KELUARAN 18:17-27
KELUARAN 18:17-27 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Yitro berkata kepada Musa, “Kamu tidak melakukan tugas ini dengan cara yang betul. Dengan cara ini, kamu akan meletihkan dirimu dan juga semua orang itu. Tugas ini terlalu berat untuk kamu lakukan seorang diri. Sekarang dengarlah nasihat saya, maka Allah akan menyertai kamu. Memang kamu harus mewakili umat ini di hadapan Allah dan mengemukakan perselisihan mereka kepada-Nya. Kamu harus mengajar mereka tentang perintah dan hukum Allah, serta menerangkan bagaimana mereka harus hidup dan apa yang harus dilakukan. Tetapi selain hal itu, kamu harus memilih beberapa orang lelaki yang bijaksana. Lantiklah mereka sebagai pemimpin rakyat untuk mengetuai seribu orang, seratus orang, lima puluh orang, dan sepuluh orang. Mereka mestilah orang yang takut akan Allah, yang dapat dipercayai, dan yang tidak mahu menerima rasuah. Biarlah mereka sentiasa bertugas sebagai hakim bagi umat. Mereka boleh mengemukakan segala hal yang sukar kepadamu, tetapi mereka sendiri harus memutuskan perselisihan yang kecil. Cara ini akan memudahkan pekerjaanmu, kerana mereka akan membantu memikul bebanmu. Jika kamu melakukan hal ini sebagaimana yang diperintahkan Allah, kamu tidak akan meletihkan diri, dan semua orang itu pun dapat pulang ke rumah dengan perselisihan yang sudah diselesaikan.” Musa mengikut nasihat Yitro. Musa memilih beberapa orang lelaki yang bijaksana di kalangan umat Israel, lalu melantik mereka sebagai pemimpin yang mengetuai seribu orang, seratus orang, lima puluh orang, dan sepuluh orang. Mereka sentiasa bertugas sebagai hakim orang Israel. Mereka mengemukakan hal-hal yang sukar kepada Musa, tetapi mereka sendiri menyelesaikan perselisihan yang kecil-kecil. Kemudian Musa mengucapkan selamat jalan kepada Yitro, lalu Yitro pulang ke negerinya.
KELUARAN 18:17-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Lalu kata mertua Musa kepadanya, “Apa yang kamu lakukan ini tidak baik. Sebab dengan cara itu, kamu dan juga umat yang berserta denganmu ini akan menjadi sangat penat. Pekerjaan ini terlalu berat bagimu dan engkau tidak dapat mengerjakannya seorang diri. Sekarang, dengarlah kata-kataku. Aku mahu memberikan nasihat kepadamu dan semoga Allah menyertai kamu. Kamu harus menghadap Allah mewakili umat itu serta menyampaikan perkara-perkara mereka kepada Allah. Ajarlah mereka ketetapan-ketetapan serta hukum-hukum, dan beritahu mereka cara hidup yang patut dijalani mereka serta pekerjaan yang patut dilakukan mereka. Selain itu, carilah dalam kalangan seluruh umat itu beberapa orang yang berkebolehan lagi takut kepada Allah, orang yang boleh dipercayai dan amanah iaitu tidak dapat disuap. Lantiklah mereka untuk menjadi pemimpin bagi seribu orang, pemimpin seratus orang, pemimpin lima puluh orang, dan pemimpin sepuluh orang. Biarkanlah mereka menjadi hakim atas umat itu pada waktu-waktu yang telah ditetapkan. Semua perkara yang besar-besar hendaklah dibawa mereka kepadamu, tetapi semua perkara yang kecil-kecil hendaklah diadili sendiri oleh mereka. Dengan demikian, akan ringanlah pekerjaanmu manakala mereka turut memikul beban untuk memimpin bersama-samamu. Jika hal itu kaulakukan dan Allah memang memerintahkannya kepadamu, maka engkau akan sanggup menanggungnya dan seluruh umat ini juga akan pulang ke tempat mereka dengan sejahtera.” Musa mendengar nasihat mertuanya lalu melaksanakan semua yang dikatakannya. Daripada kalangan seluruh orang Israel, Musa memilih beberapa orang yang berkebolehan, dan melantik mereka untuk menjadi ketua ke atas umat itu sebagai pemimpin seribu orang, pemimpin seratus orang, pemimpin lima puluh orang, dan pemimpin sepuluh orang. Mereka menjadi hakim atas umat itu pada waktu-waktu yang ditetapkan. Perkara-perkara yang sukar dibawa mereka kepada Musa, tetapi mereka sendiri menghakimi perkara yang kecil-kecil. Kemudian Musa melepaskan mertuanya pergi, pulang ke negerinya sendiri.