KELUARAN 12:1-28

KELUARAN 12:1-28 Alkitab Berita Baik (BM)

TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun di negeri Mesir, “Bulan ini menjadi bulan pertama bagi tahun kalendar kamu. Sampaikanlah perintah ini kepada segenap umat Israel: Pada hari kesepuluh bulan ini setiap orang lelaki mesti memilih seekor anak domba atau seekor anak kambing untuk dimakan bersama-sama keluarganya. Jika keluarganya terlalu kecil untuk menghabiskan seekor binatang, maka keluarga itu boleh makan binatang itu bersama-sama jiran mereka yang terdekat. Binatang itu harus dibahagi menurut jumlah orang yang makan. Kamu boleh memilih seekor domba ataupun seekor kambing, tetapi binatang itu mesti jantan yang berumur satu tahun, dan yang tidak ada cacat. Kamu harus menjaga binatang itu sehingga hari keempat belas bulan itu. Pada sebelah petang hari itu, segenap umat Israel akan menyembelih binatang-binatang itu. Mereka mesti mengambil sedikit darah binatang itu dan menyapukannya pada kedua-dua batang tiang pintu dan pada ambang pintu rumah, tempat mereka memakan binatang itu. Pada malamnya, daging binatang itu mesti dipanggang dan dimakan dengan sayur pahit serta roti tidak beragi. Binatang itu mesti dipanggang seluruhnya, lengkap dengan kepala, kaki, dan isi perutnya. Makanlah daging yang sudah dipanggang itu; jangan makan daging yang mentah atau yang direbus. Jangan tinggalkan sedikit pun daripada daging itu sehingga pagi; jika ada sisanya, daging itu mesti dibakar sampai habis. Semasa makan, kamu mesti sudah berpakaian lengkap untuk perjalanan; kamu sudah memakai kasut dan memegang tongkat. Kamu mesti makan cepat-cepat. Itulah Perayaan Paska untuk menghormati Aku, TUHAN. Pada malam itu Aku akan menjelajahi seluruh negeri Mesir, dan membunuh setiap anak lelaki sulung, serta setiap anak jantan sulung binatang. Aku akan menghukum semua dewa di Mesir; Akulah TUHAN. Darah pada tiang pintu rumah akan menjadi tanda bagi rumah tempat tinggal kamu. Apabila Aku nampak darah itu, Aku akan melalui kamu, dan tidak menghukum kamu semasa Aku menghukum orang Mesir. Kamu mesti merayakan hari itu sebagai perayaan bagi TUHAN, untuk mengingatkan kamu tentang apa yang telah Aku lakukan. Rayakanlah hari itu setiap tahun, selama-lamanya.” TUHAN berfirman, “Selama tujuh hari kamu tidak boleh makan roti yang beragi. Makanlah roti yang tidak beragi saja. Pada hari pertama kamu mesti membuang segala ragi yang terdapat di dalam rumah kamu. Jika ada seseorang yang makan roti beragi selama tujuh hari itu, dia tidak lagi dianggap sebagai anggota umat-Ku. Pada hari pertama, dan sekali lagi pada hari ketujuh, kamu mesti berkumpul untuk beribadat. Pada hari-hari itu kamu tidak boleh melakukan pekerjaan apa pun, tetapi kamu boleh menyiapkan makanan. Rayakanlah Perayaan Roti Tidak Beragi, kerana pada hari itu Aku membawa suku-suku kamu keluar dari Mesir. Rayakanlah hari itu sebagai perayaan pada setiap tahun untuk selama-lamanya. Kamu mesti makan roti yang tidak beragi, mulai pada malam hari yang keempat belas bulan pertama sehingga malam hari yang kedua puluh satu. Selama tujuh hari, ragi tidak boleh disimpan di dalam rumah kamu, kerana sesiapa yang memakan roti yang beragi, baik dia orang asing ataupun orang Israel, dia tidak akan dianggap sebagai umat-Ku lagi.” Musa memanggil semua pemimpin Israel dan berkata kepada mereka, “Setiap orang daripada kamu harus mengambil seekor anak domba atau seekor anak kambing untuk keluarga masing-masing. Kemudian sembelihlah binatang itu supaya keluarga kamu dapat merayakan Paska. Ambillah seikat hisop dan celupkannya ke dalam mangkuk yang berisi darah binatang itu, lalu sapukan darah itu pada tiang pintu dan ambang pintu rumah kamu. Tiada seorang pun boleh keluar dari rumah sehingga pagi. Apabila TUHAN menjelajahi seluruh negeri Mesir untuk membunuh orang Mesir, TUHAN akan nampak darah pada tiang pintu dan ambang pintu rumah kamu, maka Dia akan lalu dan tidak membenarkan Malaikat Maut masuk ke dalam rumah kamu untuk membunuh kamu. Kamu dan anak-anak kamu mesti patuh kepada peraturan ini selama-lamanya. Apabila kamu masuk ke negeri yang telah dijanjikan TUHAN kepada kamu, kamu mesti mengadakan upacara ini. Apabila anak-anak kamu bertanya, ‘Apakah makna upacara ini?’ Kamu harus menjawab, ‘Inilah korban Paska untuk menghormati TUHAN, kerana Dia telah melalui rumah orang Israel di Mesir. Dia membunuh orang Mesir, tetapi Dia membiarkan kita hidup.’ ” Kemudian orang Israel bersujud menyembah. Selepas itu mereka pergi dan melakukan apa yang telah diperintahkan TUHAN kepada Musa dan Harun.

KELUARAN 12:1-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Demikianlah firman TUHAN kepada Musa dan Harun di Tanah Mesir, “Bulan ini akan menjadi bulan pertama bagimu dalam setahun. Katakanlah kepada seluruh jemaah Israel demikian, ‘Pada hari kesepuluh dalam bulan ini setiap orang hendaklah mengambil seekor anak domba menurut isi rumah kaum keluarganya, seekor anak domba untuk setiap isi rumah. Jika satu isi rumah terlalu kecil untuk menghabiskan seekor anak domba, maka bersama dengan isi rumah tetangga yang terdekat hendaklah mengambil seekor domba menurut jumlah orang di sana. Cuba kira berapa banyak anak domba yang diperlukan memenuhi jumlah yang dapat dimakan oleh setiap orang. Hendaklah anak domba atau anak kambing itu — kamu boleh memilihnya — jantan, berumur setahun, dan tiada cacat celanya. Kamu hendaklah menjaganya sampai hari keempat belas dalam bulan ini, lalu setelah itu seluruh jemaah Israel hendaklah menyembelihnya pada waktu senja.’ Hendaklah darahnya diambil sedikit lalu disapukan pada kedua-dua tiang pintu serta pada ambang setiap daun pintu rumah di mana orang memakan domba tersebut. Dagingnya, yang sudah dipanggang di atas api, harus dimakan mereka pada malam itu juga dengan roti yang tidak beragi serta sayur herba pahit. Janganlah makan daging itu mentah-mentah atau setelah direbus di dalam air, tetapi makanlah setelah dipanggang di atas api lengkap dengan kepala, kaki, dan isi perutnya. Jangan tinggalkan sisa-sisanya sampai pagi. Kesemua sisa yang tertinggal sampai pagi hendaklah kamu bakar habis. Beginilah kamu harus memakannya, iaitu dengan pinggang berikat, kaki berkasut, dan dengan tongkat di tanganmu. Kamu harus memakannya dengan terburu-buru kerana itulah Perayaan Paskah bagi TUHAN. Pada malam itu juga, Aku akan melintasi Tanah Mesir dan menyerang semua anak sulung di Tanah Mesir, daripada anak manusia sampai anak binatang. Akan Kuhukum semua tuhan sembahan warga Mesir. Akulah TUHAN. Darah itu akan menjadi tanda bagimu di rumah-rumah yang kamu diami. Apabila Aku melihat darah itu, maka Aku akan melalui kamu sehingga rumahmu tidak ditimpa azab kemusnahan pada waktu Aku mengazabkan Tanah Mesir. Hari ini akan menjadi hari yang harus kamu ingati. Kamu hendaklah merayakannya turun-temurun sebagai hari perayaan bagi TUHAN, dan perayaan itu hendaklah menjadi ketetapan buat selama-lamanya. Kamu harus makan roti yang tidak beragi tujuh hari lamanya. Pada hari pertama, buanglah ragi dari rumahmu, kerana sesiapa pun makan sesuatu yang beragi dari hari pertama sampai hari ketujuh, hendaklah dia disingkirkan daripada Israel. Pada hari pertama adakanlah perhimpunan jemaah yang suci, demikian pula pada hari ketujuh. Pada hari-hari itu tidak boleh dilakukan pekerjaan apa-apa pun, kecuali mempersiapkan makanan yang harus dimakan oleh setiap orang. Rayakanlah selalu Perayaan Roti Tidak Beragi, kerana tepat pada hari ini Aku membawa rombonganmu keluar dari Tanah Mesir. Oleh sebab itu rayakanlah selalu hari ini turun-temurun sebagai suatu ketetapan untuk selama-lamanya. Mulai dari petang hari pada hari keempat belas bulan pertama, makanlah roti yang tidak beragi sampai pada petang hari pada hari kedua puluh satu bulan itu juga. Tujuh hari lamanya tidak boleh ada ragi dalam rumahmu, kerana sesiapa pun makan sesuatu yang beragi, dia harus disingkirkan daripada antara jemaah Israel, baik pendatang mahupun warga asli. Apa pun yang beragi tidak boleh kamu makan. Di seluruh tempat tinggalmu kamu harus makan roti yang tidak beragi.” Kemudian Musa memanggil semua tua-tua Israel dan berkata kepada mereka, “Pergilah, ambillah anak domba bagi kaum keluargamu, dan sembelihlah domba Paskah. Ambillah seikat ranting hisop, celuplah di dalam darah yang telah ditempatkan dalam sebuah mangkuk, lalu sapukanlah darah itu pada ambang pintu serta kedua-dua tiang pintu rumah. Tiada seorang pun dalam kalangan kamu boleh keluar dari pintu rumahnya sampai pagi hari, kerana TUHAN akan melintas untuk mengazabkan warga Mesir. Apabila Dia melihat darah pada ambang pintu serta kedua-dua tiang pintu sesebuah rumah, maka TUHAN akan melalui pintu itu dan tidak membiarkan pemusnah masuk ke dalam rumahmu untuk mengazabkan kamu. Lakukanlah hal ini setiap kali dan jadikannya sebagai suatu ketetapan bagimu serta bagi anak-anakmu buat selama-lamanya. Jadi, apabila kamu telah memasuki negeri yang akan TUHAN kurniakan kepadamu seperti yang difirmankan-Nya, kamu hendaklah terus memegang ibadat ini. Nanti, apabila anak-anakmu bertanya kepadamu, ‘Apakah erti ibadat ini kepada Ayah?’ maka kamu harus menjawab, ‘Ini korban Paskah bagi TUHAN. Ketika TUHAN mengazabkan warga Mesir, Dia melalui rumah-rumah orang Israel di Mesir dan menyelamatkan rumah-rumah kita.’ ” Lalu orang Israel menundukkan kepala dan sujud menyembah. Kemudian pergilah orang Israel, melaksanakan apa yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa dan Harun.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami