menyebut diri-Nya AKU sudah mengutus saya kepada kamu.’ Beritahulah umat Israel, bahawa AKU, TUHAN, Allah nenek moyang mereka, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, telah mengutus engkau kepada mereka. Itulah nama-Ku untuk selama-lamanya; itulah nama panggilan-Ku yang harus digunakan oleh semua keturunan yang akan datang. Pergilah dan himpunkanlah para pemimpin Israel dan beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN, Allah nenek moyang mereka, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, telah menampakkan diri kepadamu. Beritahulah mereka bahawa Aku telah datang kepada mereka dan telah melihat apa yang dilakukan orang Mesir terhadap mereka. Aku telah mengambil keputusan untuk membawa mereka keluar dari Mesir, tempat mereka ditindas, dan membawa mereka ke suatu tanah yang kaya dan subur, iaitu negeri orang Kanaan, Het, Amori, Feris, Hewi, dan Yebusi. Umat-Ku akan mendengarkan segala katamu. Kemudian engkau mesti menghadap raja Mesir bersama dengan para pemimpin Israel dan berkata kepadanya, ‘TUHAN, Allah orang Ibrani, telah menampakkan diri kepada kami. Sekarang benarkanlah kami pergi sejauh tiga hari perjalanan ke padang gurun untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah kami.’ ” Allah berfirman lagi, “Aku tahu bahawa raja Mesir tidak akan membenarkan kamu pergi, kecuali dia dipaksa berbuat demikian. Tetapi Aku akan menggunakan kuasa-Ku dan menghukum Mesir dengan melakukan hal-hal yang menakutkan di sana. Selepas itu, dia akan membenarkan kamu pergi. Aku akan menyebabkan orang Mesir menghormati kamu supaya apabila kamu, umat-Ku meninggalkan tempat itu, kamu tidak akan pergi dengan tangan kosong. Setiap wanita Israel akan minta pakaian, serta barang perhiasan emas dan perak daripada jirannya orang Mesir dan daripada wanita Mesir yang tinggal di rumah jirannya itu. Kamu akan memakaikannya pada anak-anak kamu. Dengan cara itu kamu akan merampas harta orang Mesir.”

KELUARAN 3:10-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Maka sekarang, Aku mengutus kamu kepada Firaun untuk membawa orang Israel, iaitu umat-Ku, keluar dari Mesir.” Akan tetapi, Musa berkata kepada Allah, “Siapakah hamba-Mu ini sehingga hamba harus pergi menghadap Firaun dan membawa orang Israel keluar dari Mesir?” Firman-Nya, “Sesungguhnya, Aku akan bersama dengan kamu. Inilah tanda untukmu bahawa Aku yang mengutus kamu: Apabila kamu telah membawa orang Israel keluar dari Mesir, kamu akan beribadat kepada Allah di gunung ini.” Kata Musa kepada Allah, “Tetapi apabila hamba mendatangi orang Israel dan berkata kepada mereka, ‘Allah nenek moyangmu mengutus aku kepadamu,’ mereka akan bertanya, ‘Siapakah nama-Nya?’ Apakah yang harus hamba katakan kepada mereka?” Firman Allah kepada Musa, “Akulah AKU.” Firman-Nya lagi, “Kamu harus berkata begini kepada orang Israel, ‘Akulah AKU yang mengutus aku kepadamu.’ ” Allah selanjutnya berfirman kepada Musa, “Kamu harus katakan begini kepada orang Israel, ‘TUHAN, Allah nenek moyangmu, Allah Abraham, Allah Ishak, dan Allah Yakub, telah mengutus aku kepadamu.’ Itulah nama-Ku untuk selama-lamanya dan dengan nama itulah Aku diseru turun-temurun. Pergilah, kumpulkanlah kalangan tua-tua orang Israel, dan katakanlah kepada mereka, ‘TUHAN, Allah nenek moyangmu, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub telah menampakkan diri kepadaku dan berfirman, “Aku sungguh-sungguh mengendahkan umat-Ku dan memperhatikan apa yang dilakukan terhadapmu di Mesir. Maka Aku berfirman bahawa Aku akan membawa kamu keluar daripada kesusahan di Mesir, ke negeri orang Kanaan, orang Het, orang Amori, orang Feris, orang Hewi, dan orang Yebus, iaitu ke tanah yang berlimpah-limpah susu dan madu.” ’ Mereka akan mendengar kata-katamu. Kemudian pergilah kamu bersama-sama kalangan tua-tua orang Israel menghadap raja Mesir dan katakanlah kepadanya, ‘TUHAN, Allah orang Ibrani, telah menemui kami. Maka sekarang, izinkanlah kami pergi ke kawasan gurun sejauh tiga hari perjalanan, supaya kami dapat mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah kami.’ Tetapi Aku tahu bahawa raja Mesir tidak akan membiarkan kamu pergi kecuali dipaksa oleh kuasa yang jauh melebihi kuasanya. Maka, kuasa-Ku akan mengazab Tanah Mesir dengan pelbagai keajaiban yang akan Kuadakan di tengah-tengah mereka. Sesudah itu barulah dia akan mengizinkan kamu pergi. Akan Kubuat warga Mesir berbaik hati kepada bangsa ini, sehingga kamu tidak pergi dengan tangan kosong ketika kamu pergi kelak. Setiap orang perempuan harus meminta barang-barang perak, barang-barang emas, dan pakaian daripada jirannya dan daripada pendatang perempuan yang menumpang di rumahnya. Kesemua itu akan kamu pakaikan pada anak-anakmu baik lelaki mahupun perempuan. Demikianlah kamu akan menjarah harta orang Mesir.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami