KELUARAN 12:1-14

KELUARAN 12:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun di negeri Mesir, “Bulan ini menjadi bulan pertama bagi tahun kalendar kamu. Sampaikanlah perintah ini kepada segenap umat Israel: Pada hari kesepuluh bulan ini setiap orang lelaki mesti memilih seekor anak domba atau seekor anak kambing untuk dimakan bersama-sama keluarganya. Jika keluarganya terlalu kecil untuk menghabiskan seekor binatang, maka keluarga itu boleh makan binatang itu bersama-sama jiran mereka yang terdekat. Binatang itu harus dibahagi menurut jumlah orang yang makan. Kamu boleh memilih seekor domba ataupun seekor kambing, tetapi binatang itu mesti jantan yang berumur satu tahun, dan yang tidak ada cacat. Kamu harus menjaga binatang itu sehingga hari keempat belas bulan itu. Pada sebelah petang hari itu, segenap umat Israel akan menyembelih binatang-binatang itu. Mereka mesti mengambil sedikit darah binatang itu dan menyapukannya pada kedua-dua batang tiang pintu dan pada ambang pintu rumah, tempat mereka memakan binatang itu. Pada malamnya, daging binatang itu mesti dipanggang dan dimakan dengan sayur pahit serta roti tidak beragi. Binatang itu mesti dipanggang seluruhnya, lengkap dengan kepala, kaki, dan isi perutnya. Makanlah daging yang sudah dipanggang itu; jangan makan daging yang mentah atau yang direbus. Jangan tinggalkan sedikit pun daripada daging itu sehingga pagi; jika ada sisanya, daging itu mesti dibakar sampai habis. Semasa makan, kamu mesti sudah berpakaian lengkap untuk perjalanan; kamu sudah memakai kasut dan memegang tongkat. Kamu mesti makan cepat-cepat. Itulah Perayaan Paska untuk menghormati Aku, TUHAN. Pada malam itu Aku akan menjelajahi seluruh negeri Mesir, dan membunuh setiap anak lelaki sulung, serta setiap anak jantan sulung binatang. Aku akan menghukum semua dewa di Mesir; Akulah TUHAN. Darah pada tiang pintu rumah akan menjadi tanda bagi rumah tempat tinggal kamu. Apabila Aku nampak darah itu, Aku akan melalui kamu, dan tidak menghukum kamu semasa Aku menghukum orang Mesir. Kamu mesti merayakan hari itu sebagai perayaan bagi TUHAN, untuk mengingatkan kamu tentang apa yang telah Aku lakukan. Rayakanlah hari itu setiap tahun, selama-lamanya.”

KELUARAN 12:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Demikianlah firman TUHAN kepada Musa dan Harun di Tanah Mesir, “Bulan ini akan menjadi bulan pertama bagimu dalam setahun. Katakanlah kepada seluruh jemaah Israel demikian, ‘Pada hari kesepuluh dalam bulan ini setiap orang hendaklah mengambil seekor anak domba menurut isi rumah kaum keluarganya, seekor anak domba untuk setiap isi rumah. Jika satu isi rumah terlalu kecil untuk menghabiskan seekor anak domba, maka bersama dengan isi rumah tetangga yang terdekat hendaklah mengambil seekor domba menurut jumlah orang di sana. Cuba kira berapa banyak anak domba yang diperlukan memenuhi jumlah yang dapat dimakan oleh setiap orang. Hendaklah anak domba atau anak kambing itu — kamu boleh memilihnya — jantan, berumur setahun, dan tiada cacat celanya. Kamu hendaklah menjaganya sampai hari keempat belas dalam bulan ini, lalu setelah itu seluruh jemaah Israel hendaklah menyembelihnya pada waktu senja.’ Hendaklah darahnya diambil sedikit lalu disapukan pada kedua-dua tiang pintu serta pada ambang setiap daun pintu rumah di mana orang memakan domba tersebut. Dagingnya, yang sudah dipanggang di atas api, harus dimakan mereka pada malam itu juga dengan roti yang tidak beragi serta sayur herba pahit. Janganlah makan daging itu mentah-mentah atau setelah direbus di dalam air, tetapi makanlah setelah dipanggang di atas api lengkap dengan kepala, kaki, dan isi perutnya. Jangan tinggalkan sisa-sisanya sampai pagi. Kesemua sisa yang tertinggal sampai pagi hendaklah kamu bakar habis. Beginilah kamu harus memakannya, iaitu dengan pinggang berikat, kaki berkasut, dan dengan tongkat di tanganmu. Kamu harus memakannya dengan terburu-buru kerana itulah Perayaan Paskah bagi TUHAN. Pada malam itu juga, Aku akan melintasi Tanah Mesir dan menyerang semua anak sulung di Tanah Mesir, daripada anak manusia sampai anak binatang. Akan Kuhukum semua tuhan sembahan warga Mesir. Akulah TUHAN. Darah itu akan menjadi tanda bagimu di rumah-rumah yang kamu diami. Apabila Aku melihat darah itu, maka Aku akan melalui kamu sehingga rumahmu tidak ditimpa azab kemusnahan pada waktu Aku mengazabkan Tanah Mesir. Hari ini akan menjadi hari yang harus kamu ingati. Kamu hendaklah merayakannya turun-temurun sebagai hari perayaan bagi TUHAN, dan perayaan itu hendaklah menjadi ketetapan buat selama-lamanya.