KELUARAN 20:1-17

KELUARAN 20:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian Allah berfirman, dan inilah firman-Nya, “Akulah TUHAN, Allah kamu yang membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu dijadikan hamba. Jangan sembah tuhan-tuhan lain; sembahlah Aku sahaja. Jangan buat patung bagi diri kamu, patung yang menyerupai apa-apa pun yang ada di langit, di bumi, atau di dalam air di bawah bumi. Jangan sujud atau sembah kepada patung apa pun, kerana Akulah TUHAN, Allah kamu, dan Aku tidak mahu disamakan dengan apa-apa pun. Aku menghukum orang yang membenci Aku. Aku juga menghukum keturunan mereka sehingga generasi yang ketiga dan keempat. Tetapi Aku menunjukkan kasih-Ku kepada beribu-ribu keturunan orang yang mengasihi Aku dan taat kepada hukum-Ku. Jangan sebut nama-Ku untuk maksud yang jahat kerana Aku TUHAN, Allah kamu, menghukum sesiapa sahaja yang menyalahgunakan nama-Ku. Rayakanlah hari Sabat dan hormatilah hari itu sebagai hari yang suci. Kamu mempunyai enam hari untuk bekerja, tetapi hari yang ketujuh ialah hari rehat yang ditahbiskan untuk Aku. Pada hari itu satu pun tidak boleh bekerja: sama ada kamu, anak kamu, abdi kamu, ternakan kamu, atau bangsa asing yang tinggal di negeri kamu. Dalam masa enam hari Aku, TUHAN, telah menciptakan bumi, langit, laut, dan semua yang ada di dalam segalanya itu, tetapi pada hari yang ketujuh Aku berehat. Itulah sebabnya Aku, TUHAN, memberkati hari Sabat dan mengekhaskannya bagi-Ku. Hormatilah bapa dan ibu kamu, supaya kamu panjang umur di tanah yang akan Aku berikan kepada kamu. Jangan membunuh. Jangan berzina. Jangan mencuri. Jangan berikan kesaksian palsu tentang orang lain. Jangan ingini kepunyaan orang lain: rumahnya, isterinya, abdinya, ternakannya, keldainya atau apa-apa pun miliknya.”

KELUARAN 20:1-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Lalu Allah berfirman semua kata ini: “Akulah TUHAN, Allahmu, yang membawa kamu keluar dari Tanah Mesir, dari tempat perhambaan. Jangan ada padamu tuhan-tuhan lain selain Aku. Jangan buat patung ukiran untuk dirimu atau wujudkan apa-apa pun yang ada di langit di atas, atau yang ada di bumi di bawah, atau di dalam air di bawah bumi. Jangan sujud menyembahnya atau beribadat kepadanya, kerana Aku, TUHAN, Allahmu, Allah yang cemburu, yang membalas kesalahan ayah kepada anak-anaknya, kepada keturunan ketiga dan keempat dalam kalangan mereka yang membenci Aku. Namun demikian, Aku menunjukkan kasih setia-Ku kepada keturunan yang keseribu dalam kalangan mereka yang mengasihi Aku dan yang taat berpegang teguh pada segala perintah-Ku. Jangan gunakan nama TUHAN, Allahmu, dengan sembarangan, kerana TUHAN akan memandang bersalah orang yang menggunakan nama-Nya dengan sembarangan. Ingatlah hari Sabat dan jagalah kesuciannya. Enam hari lamanya engkau harus bekerja dan melakukan segala pekerjaanmu, tetapi hari ketujuh ialah hari Sabat bagi TUHAN, Allahmu. Pada hari itu jangan melakukan pekerjaan apa-apa pun baik kamu, anak lelakimu, anak perempuanmu, hamba lelakimu, hamba perempuanmu, haiwanmu, mahupun pendatang yang ada di kotamu. Kerana enam hari lamanya TUHAN menjadikan langit dan bumi, laut dan segala isinya, lalu Dia beristirahat pada hari ketujuh. Itulah sebabnya TUHAN memberkati hari Sabat dan menjadikannya suci. Hormatilah ibu bapamu, supaya lanjut usiamu di bumi yang TUHAN, Allahmu, kurniakan kepadamu. Jangan membunuh. Jangan berzina. Jangan mencuri. Jangan memberi kesaksian palsu terhadap sesamamu. Jangan mendambakan rumah jiranmu. Jangan ingini isteri jiranmu, hambanya baik yang lelaki mahupun yang perempuan, lembunya, keldainya, atau apa-apa pun yang dimiliki oleh sesamamu.”