KELUARAN 16:11-31

KELUARAN 16:11-31 Alkitab Berita Baik (BM)

TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku telah mendengar sungutan orang Israel. Katakan kepada mereka, bahawa pada waktu petang mereka akan mendapat daging untuk dimakan, dan pada waktu pagi mereka akan mendapat roti sebanyak yang diingini mereka. Oleh itu mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah mereka.” Pada petang hari, banyak sekali burung puyuh datang ke perkhemahan mereka sehingga meliputi seluruh perkhemahan. Pada waktu pagi, terdapat pula lapisan embun di sekeliling perkhemahan. Setelah embun itu mengewap, sesuatu yang tipis seperti sisik dan halus seperti embun yang beku terdapat di atas padang gurun. Apabila orang Israel melihatnya, mereka tidak tahu apa benda itu. Mereka bertanya satu sama lain, “Apakah benda ini?” Musa berkata kepada mereka, “Inilah makanan yang diberi oleh TUHAN kepada kamu untuk dimakan. TUHAN telah memberikan perintah supaya tiap-tiap orang mengumpulkan makanan itu seberapa banyak yang diperlukannya, iaitu sebanyak dua liter bagi setiap anggota keluarga.” Orang Israel berbuat demikian; ada yang mengumpulkan lebih daripada dua liter dan ada pula yang mengumpulkan kurang daripada itu. Ketika mereka menakarnya, ternyata bahawa orang yang mengumpulkan banyak tidak mendapat lebih, dan orang yang mengumpulkan sedikit tidak pula kekurangan. Tiap-tiap orang mengumpulkan sebanyak yang diperlukannya. Musa berkata kepada mereka, “Tiada sesiapa yang boleh menyimpan makanan walau sedikit pun sehingga esok.” Tetapi ada di kalangan mereka yang tidak mengendahkan kata-kata Musa, lalu menyimpan sebahagian daripada makanan itu. Pagi esoknya, makanan itu berulat dan berbau busuk, lalu Musa marah kepada mereka. Setiap pagi mereka mengumpulkan makanan itu, sebanyak yang diperlukan. Apabila matahari panas terik, makanan yang tertinggal di tanah mencair. Pada hari keenam mereka mengumpulkan makanan dua kali ganda banyaknya, sebanyak empat liter bagi setiap orang. Semua pemimpin umat itu datang dan memberitahukan hal itu kepada Musa. Musa berkata kepada mereka, “TUHAN memerintahkan bahawa esok hari rehat, hari suci yang ditahbiskan bagi-Nya. Pada hari ini bakarlah apa yang hendak kamu bakar, dan rebuslah apa yang hendak kamu rebus. Yang selebihnya, hendaklah diketepikan dan disimpan untuk esok.” Sebagaimana yang telah disuruh oleh Musa, mereka menyimpan lebihan makanan itu sehingga hari berikutnya; makanan itu tidak menjadi basi dan tidak berulat. Musa berkata, “Makanlah makanan ini pada hari ini, kerana hari ini hari Sabat, hari rehat yang telah ditahbiskan bagi TUHAN. Kamu tidak akan mendapat sebarang makanan di luar perkhemahan. Kamu mesti mengumpulkan makanan selama enam hari, tetapi pada hari ketujuh, hari rehat itu, tidak ada makanan untuk dipungut.” Pada hari ketujuh beberapa orang antara umat itu keluar untuk mengumpulkan makanan, tetapi tidak mendapati apa-apa. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Berapa lama lagi kamu tidak mahu taat kepada perintah-Ku? Ingatlah bahawa Aku, TUHAN telah memberikan hari rehat kepada kamu. Itulah sebabnya, pada hari keenam Aku memberi kamu makanan yang cukup untuk dua hari. Pada hari ketujuh setiap orang mesti tinggal di tempat masing-masing, dan tidak boleh meninggalkan rumahnya.” Oleh itu mereka tidak bekerja pada hari ketujuh. Umat Israel menamakan makanan itu manna. Rupanya seperti biji-biji kecil berwarna putih dan rasanya seperti biskut yang dibuat dengan madu.

KELUARAN 16:11-31 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Lalu TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku telah mendengar segala rungutan orang Israel. Katakanlah kepada mereka demikian, ‘Pada waktu senja kamu akan makan daging dan pada waktu pagi kamu akan kenyang dengan roti. Maka dengan itu kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allahmu.’ ” Pada petang hari itu datanglah burung-burung puyuh menutupi perkhemahan, dan pada pagi hari terdapat embun di sekeliling perkhemahan. Setelah embun itu mengewap, kelihatanlah benda-benda tipis berkelopak seperti sisik bagaikan embun beku halus di atas tanah permukaan gurun itu. Ketika orang Israel melihatnya, berkatalah mereka sesama diri, “Apakah ini?” kerana mereka tidak tahu apa benda itu. Kata Musa kepada mereka, “Inilah roti yang dikurniakan TUHAN kepadamu sebagai makanan. Beginilah perintah TUHAN, ‘Pungutlah makanan itu, masing-masing sebanyak yang dapat kamu makan. Ambillah satu omer untuk tiap-tiap kepala, selaras dengan jumlah jiwa yang ada di dalam khemah masing-masing.’ ” Demikianlah yang dilakukan orang Israel. Masing-masing memungutnya, ada yang banyak, ada yang sedikit. Ketika mereka mengukurnya dengan omer, ternyata orang yang memungut banyak tidak berlebihan, dan orang yang memungut sedikit tidak kekurangan. Masing-masing memungut sebanyak yang dapat dimakannya. Kata Musa kepada mereka, “Tiada seorang pun boleh meninggalkan sisa sampai pagi.” Tetapi ada beberapa orang yang tidak menghiraukan peringatan Musa. Mereka meninggalkan sisa sampai pagi hari, lalu sisa itu berulat dan berbau busuk. Maka marahlah Musa kepada mereka. Pagi demi pagi mereka memungutnya, masing-masing sebanyak yang dapat dimakan mereka. Namun begitu setelah ada panas matahari, cairlah makanan itu. Pada hari keenam mereka memungut roti itu dua kali ganda banyaknya, dua cupak untuk setiap orang. Kemudian datanglah semua pemimpin jemaah memberitahu Musa. Kata Musa kepada mereka, “Inilah yang telah difirmankan TUHAN, ‘Esok ialah hari istirahat penuh takzim, Sabat yang suci bagi TUHAN, sebab itu bakarlah apa yang perlu kamu bakar dan rebuslah apa yang perlu kamu rebus. Yang selebihnya hidang dan simpanlah sampai pagi.’ ” Mereka menyimpannya sampai pagi sebagaimana yang diperintahkan Musa, tetapi roti itu tidak berbau busuk dan tidak berulat di dalamnya. Kata Musa, “Makanlah itu pada hari ini, kerana hari ini ialah hari Sabat bagi TUHAN, dan kamu tidak akan mendapatinya di padang. Selama enam hari kamu harus memungutnya, tetapi pada hari ketujuh, iaitu hari Sabat, tidak akan ada makanan itu.” Pada hari ketujuh, beberapa orang daripada bangsa itu keluar untuk memungutnya, tetapi mereka tidak mendapatinya. Lalu berfirmanlah TUHAN dengan perantaraan Musa, “Berapa lama lagikah kamu enggan mentaati perintah-Ku dan hukum-Ku? Ingatlah bahawa TUHAN telah mengurniakan hari Sabat kepadamu. Oleh sebab itu pada hari keenam Dia memberimu roti untuk dua hari. Pada hari ketujuh masing-masing harus tinggal di tempatnya, tiada seorang pun boleh keluar dari tempatnya.” Demikianlah bangsa itu beristirahat pada hari ketujuh. Keturunan kaum Israel menamai roti itu manna. Besarnya seperti ketumbar, warnanya putih, dan rasanya seperti kuih bercampur madu.