KELUARAN 16:21-30

KELUARAN 16:21-30 Alkitab Berita Baik (BM)

Setiap pagi mereka mengumpulkan makanan itu, sebanyak yang diperlukan. Apabila matahari panas terik, makanan yang tertinggal di tanah mencair. Pada hari keenam mereka mengumpulkan makanan dua kali ganda banyaknya, sebanyak empat liter bagi setiap orang. Semua pemimpin umat itu datang dan memberitahukan hal itu kepada Musa. Musa berkata kepada mereka, “TUHAN memerintahkan bahawa esok hari rehat, hari suci yang ditahbiskan bagi-Nya. Pada hari ini bakarlah apa yang hendak kamu bakar, dan rebuslah apa yang hendak kamu rebus. Yang selebihnya, hendaklah diketepikan dan disimpan untuk esok.” Sebagaimana yang telah disuruh oleh Musa, mereka menyimpan lebihan makanan itu sehingga hari berikutnya; makanan itu tidak menjadi basi dan tidak berulat. Musa berkata, “Makanlah makanan ini pada hari ini, kerana hari ini hari Sabat, hari rehat yang telah ditahbiskan bagi TUHAN. Kamu tidak akan mendapat sebarang makanan di luar perkhemahan. Kamu mesti mengumpulkan makanan selama enam hari, tetapi pada hari ketujuh, hari rehat itu, tidak ada makanan untuk dipungut.” Pada hari ketujuh beberapa orang antara umat itu keluar untuk mengumpulkan makanan, tetapi tidak mendapati apa-apa. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Berapa lama lagi kamu tidak mahu taat kepada perintah-Ku? Ingatlah bahawa Aku, TUHAN telah memberikan hari rehat kepada kamu. Itulah sebabnya, pada hari keenam Aku memberi kamu makanan yang cukup untuk dua hari. Pada hari ketujuh setiap orang mesti tinggal di tempat masing-masing, dan tidak boleh meninggalkan rumahnya.” Oleh itu mereka tidak bekerja pada hari ketujuh.

KELUARAN 16:21-30 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pagi demi pagi mereka memungutnya, masing-masing sebanyak yang dapat dimakan mereka. Namun begitu setelah ada panas matahari, cairlah makanan itu. Pada hari keenam mereka memungut roti itu dua kali ganda banyaknya, dua cupak untuk setiap orang. Kemudian datanglah semua pemimpin jemaah memberitahu Musa. Kata Musa kepada mereka, “Inilah yang telah difirmankan TUHAN, ‘Esok ialah hari istirahat penuh takzim, Sabat yang suci bagi TUHAN, sebab itu bakarlah apa yang perlu kamu bakar dan rebuslah apa yang perlu kamu rebus. Yang selebihnya hidang dan simpanlah sampai pagi.’ ” Mereka menyimpannya sampai pagi sebagaimana yang diperintahkan Musa, tetapi roti itu tidak berbau busuk dan tidak berulat di dalamnya. Kata Musa, “Makanlah itu pada hari ini, kerana hari ini ialah hari Sabat bagi TUHAN, dan kamu tidak akan mendapatinya di padang. Selama enam hari kamu harus memungutnya, tetapi pada hari ketujuh, iaitu hari Sabat, tidak akan ada makanan itu.” Pada hari ketujuh, beberapa orang daripada bangsa itu keluar untuk memungutnya, tetapi mereka tidak mendapatinya. Lalu berfirmanlah TUHAN dengan perantaraan Musa, “Berapa lama lagikah kamu enggan mentaati perintah-Ku dan hukum-Ku? Ingatlah bahawa TUHAN telah mengurniakan hari Sabat kepadamu. Oleh sebab itu pada hari keenam Dia memberimu roti untuk dua hari. Pada hari ketujuh masing-masing harus tinggal di tempatnya, tiada seorang pun boleh keluar dari tempatnya.” Demikianlah bangsa itu beristirahat pada hari ketujuh.