ESTER 4:12-17
ESTER 4:12-17 Alkitab Berita Baik (BM)
Selepas Mordekhai menerima pesan Ester itu, dia mengirim amaran berikut kepada Ester, “Jangan sangka bahawa kamu lebih selamat daripada orang Yahudi yang lain hanya kerana kamu tinggal di istana. Jika kamu berdiam diri dalam keadaan seperti ini, orang Yahudi pasti akan mendapat pertolongan dari syurga, tetapi kamu sendiri akan mati dan keluarga bapamu akan berakhir. Siapa tahu, mungkin justeru untuk saat-saat seperti inilah kamu sudah dipilih menjadi permaisuri!” Kemudian Ester mengirimkan pesan berikut kepada Mordekhai, “Suruhlah semua orang Yahudi di Susan berkumpul. Suruhlah mereka berpuasa dan berdoa bagi saya. Jangan makan atau minum apa-apa pun selama tiga hari dan tiga malam. Saya sendiri dan dayang-dayang saya pun akan berbuat demikian. Setelah itu saya akan menghadap raja, walaupun perbuatan itu melanggar undang-undang. Jika saya harus mati kerana hal itu, biarlah saya mati!” Kemudian Mordekhai pergi dari situ dan melakukan semua yang dipesankan oleh Ester.
ESTER 4:12-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ketika kata-kata Ester itu disampaikan kepada Mordekhai, dia menyuruh agar disampaikan jawapan ini kepada Ester, “Jangan sangka kerana kamu berada di dalam istana raja, hanya kamu daripada antara orang Yahudi yang kelak terlepas. Jika pada saat ini engkau berdiam diri sahaja, maka kelegaan dan pembebasan bagi orang Yahudi akan datang daripada pihak lain, tetapi engkau dan kaum keluargamu akan binasa. Siapa tahu, mungkin untuk saat seperti inilah engkau telah mencapai kedudukan diraja dalam kerajaan itu.” Lalu Ester menyuruh agar jawapan ini disampaikan kepada Mordekhai, “Pergilah, kumpulkan semua orang Yahudi yang ada di Susan dan berpuasalah untuk aku. Jangan makan dan jangan minum selama tiga hari, baik malam mahupun siang. Aku dan para dayangku pun akan berpuasa secara demikian, kemudian aku akan masuk menghadap raja, sekalipun bertentangan dengan undang-undang. Jika kerana itu aku harus binasa, biarlah aku binasa.” Maka pergilah Mordekhai lalu dilakukannya sebagaimana yang diarahkan oleh Ester kepadanya.