KELUARAN 12:12-19
KELUARAN 12:12-20 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada malam itu Aku akan menjelajahi seluruh negeri Mesir, dan membunuh setiap anak lelaki sulung, serta setiap anak jantan sulung binatang. Aku akan menghukum semua dewa di Mesir; Akulah TUHAN. Darah pada tiang pintu rumah akan menjadi tanda bagi rumah tempat tinggal kamu. Apabila Aku nampak darah itu, Aku akan melalui kamu, dan tidak menghukum kamu semasa Aku menghukum orang Mesir. Kamu mesti merayakan hari itu sebagai perayaan bagi TUHAN, untuk mengingatkan kamu tentang apa yang telah Aku lakukan. Rayakanlah hari itu setiap tahun, selama-lamanya.” TUHAN berfirman, “Selama tujuh hari kamu tidak boleh makan roti yang beragi. Makanlah roti yang tidak beragi saja. Pada hari pertama kamu mesti membuang segala ragi yang terdapat di dalam rumah kamu. Jika ada seseorang yang makan roti beragi selama tujuh hari itu, dia tidak lagi dianggap sebagai anggota umat-Ku. Pada hari pertama, dan sekali lagi pada hari ketujuh, kamu mesti berkumpul untuk beribadat. Pada hari-hari itu kamu tidak boleh melakukan pekerjaan apa pun, tetapi kamu boleh menyiapkan makanan. Rayakanlah Perayaan Roti Tidak Beragi, kerana pada hari itu Aku membawa suku-suku kamu keluar dari Mesir. Rayakanlah hari itu sebagai perayaan pada setiap tahun untuk selama-lamanya. Kamu mesti makan roti yang tidak beragi, mulai pada malam hari yang keempat belas bulan pertama sehingga malam hari yang kedua puluh satu. Selama tujuh hari, ragi tidak boleh disimpan di dalam rumah kamu, kerana sesiapa yang memakan roti yang beragi, baik dia orang asing ataupun orang Israel, dia tidak akan dianggap sebagai umat-Ku lagi.”
KELUARAN 12:12-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada malam itu juga, Aku akan melintasi Tanah Mesir dan menyerang semua anak sulung di Tanah Mesir, daripada anak manusia sampai anak binatang. Akan Kuhukum semua tuhan sembahan warga Mesir. Akulah TUHAN. Darah itu akan menjadi tanda bagimu di rumah-rumah yang kamu diami. Apabila Aku melihat darah itu, maka Aku akan melalui kamu sehingga rumahmu tidak ditimpa azab kemusnahan pada waktu Aku mengazabkan Tanah Mesir. Hari ini akan menjadi hari yang harus kamu ingati. Kamu hendaklah merayakannya turun-temurun sebagai hari perayaan bagi TUHAN, dan perayaan itu hendaklah menjadi ketetapan buat selama-lamanya. Kamu harus makan roti yang tidak beragi tujuh hari lamanya. Pada hari pertama, buanglah ragi dari rumahmu, kerana sesiapa pun makan sesuatu yang beragi dari hari pertama sampai hari ketujuh, hendaklah dia disingkirkan daripada Israel. Pada hari pertama adakanlah perhimpunan jemaah yang suci, demikian pula pada hari ketujuh. Pada hari-hari itu tidak boleh dilakukan pekerjaan apa-apa pun, kecuali mempersiapkan makanan yang harus dimakan oleh setiap orang. Rayakanlah selalu Perayaan Roti Tidak Beragi, kerana tepat pada hari ini Aku membawa rombonganmu keluar dari Tanah Mesir. Oleh sebab itu rayakanlah selalu hari ini turun-temurun sebagai suatu ketetapan untuk selama-lamanya. Mulai dari petang hari pada hari keempat belas bulan pertama, makanlah roti yang tidak beragi sampai pada petang hari pada hari kedua puluh satu bulan itu juga. Tujuh hari lamanya tidak boleh ada ragi dalam rumahmu, kerana sesiapa pun makan sesuatu yang beragi, dia harus disingkirkan daripada antara jemaah Israel, baik pendatang mahupun warga asli.