KELUARAN 16:4-8
KELUARAN 16:4-8 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN berfirman kepada Musa, “Sekarang Aku akan menghujani kamu semua dengan makanan dari langit. Tiap-tiap hari umat mesti keluar untuk mengumpulkan roti secukupnya bagi satu hari. Dengan cara ini Aku dapat menguji umat-Ku, supaya Aku tahu sama ada mereka mentaati perintah-Ku atau tidak. Pada hari yang keenam, mereka harus mengumpulkan makanan itu dua kali ganda banyaknya dan menyediakannya.” Oleh itu Musa dan Harun berkata kepada segenap umat Israel, “Pada petang ini kamu akan tahu bahawa TUHAN itulah yang membawa kamu keluar dari Mesir. Pada pagi hari kamu akan melihat cahaya hadirat TUHAN. Dia telah mendengar sungutan kamu terhadap-Nya; ya, terhadap-Nya, kerana kami hanya melaksanakan perintah-Nya.” Kemudian Musa berkata, “TUHAN akan memberi kamu daging untuk dimakan pada waktu petang, dan seberapa banyak roti yang kamu kehendaki pada waktu pagi, kerana Dia telah mendengar betapa seringnya kamu bersungut terhadap-Nya. Sesungguhnya, sungutan kamu bukanlah terhadap kami, tetapi terhadap TUHAN.”
KELUARAN 16:4-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian berfirmanlah TUHAN kepada Musa, “Sesungguhnya, Aku akan menghujani kamu dengan roti dari langit. Tiap-tiap hari bangsa itu harus keluar untuk memungut keperluan satu hari secukupnya. Dengan demikian, Aku dapat menguji sama ada mereka mahu hidup menurut hukum-Ku. Pada hari keenam mereka harus memungut dua kali lipat ganda banyaknya daripada yang biasa dipungut mereka setiap hari, lalu memasak apa yang dibawa pulang oleh mereka.” Musa dan Harun pun berkata kepada seluruh orang Israel, “Petang ini kamu akan tahu bahawa TUHAN sajalah yang sudah membawa kamu keluar dari Tanah Mesir, dan esok pagi kamu akan melihat kemuliaan TUHAN, kerana Dia mendengar segala rungutanmu kepada TUHAN. Sebab, siapakah kami ini sehingga kamu bersungut-sungut terhadap kami?” Kata Musa lagi, “TUHAN akan memberi kamu makan daging pada petang hari, dan roti pada pagi hari sampai kamu kenyang, kerana TUHAN mendengar segala rungutan yang kamu tujukan kepada-Nya. Siapakah kami ini? Sesungguhnya, kamu bukannya bersungut-sungut kepada kami, tetapi kepada TUHAN.”