KELUARAN 17:8-16
KELUARAN 17:8-16 Alkitab Berita Baik (BM)
Orang Amalek datang dan menyerang orang Israel di Rafidim. Musa berkata kepada Yosua, “Pilihlah beberapa orang untuk memerangi orang Amalek esok. Aku akan berdiri di puncak bukit sambil memegang tongkat sebagaimana yang disuruh Allah.” Yosua melakukan apa yang disuruh Musa lalu keluar memerangi orang Amalek, sementara Musa, Harun, dan Hur naik ke puncak bukit. Selama Musa mengangkat tangannya, orang Israel menang, tetapi apabila dia menurunkan tangannya, orang Amalek pula mula menang. Apabila tangan Musa berasa letih, Harun dan Hur mengambil sebuah batu lalu menyuruh Musa duduk di atasnya, sementara mereka berdiri di sisinya untuk menunjang tangan Musa. Mereka menunjang tangan Musa sehingga matahari terbenam. Dengan demikian Yosua mengalahkan orang Amalek. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Tulislah peristiwa ini supaya dapat dikenang. Beritahulah Yosua bahawa orang Amalek akan Aku binasakan sama sekali.” Musa membina sebuah mazbah dan menamakannya “TUHAN Panjiku.” Musa berkata, “Kibarkanlah panji TUHAN! TUHAN akan terus-menerus berperang melawan orang Amalek hingga selama-lamanya!”
KELUARAN 17:8-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian datanglah orang Amalek dan berperang melawan orang Israel di Rafidim. Kata Musa kepada Yosua, “Pilihlah bagi kita beberapa orang, lalu keluarlah berperang melawan orang Amalek. Esok aku akan berdiri di atas puncak bukit itu dengan tongkat Allah di tanganku.” Yosua pun melaksanakan apa yang dikatakan Musa kepadanya dan memerangi orang Amalek. Sementara itu Musa, Harun, dan Hur naik ke puncak bukit. Lalu inilah yang terjadi: apabila Musa mengangkat tangannya, orang Israel menang, namun apabila dia menurunkan tangannya, orang Amalek menang. Akan tetapi, lama-kelamaan tangan Musa menjadi letih. Oleh sebab itu, mereka mengambil sebuah batu dan meletakkannya berdekatan dengan Musa supaya dia dapat duduk di atasnya. Kemudian Harun dan Hur menopang tangan Musa, seorang di sisi yang satu dan seorang lagi di sisi yang satu lagi, sehingga tangannya tetap terangkat sampai terbenamnya matahari. Maka Yosua melumpuhkan Amalek dan pasukannya dengan mata pedang. TUHAN berfirman kepada Musa, “Tulislah hal ini dalam kitab sebagai peringatan, dan sampaikan kepada Yosua bahawa Aku akan menghapuskan segala kenangan tentang orang Amalek dari bawah kolong langit.” Maka Musa membina sebuah mazbah, iaitu tempat pembakaran korban, dan menamainya “TUHAN itu panjiku”, kerana katanya, “Tangan terangkat ke arah takhta TUHAN, dan TUHAN berperang melawan Amalek turun-temurun.”