ESTER 4:7-14

ESTER 4:7-14 Alkitab Berita Baik (BM)

Mordekhai memberitahu dia segala yang dialaminya, dan berapa banyak wang perak yang dijanjikan oleh Haman untuk dimasukkan ke dalam perbendaharaan diraja, setelah semua orang Yahudi dibunuh. Dia memberi Hatah salinan surat raja yang sudah diisytiharkan di Susan, yang mengandungi perintah untuk membinasakan semua orang Yahudi. Mordekhai menyuruh Hatah membawa surat itu kepada Ester dan menjelaskan perkara itu kepadanya. Mordekhai juga meminta supaya Ester menghadap raja dan memohon belas kasihan bagi bangsanya. Kemudian Hatah pergi kepada Ester dan menyampaikan pesan Mordekhai kepadanya. Tetapi Ester mengutus Hatah kembali kepada Mordekhai dengan pesan berikut, “Sesiapa sahaja, lelaki atau perempuan, akan dihukum mati, jika dia masuk menghadap raja di istana, di halaman bahagian dalam, tanpa dipanggil oleh raja sendiri. Itulah undang-undang, dan semua orang, baik penasihat raja mahupun rakyat jelata, mengetahui hal itu. Ada satu jalan saja untuk lepas daripada undang-undang itu, iaitu apabila raja menghulurkan tongkat emasnya kepada orang yang datang menghadap. Tetapi sudah satu bulan raja tidak memanggil saya.” Selepas Mordekhai menerima pesan Ester itu, dia mengirim amaran berikut kepada Ester, “Jangan sangka bahawa kamu lebih selamat daripada orang Yahudi yang lain hanya kerana kamu tinggal di istana. Jika kamu berdiam diri dalam keadaan seperti ini, orang Yahudi pasti akan mendapat pertolongan dari syurga, tetapi kamu sendiri akan mati dan keluarga bapamu akan berakhir. Siapa tahu, mungkin justeru untuk saat-saat seperti inilah kamu sudah dipilih menjadi permaisuri!”

ESTER 4:7-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Disampaikanlah oleh Mordekhai kepada Hatah segala sesuatu yang dialaminya dan berapa banyak wang yang dijanjikan Haman untuk dibayar kepada perbendaharaan raja sebagai harga pembinasaan orang Yahudi. Dia juga memberi Hatah salinan titah yang dikeluarkan di Susan untuk memusnahkan mereka, supaya ditunjukkan kepada Ester. Hatah disuruh menyampaikan pesan kepada Ester supaya Ester pergi menghadap raja untuk memohon belas kasihan baginda dan mengajukan rayuan bagi bangsanya di hadapan baginda. Maka pergilah Hatah untuk menyampaikan kata-kata Mordekhai kepada Ester. Lalu Ester menyuruh Hatah menyampaikan pesan kepada Mordekhai, “Semua pegawai raja dan rakyat di wilayah-wilayah kerajaan tahu bahawa hukuman mati ialah satu-satunya peraturan bagi setiap laki-laki atau perempuan yang masuk menghadap raja di laman dalam, tanpa dipanggil. Hanya jika raja menghulurkan cokmar emas kepadanya, barulah dia dapat tetap hidup. Tetapi sudah selama tiga puluh hari, aku belum juga dipanggil masuk menghadap raja.” Ketika kata-kata Ester itu disampaikan kepada Mordekhai, dia menyuruh agar disampaikan jawapan ini kepada Ester, “Jangan sangka kerana kamu berada di dalam istana raja, hanya kamu daripada antara orang Yahudi yang kelak terlepas. Jika pada saat ini engkau berdiam diri sahaja, maka kelegaan dan pembebasan bagi orang Yahudi akan datang daripada pihak lain, tetapi engkau dan kaum keluargamu akan binasa. Siapa tahu, mungkin untuk saat seperti inilah engkau telah mencapai kedudukan diraja dalam kerajaan itu.”