KELUARAN 11:1-7
KELUARAN 11:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku akan menjatuhkan hanya satu hukuman lagi kepada raja Mesir dan rakyatnya. Selepas itu, dia akan membenarkan kamu pergi. Malah, dia akan menghalau kamu dari sini. Oleh itu, berucaplah kepada segenap umat Israel; suruhlah mereka semua meminta barang perhiasan emas dan perak daripada jiran mereka.” TUHAN menyebabkan orang Mesir menghormati orang Israel. Para pegawai dan rakyat Mesir sangat menghormati Musa. Kemudian Musa berkata kepada raja, “Inilah yang difirmankan TUHAN, ‘Pada kira-kira tengah malam, Aku akan menjelajahi negeri Mesir. Setiap anak lelaki sulung di Mesir akan mati, mulai daripada putera sulung raja yang menjadi waris takhta, hingga kepada anak lelaki sulung abdi perempuan yang mengisar biji-bijian. Anak sulung semua ternakan juga akan mati. Tangisan yang kuat akan terdengar di seluruh Mesir; hal itu belum pernah terjadi dan tidak akan berlaku lagi. Tetapi di kalangan orang Israel, baik manusia mahupun binatang, tidak akan diganggu. Dengan itu, engkau akan tahu bahawa Aku, TUHAN, membuat perbezaan antara orang Mesir dengan orang Israel.’ ”
KELUARAN 11:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku akan mendatangkan satu azab lagi atas Firaun dan atas Mesir, sesudah itu barulah dia akan mengizinkan kamu pergi dari sini dan dia akan benar-benar mengusir kamu dari sini. Katakanlah kepada orang Israel, hendaklah setiap lelaki minta daripada tetangganya barang-barang perak dan emas, dan begitu jugalah setiap perempuan meminta daripada tetangganya.” Lalu TUHAN membuat warga Mesir berbaik hati kepada umat itu, apatah lagi pula, Musa memang seorang yang dipandang tinggi di Tanah Mesir, baik di mata pegawai-pegawai Firaun mahupun di mata rakyat. Kata Musa, “Beginilah firman TUHAN, ‘Pada waktu tengah malam Aku akan datang ke tengah-tengah Mesir. Maka semua anak sulung di Tanah Mesir akan mati, mulai anak sulung Firaun yang duduk di atas takhtanya hingga anak sulung hamba perempuan yang bekerja menggunakan pengisar itu, dan juga semua anak sulung ternakan.’ Tangisan yang kuat akan berlaku di seluruh Tanah Mesir yang belum pernah terjadi sebelum itu dan tidak akan terjadi lagi. Akan tetapi, kepada siapa pun daripada orang Israel, baik manusia mahupun binatang, tidak ada seekor anjing pun akan berani menyalak, supaya kamu tahu bahawa TUHAN membezakan di antara warga Mesir dengan orang Israel.