ESTER 5:1-8
ESTER 5:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada hari ketiga puasanya, Ester memakai pakaian permaisuri, lalu pergi ke halaman bahagian dalam di istana dan berdiri di hadapan pintu balairung. Raja sedang duduk di atas takhta yang menghadap pintu itu. Apabila raja nampak Permaisuri Ester berdiri di luar, raja berasa sayang kepadanya, lalu menghulurkan tongkat emas kepadanya. Oleh itu Ester maju lalu menyentuh hujung tongkat itu. Kemudian raja bertanya, “Apa hajat adinda, Permaisuri Ester? Katakanlah! Beta akan memberikannya meskipun setengah daripada kerajaan beta.” Ester menjawab, “Jika tuanku berkenan, hamba ingin menjemput tuanku dan Haman ke jamuan makan yang hamba adakan untuk tuanku pada malam ini.” Oleh itu raja memerintah Haman menghadap dengan segera supaya mereka dapat memenuhi jemputan Ester. Raja dan Haman menghadiri jamuan makan yang diberikan oleh Ester. Ketika mereka minum wain, raja bertanya kepada Ester, “Sekarang katakanlah keinginanmu, dan beta akan mengabulkannya. Apa pun permintaan adinda akan beta berikan, walaupun setengah daripada kerajaan beta!” Ester menjawab, “Jika tuanku berkenan untuk mengabulkan permintaan hamba, hamba ingin menjemput tuanku dan Haman sekali lagi ke jamuan makan yang hamba adakan esok. Nanti pada waktu itu hamba akan mengajukan permohonan hamba kepada tuanku.”
ESTER 5:1-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Maka pada hari ketiga, Ester mengenakan pakaian diraja lalu berdiri di laman dalam istana raja, tepat di hadapan istana raja. Raja sedang bersemayam di atas takhta kerajaan, di dalam istana, berhadapan dengan pintu gerbang istana. Apabila raja terlihat bahawa Ratu Ester berdiri di laman dalam, baginda perkenankannya lalu menghulurkan cokmar emas di tangannya kepada Ester. Ester pun mendekati lalu menyentuh hujung cokmar itu. Raja bertitah kepadanya, “Apakah kemahuanmu, Ratu Ester? Apa-apa pun permintaanmu, sekalipun kamu mahu sampai separuh daripada kerajaan pun akan diberikan kepadamu.” Jawab Ester, “Jika tuanku perkenankan, sudilah kiranya tuanku dan Haman datang pada hari ini ke jamuan yang hamba adakan untuk tuanku.” Maka raja memberikan perintah, “Suruhlah Haman bergegas ke mari supaya kami dapat memenuhi permintaan Ester.” Maka datanglah raja dan Haman ke jamuan yang diadakan oleh Ester. Ketika baginda minum air anggur, raja berkata kepada Ester, “Apakah permohonanmu? Pasti akan dikabulkan untukmu. Apakah permintaanmu? Meskipun sampai separuh daripada kerajaan ini pun akan dipenuhi.” Jawab Ester, “Inilah permohonan dan permintaan hamba: jika tuanku bermurah hati kepada hamba dan jika baik menurut tuanku untuk meluluskan permohonan hamba dan memenuhi permintaan hamba itu, sudilah kiranya tuanku datang lagi berserta Haman pada hari esok ke jamuan yang akan hamba adakan untuk tuanku dan Haman. Esok hamba akan menjawab pertanyaan tuanku.”