KELUARAN 18:13-22

KELUARAN 18:13-22 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada keesokan hari, Musa menyelesaikan perselisihan antara orang Israel. Oleh itu dia sibuk dari pagi hingga malam. Apabila Yitro melihat segala sesuatu yang perlu dilakukan oleh Musa, dia bertanya, “Apakah semua hal ini yang kamu lakukan untuk umat ini? Mengapa kamu melakukan tugas ini seorang diri, sehingga semua orang itu harus berdiri di sini dari pagi hingga malam untuk meminta nasihatmu?” Musa menjawab, “Saya mesti melakukan kerja ini kerana umat datang kepada saya untuk mengetahui kehendak Allah. Apabila dua orang bertengkar, mereka akan datang kepada saya dan saya memutuskan siapa antara mereka yang benar. Saya juga menyampaikan perintah dan hukum Allah kepada mereka.” Kemudian Yitro berkata kepada Musa, “Kamu tidak melakukan tugas ini dengan cara yang betul. Dengan cara ini, kamu akan meletihkan dirimu dan juga semua orang itu. Tugas ini terlalu berat untuk kamu lakukan seorang diri. Sekarang dengarlah nasihat saya, maka Allah akan menyertai kamu. Memang kamu harus mewakili umat ini di hadapan Allah dan mengemukakan perselisihan mereka kepada-Nya. Kamu harus mengajar mereka tentang perintah dan hukum Allah, serta menerangkan bagaimana mereka harus hidup dan apa yang harus dilakukan. Tetapi selain hal itu, kamu harus memilih beberapa orang lelaki yang bijaksana. Lantiklah mereka sebagai pemimpin rakyat untuk mengetuai seribu orang, seratus orang, lima puluh orang, dan sepuluh orang. Mereka mestilah orang yang takut akan Allah, yang dapat dipercayai, dan yang tidak mahu menerima rasuah. Biarlah mereka sentiasa bertugas sebagai hakim bagi umat. Mereka boleh mengemukakan segala hal yang sukar kepadamu, tetapi mereka sendiri harus memutuskan perselisihan yang kecil. Cara ini akan memudahkan pekerjaanmu, kerana mereka akan membantu memikul bebanmu.

KELUARAN 18:13-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Keesokan harinya, Musa duduk menjadi hakim atas umat itu. Mereka itu berdiri di hadapan Musa dari pagi hingga petang. Ketika mertua Musa melihat semua pekerjaan Musa atas umat itu, berkatalah dia, “Apakah yang kaulakukan terhadap umat ini? Mengapakah engkau sendiri sahaja yang menjadi hakim sementara seluruh umat itu berdiri di hadapanmu dari pagi sampai petang?” Jawab Musa kepada mertuanya, “Sebabnya bangsa ini datang kepadaku untuk mencari petunjuk Allah. Jika ada suatu perkara antara mereka, maka mereka datang kepadaku dan aku menjadi hakim antara seorang dengan sesamanya. Aku menyampaikan kepada mereka segala ketetapan dan hukum Allah.” Lalu kata mertua Musa kepadanya, “Apa yang kamu lakukan ini tidak baik. Sebab dengan cara itu, kamu dan juga umat yang berserta denganmu ini akan menjadi sangat penat. Pekerjaan ini terlalu berat bagimu dan engkau tidak dapat mengerjakannya seorang diri. Sekarang, dengarlah kata-kataku. Aku mahu memberikan nasihat kepadamu dan semoga Allah menyertai kamu. Kamu harus menghadap Allah mewakili umat itu serta menyampaikan perkara-perkara mereka kepada Allah. Ajarlah mereka ketetapan-ketetapan serta hukum-hukum, dan beritahu mereka cara hidup yang patut dijalani mereka serta pekerjaan yang patut dilakukan mereka. Selain itu, carilah dalam kalangan seluruh umat itu beberapa orang yang berkebolehan lagi takut kepada Allah, orang yang boleh dipercayai dan amanah iaitu tidak dapat disuap. Lantiklah mereka untuk menjadi pemimpin bagi seribu orang, pemimpin seratus orang, pemimpin lima puluh orang, dan pemimpin sepuluh orang. Biarkanlah mereka menjadi hakim atas umat itu pada waktu-waktu yang telah ditetapkan. Semua perkara yang besar-besar hendaklah dibawa mereka kepadamu, tetapi semua perkara yang kecil-kecil hendaklah diadili sendiri oleh mereka. Dengan demikian, akan ringanlah pekerjaanmu manakala mereka turut memikul beban untuk memimpin bersama-samamu.