KELUARAN 16:11-19
KELUARAN 16:11-19 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku telah mendengar sungutan orang Israel. Katakan kepada mereka, bahawa pada waktu petang mereka akan mendapat daging untuk dimakan, dan pada waktu pagi mereka akan mendapat roti sebanyak yang diingini mereka. Oleh itu mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah mereka.” Pada petang hari, banyak sekali burung puyuh datang ke perkhemahan mereka sehingga meliputi seluruh perkhemahan. Pada waktu pagi, terdapat pula lapisan embun di sekeliling perkhemahan. Setelah embun itu mengewap, sesuatu yang tipis seperti sisik dan halus seperti embun yang beku terdapat di atas padang gurun. Apabila orang Israel melihatnya, mereka tidak tahu apa benda itu. Mereka bertanya satu sama lain, “Apakah benda ini?” Musa berkata kepada mereka, “Inilah makanan yang diberi oleh TUHAN kepada kamu untuk dimakan. TUHAN telah memberikan perintah supaya tiap-tiap orang mengumpulkan makanan itu seberapa banyak yang diperlukannya, iaitu sebanyak dua liter bagi setiap anggota keluarga.” Orang Israel berbuat demikian; ada yang mengumpulkan lebih daripada dua liter dan ada pula yang mengumpulkan kurang daripada itu. Ketika mereka menakarnya, ternyata bahawa orang yang mengumpulkan banyak tidak mendapat lebih, dan orang yang mengumpulkan sedikit tidak pula kekurangan. Tiap-tiap orang mengumpulkan sebanyak yang diperlukannya. Musa berkata kepada mereka, “Tiada sesiapa yang boleh menyimpan makanan walau sedikit pun sehingga esok.”
KELUARAN 16:11-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Lalu TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku telah mendengar segala rungutan orang Israel. Katakanlah kepada mereka demikian, ‘Pada waktu senja kamu akan makan daging dan pada waktu pagi kamu akan kenyang dengan roti. Maka dengan itu kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allahmu.’ ” Pada petang hari itu datanglah burung-burung puyuh menutupi perkhemahan, dan pada pagi hari terdapat embun di sekeliling perkhemahan. Setelah embun itu mengewap, kelihatanlah benda-benda tipis berkelopak seperti sisik bagaikan embun beku halus di atas tanah permukaan gurun itu. Ketika orang Israel melihatnya, berkatalah mereka sesama diri, “Apakah ini?” kerana mereka tidak tahu apa benda itu. Kata Musa kepada mereka, “Inilah roti yang dikurniakan TUHAN kepadamu sebagai makanan. Beginilah perintah TUHAN, ‘Pungutlah makanan itu, masing-masing sebanyak yang dapat kamu makan. Ambillah satu omer untuk tiap-tiap kepala, selaras dengan jumlah jiwa yang ada di dalam khemah masing-masing.’ ” Demikianlah yang dilakukan orang Israel. Masing-masing memungutnya, ada yang banyak, ada yang sedikit. Ketika mereka mengukurnya dengan omer, ternyata orang yang memungut banyak tidak berlebihan, dan orang yang memungut sedikit tidak kekurangan. Masing-masing memungut sebanyak yang dapat dimakannya. Kata Musa kepada mereka, “Tiada seorang pun boleh meninggalkan sisa sampai pagi.”