ESTER 4:1-17

ESTER 4:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)

Apabila Mordekhai mendengar segala yang sudah berlaku, dia mengoyakkan pakaiannya sebagai tanda bersedih. Dia memakai kain guni, dan membubuhi kepalanya dengan abu, lalu berjalan-jalan di kota sambil menangis dengan nyaring dan pilu. Akhirnya dia tiba di pintu gerbang istana, tetapi dia tidak masuk, kerana orang yang berpakaian kain guni tidak dibenarkan masuk. Di setiap wilayah, di mana sahaja titah raja itu dibacakan, orang Yahudi meratap dengan pilu. Mereka berpuasa, menangis, dan meraung; dan banyak di kalangan mereka yang memakai kain guni dan berbaring di atas abu. Apabila dayang-dayang dan sida-sida yang melayani Ester memberitahu Ester apa yang sedang dilakukan Mordekhai, Ester sangat gelisah. Dia mengirim pakaian kepada Mordekhai supaya dia tidak memakai kain guni, tetapi Mordekhai tidak mahu menerimanya. Kemudian Ester memanggil Hatah, salah seorang sida-sida di istana yang ditugaskan raja untuk melayani Ester. Ester menyuruh Hatah bertanya kepada Mordekhai apa yang sedang berlaku dan mengapa dia bertindak begitu. Hatah pergi kepada Mordekhai di lapangan kota, di hadapan pintu gerbang istana. Mordekhai memberitahu dia segala yang dialaminya, dan berapa banyak wang perak yang dijanjikan oleh Haman untuk dimasukkan ke dalam perbendaharaan diraja, setelah semua orang Yahudi dibunuh. Dia memberi Hatah salinan surat raja yang sudah diisytiharkan di Susan, yang mengandungi perintah untuk membinasakan semua orang Yahudi. Mordekhai menyuruh Hatah membawa surat itu kepada Ester dan menjelaskan perkara itu kepadanya. Mordekhai juga meminta supaya Ester menghadap raja dan memohon belas kasihan bagi bangsanya. Kemudian Hatah pergi kepada Ester dan menyampaikan pesan Mordekhai kepadanya. Tetapi Ester mengutus Hatah kembali kepada Mordekhai dengan pesan berikut, “Sesiapa sahaja, lelaki atau perempuan, akan dihukum mati, jika dia masuk menghadap raja di istana, di halaman bahagian dalam, tanpa dipanggil oleh raja sendiri. Itulah undang-undang, dan semua orang, baik penasihat raja mahupun rakyat jelata, mengetahui hal itu. Ada satu jalan saja untuk lepas daripada undang-undang itu, iaitu apabila raja menghulurkan tongkat emasnya kepada orang yang datang menghadap. Tetapi sudah satu bulan raja tidak memanggil saya.” Selepas Mordekhai menerima pesan Ester itu, dia mengirim amaran berikut kepada Ester, “Jangan sangka bahawa kamu lebih selamat daripada orang Yahudi yang lain hanya kerana kamu tinggal di istana. Jika kamu berdiam diri dalam keadaan seperti ini, orang Yahudi pasti akan mendapat pertolongan dari syurga, tetapi kamu sendiri akan mati dan keluarga bapamu akan berakhir. Siapa tahu, mungkin justeru untuk saat-saat seperti inilah kamu sudah dipilih menjadi permaisuri!” Kemudian Ester mengirimkan pesan berikut kepada Mordekhai, “Suruhlah semua orang Yahudi di Susan berkumpul. Suruhlah mereka berpuasa dan berdoa bagi saya. Jangan makan atau minum apa-apa pun selama tiga hari dan tiga malam. Saya sendiri dan dayang-dayang saya pun akan berbuat demikian. Setelah itu saya akan menghadap raja, walaupun perbuatan itu melanggar undang-undang. Jika saya harus mati kerana hal itu, biarlah saya mati!” Kemudian Mordekhai pergi dari situ dan melakukan semua yang dipesankan oleh Ester.

ESTER 4:1-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Apabila Mordekhai mengetahui segala yang berlaku itu, dia mengoyakkan pakaiannya lalu memakai pakaian perkabungan dan abu. Keluarlah dia ke tengah-tengah kota sambil berteriak-teriak dengan nyaring dan pedih. Namun begitu, dia sekadar sampai ke hadapan pintu gerbang istana raja, kerana tiada sesiapa yang boleh memasuki pintu gerbang istana raja dengan memakai pakaian perkabungan. Begitu jugalah keadaan di setiap wilayah, di mana-mana sahaja perintah dan undang-undang raja itu dihebahkan, maka orang Yahudi berkabung serta berpuasa, dan meratap tangis. Ramai orang yang menghamparkan kain kabung dengan abu sebagai alas tidur. Ketika para dayang dan sida Ester datang memaklumkan hal itu kepadanya, sang ratu teramat susah hati. Lalu dikirimkannya pakaian kepada Mordekhai supaya dia menggantikan pakaian perkabungan di tubuhnya, tetapi Mordekhai enggan menerimanya. Lalu Ester memanggil Hatah, salah seorang sida raja yang dikhaskan raja untuk melayaninya. Disuruhnya Hatah menemui Mordekhai untuk mengetahui apa yang sedang terjadi dan apa yang menyebabkannya. Maka Hatah pergi menemui Mordekhai di lapangan kota yang terletak di depan pintu gerbang istana raja. Disampaikanlah oleh Mordekhai kepada Hatah segala sesuatu yang dialaminya dan berapa banyak wang yang dijanjikan Haman untuk dibayar kepada perbendaharaan raja sebagai harga pembinasaan orang Yahudi. Dia juga memberi Hatah salinan titah yang dikeluarkan di Susan untuk memusnahkan mereka, supaya ditunjukkan kepada Ester. Hatah disuruh menyampaikan pesan kepada Ester supaya Ester pergi menghadap raja untuk memohon belas kasihan baginda dan mengajukan rayuan bagi bangsanya di hadapan baginda. Maka pergilah Hatah untuk menyampaikan kata-kata Mordekhai kepada Ester. Lalu Ester menyuruh Hatah menyampaikan pesan kepada Mordekhai, “Semua pegawai raja dan rakyat di wilayah-wilayah kerajaan tahu bahawa hukuman mati ialah satu-satunya peraturan bagi setiap laki-laki atau perempuan yang masuk menghadap raja di laman dalam, tanpa dipanggil. Hanya jika raja menghulurkan cokmar emas kepadanya, barulah dia dapat tetap hidup. Tetapi sudah selama tiga puluh hari, aku belum juga dipanggil masuk menghadap raja.” Ketika kata-kata Ester itu disampaikan kepada Mordekhai, dia menyuruh agar disampaikan jawapan ini kepada Ester, “Jangan sangka kerana kamu berada di dalam istana raja, hanya kamu daripada antara orang Yahudi yang kelak terlepas. Jika pada saat ini engkau berdiam diri sahaja, maka kelegaan dan pembebasan bagi orang Yahudi akan datang daripada pihak lain, tetapi engkau dan kaum keluargamu akan binasa. Siapa tahu, mungkin untuk saat seperti inilah engkau telah mencapai kedudukan diraja dalam kerajaan itu.” Lalu Ester menyuruh agar jawapan ini disampaikan kepada Mordekhai, “Pergilah, kumpulkan semua orang Yahudi yang ada di Susan dan berpuasalah untuk aku. Jangan makan dan jangan minum selama tiga hari, baik malam mahupun siang. Aku dan para dayangku pun akan berpuasa secara demikian, kemudian aku akan masuk menghadap raja, sekalipun bertentangan dengan undang-undang. Jika kerana itu aku harus binasa, biarlah aku binasa.” Maka pergilah Mordekhai lalu dilakukannya sebagaimana yang diarahkan oleh Ester kepadanya.