KELUARAN 16:1-18

KELUARAN 16:1-18 Alkitab Berita Baik (BM)

Segenap umat Israel berangkat dari Elim. Pada hari kelima belas dalam bulan kedua sejak mereka meninggalkan Mesir, mereka tiba di padang gurun Sin yang terletak di antara Elim dan Sinai. Mereka semua bersungut-sungut terhadap Musa dan Harun di padang gurun itu. Mereka berkata kepada Musa dan Harun, “Lebih baik sekiranya kami mati dibunuh oleh TUHAN di Mesir. Di sana sekurang-kurangnya kami dapat duduk, serta makan daging, dan seberapa banyak makanan yang kami inginkan. Tetapi kamu telah membawa kami ke padang gurun ini supaya kami semua mati kelaparan.” TUHAN berfirman kepada Musa, “Sekarang Aku akan menghujani kamu semua dengan makanan dari langit. Tiap-tiap hari umat mesti keluar untuk mengumpulkan roti secukupnya bagi satu hari. Dengan cara ini Aku dapat menguji umat-Ku, supaya Aku tahu sama ada mereka mentaati perintah-Ku atau tidak. Pada hari yang keenam, mereka harus mengumpulkan makanan itu dua kali ganda banyaknya dan menyediakannya.” Oleh itu Musa dan Harun berkata kepada segenap umat Israel, “Pada petang ini kamu akan tahu bahawa TUHAN itulah yang membawa kamu keluar dari Mesir. Pada pagi hari kamu akan melihat cahaya hadirat TUHAN. Dia telah mendengar sungutan kamu terhadap-Nya; ya, terhadap-Nya, kerana kami hanya melaksanakan perintah-Nya.” Kemudian Musa berkata, “TUHAN akan memberi kamu daging untuk dimakan pada waktu petang, dan seberapa banyak roti yang kamu kehendaki pada waktu pagi, kerana Dia telah mendengar betapa seringnya kamu bersungut terhadap-Nya. Sesungguhnya, sungutan kamu bukanlah terhadap kami, tetapi terhadap TUHAN.” Musa berkata kepada Harun, “Suruhlah mereka semua datang menghadap TUHAN, kerana Dia telah mendengar sungutan mereka.” Sedang Harun berucap kepada mereka semua, mereka memandang ke hala padang gurun, dan tiba-tiba cahaya hadirat TUHAN kelihatan di dalam awan. TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku telah mendengar sungutan orang Israel. Katakan kepada mereka, bahawa pada waktu petang mereka akan mendapat daging untuk dimakan, dan pada waktu pagi mereka akan mendapat roti sebanyak yang diingini mereka. Oleh itu mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah mereka.” Pada petang hari, banyak sekali burung puyuh datang ke perkhemahan mereka sehingga meliputi seluruh perkhemahan. Pada waktu pagi, terdapat pula lapisan embun di sekeliling perkhemahan. Setelah embun itu mengewap, sesuatu yang tipis seperti sisik dan halus seperti embun yang beku terdapat di atas padang gurun. Apabila orang Israel melihatnya, mereka tidak tahu apa benda itu. Mereka bertanya satu sama lain, “Apakah benda ini?” Musa berkata kepada mereka, “Inilah makanan yang diberi oleh TUHAN kepada kamu untuk dimakan. TUHAN telah memberikan perintah supaya tiap-tiap orang mengumpulkan makanan itu seberapa banyak yang diperlukannya, iaitu sebanyak dua liter bagi setiap anggota keluarga.” Orang Israel berbuat demikian; ada yang mengumpulkan lebih daripada dua liter dan ada pula yang mengumpulkan kurang daripada itu. Ketika mereka menakarnya, ternyata bahawa orang yang mengumpulkan banyak tidak mendapat lebih, dan orang yang mengumpulkan sedikit tidak pula kekurangan. Tiap-tiap orang mengumpulkan sebanyak yang diperlukannya.

KELUARAN 16:1-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Seluruh jemaah Israel berangkat dari Elim, lalu sampailah mereka di Gurun Sin yang terletak di antara Elim dengan Gunung Sinai, tepat pada hari kelima belas dalam bulan kedua sejak mereka keluar dari Tanah Mesir. Akan tetapi, seluruh jemaah Israel bersungut-sungut terhadap Musa dan Harun di gurun itu. Kata orang Israel kepada mereka, “Ah, kalaulah dahulu kami mati di tangan TUHAN di Tanah Mesir ketika kami duduk menghadapi kuali berisi daging dan makan roti sampai kenyang! Tetapi kamu pula membawa kami keluar ke gurun ini untuk membunuh seluruh jemaah ini dengan kelaparan.” Kemudian berfirmanlah TUHAN kepada Musa, “Sesungguhnya, Aku akan menghujani kamu dengan roti dari langit. Tiap-tiap hari bangsa itu harus keluar untuk memungut keperluan satu hari secukupnya. Dengan demikian, Aku dapat menguji sama ada mereka mahu hidup menurut hukum-Ku. Pada hari keenam mereka harus memungut dua kali lipat ganda banyaknya daripada yang biasa dipungut mereka setiap hari, lalu memasak apa yang dibawa pulang oleh mereka.” Musa dan Harun pun berkata kepada seluruh orang Israel, “Petang ini kamu akan tahu bahawa TUHAN sajalah yang sudah membawa kamu keluar dari Tanah Mesir, dan esok pagi kamu akan melihat kemuliaan TUHAN, kerana Dia mendengar segala rungutanmu kepada TUHAN. Sebab, siapakah kami ini sehingga kamu bersungut-sungut terhadap kami?” Kata Musa lagi, “TUHAN akan memberi kamu makan daging pada petang hari, dan roti pada pagi hari sampai kamu kenyang, kerana TUHAN mendengar segala rungutan yang kamu tujukan kepada-Nya. Siapakah kami ini? Sesungguhnya, kamu bukannya bersungut-sungut kepada kami, tetapi kepada TUHAN.” Kemudian Musa berkata kepada Harun, “Katakanlah kepada seluruh jemaah Israel, ‘Marilah mendekati hadirat TUHAN, kerana Dia telah mendengar rungutanmu.’ ” Sewaktu Harun sedang berbicara kepada seluruh jemaah Israel, mereka berpaling ke arah gurun. Tiba-tiba terpaparlah kemuliaan TUHAN dalam awan. Lalu TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku telah mendengar segala rungutan orang Israel. Katakanlah kepada mereka demikian, ‘Pada waktu senja kamu akan makan daging dan pada waktu pagi kamu akan kenyang dengan roti. Maka dengan itu kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allahmu.’ ” Pada petang hari itu datanglah burung-burung puyuh menutupi perkhemahan, dan pada pagi hari terdapat embun di sekeliling perkhemahan. Setelah embun itu mengewap, kelihatanlah benda-benda tipis berkelopak seperti sisik bagaikan embun beku halus di atas tanah permukaan gurun itu. Ketika orang Israel melihatnya, berkatalah mereka sesama diri, “Apakah ini?” kerana mereka tidak tahu apa benda itu. Kata Musa kepada mereka, “Inilah roti yang dikurniakan TUHAN kepadamu sebagai makanan. Beginilah perintah TUHAN, ‘Pungutlah makanan itu, masing-masing sebanyak yang dapat kamu makan. Ambillah satu omer untuk tiap-tiap kepala, selaras dengan jumlah jiwa yang ada di dalam khemah masing-masing.’ ” Demikianlah yang dilakukan orang Israel. Masing-masing memungutnya, ada yang banyak, ada yang sedikit. Ketika mereka mengukurnya dengan omer, ternyata orang yang memungut banyak tidak berlebihan, dan orang yang memungut sedikit tidak kekurangan. Masing-masing memungut sebanyak yang dapat dimakannya.