ESTER 3:1-14

ESTER 3:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

Beberapa waktu kemudian, Raja Ahasyweros melantik seorang yang bernama Haman menjadi perdana menteri. Haman ialah anak Hamedata daripada keturunan Agag. Raja memerintah supaya semua pegawai yang berkhidmat kepada raja menghormati Haman dengan bersujud kepadanya. Semua orang patuh kepada perintah itu kecuali Mordekhai. Para pegawai lain yang berkhidmat kepada raja bertanya kepada Mordekhai sebabnya dia melanggar perintah raja. Setiap hari mereka mendesak dia supaya menurut sahaja, tetapi Mordekhai tidak mahu mengikut nasihat mereka. “Saya seorang Yahudi,” kata Mordekhai, “oleh itu saya tidak dapat bersujud kepada manusia.” Mereka melaporkan hal itu kepada Haman kerana mereka ingin tahu tindakan apa yang akan diambilnya terhadap Mordekhai. Haman sangat marah apabila dia mengetahui bahawa Mordekhai tidak mahu bersujud kepadanya. Apabila Haman mengetahui bahawa Mordekhai orang Yahudi, dia bertekad bukan sahaja untuk menghukum Mordekhai tetapi juga membinasakan tiap-tiap orang Yahudi di seluruh Kerajaan Persia. Pada tahun kedua belas pemerintahan Raja Ahasyweros, pada bulan pertama, iaitu bulan Nisan, Haman memberikan perintah supaya orang membuang undi (yang disebut “purim”) untuk menentukan hari dan bulan yang sesuai bagi melaksanakan pakatannya yang jahat itu. Akhirnya, yang ditetapkan adalah hari ketiga belas bulan kedua belas, iaitu bulan Adar. Kemudian Haman memberitahu raja, katanya, “Tuanku, ada satu bangsa yang terselerak di setiap wilayah di seluruh kerajaan tuanku. Mereka mempunyai adat istiadat yang berlainan sekali dengan adat istiadat bangsa lain. Lagipun mereka tidak patuh kepada undang-undang kerajaan. Oleh itu, sebaiknya tuanku jangan biarkan mereka berbuat sesuka hati. Jika tuanku berkenan, hendaklah surat perintah dikeluarkan untuk membinasakan mereka. Jika tuanku menerima cadangan ini, hamba pasti dapat memasukkan lebih daripada 340,000 kilogram perak ke dalam perbendaharaan diraja bagi pentadbiran kerajaan.” Setelah mendengar perkara itu, raja menanggal cincin daripada jarinya; cincin itulah yang dipakainya untuk memeteraikan pengisytiharan rasmi. Raja memberikan cincin itu kepada musuh besar orang Yahudi, iaitu Haman anak Hamedata, keturunan Agag. Raja bertitah kepadanya, “Beta serahkan bangsa itu dan wang mereka kepadamu. Buatlah apa yang kamu pandang baik terhadap mereka.” Oleh itu pada hari ketiga belas bulan satu, Haman memanggil para setiausaha raja. Haman menyuruh mereka menulis surat menurut segala yang diperintahkannya. Kemudian surat itu diterjemahkan ke dalam semua bahasa, dan disalinkan dalam semua tulisan yang digunakan di dalam kerajaan. Surat itu ditulis atas nama Raja Ahasyweros dan dimeteraikan dengan meterainya. Kemudian surat itu dikirim kepada semua penguasa, gabenor, dan pegawai. Titah itu segera dihantar oleh para utusan ke tiap-tiap wilayah kerajaan. Kandungan titah itu mengatakan bahawa dalam satu hari, iaitu pada hari ketiga belas bulan Adar, semua orang Yahudi, tua dan muda, kaum wanita dan kanak-kanak, mesti dibunuh tanpa kasihan, dan harta mereka dirampas. Perintah itu harus diisytiharkan di tiap-tiap wilayah supaya semua orang bersedia apabila masanya tiba kelak.

ESTER 3:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Beberapa waktu sesudah berbagai-bagai peristiwa itu, Raja Ahasyweros mengurniakan kebesaran kepada bani Agag iaitu Haman anak Hamedata. Dengan demikian, baginda meninggikannya serta menetapkan kedudukannya di atas semua pembesar baginda. Kesemua pegawai raja yang berada di pintu gerbang istana berlutut dan memberi hormat kepada Haman sebagaimana yang diperintahkan raja mengenai Haman. Akan tetapi, Mordekhai enggan berlutut dan memberi hormat. Lalu para pegawai raja yang ada di pintu gerbang istana pun berkata kepada Mordekhai, “Mengapakah kamu melanggar perintah raja?” Setelah mereka menegurnya hari demi hari namun dia tetap tidak mahu mengendahkan perintah itu, mereka pun menyampaikan hal itu kepada Haman. Mereka ingin melihat apakah Mordekhai akan tetap dengan pendiriannya; apatah lagi dia telah memberitahu mereka bahawa dia seorang Yahudi. Begitu meluap-luap amarah Haman apabila dilihatnya betapa Mordekhai tidak berlutut dan memberi hormat kepadanya. Akan tetapi, Haman mencemuh dirinya sekiranya Mordekhai sahaja yang dibunuh. Oleh itu, setelah Haman diberitahu tentang bangsa Mordekhai, dia berikhtiar untuk memusnahkan seluruh orang Yahudi, iaitu bangsa Mordekhai, yang berada di seluruh kerajaan Ahasyweros. Pada bulan pertama, iaitu bulan Nisan, pada tahun kedua belas zaman Raja Ahasyweros, Haman menyuruh orang membuang pur, iaitu mencabut undi di hadapannya untuk menentukan hari dan bulan. Undi itu terjatuh pada bulan kedua belas, iaitu bulan Adar. Maka berkatalah Haman kepada Raja Ahasyweros, “Ada bangsa tertentu yang terpencar dan tersebar antara pelbagai suku kaum dalam seluruh wilayah kerajaan tuanku. Mereka patuh kepada undang-undang yang berbeza daripada perundangan segala bangsa dan mereka tidak mematuhi hukum Raja. Maka tidaklah patut Raja membiarkan mereka berbuat sedemikian. Dengan perkenan tuanku, biarlah dikeluarkan surat perintah untuk membinasakan mereka. Hamba akan membayar sepuluh ribu talenta perak untuk dimasukkan ke dalam perbendaharaan Raja untuk dibayar kepada para pegawai yang menjalankan tugas yang berkenaan.” Maka raja mencabut cincin materai daripada tangannya lalu dikurniakannya kepada Haman anak Hamedata, bani Agag, yang bermusuhan dengan orang Yahudi itu. Titah raja kepada Haman, “Perak itu kuberikan kepadamu, maka kamu lakukanlah atas bangsa itu menurut cara yang kaupandang baik.” Maka para jurutulis diraja dipanggil pada hari ketiga belas pada bulan pertama. Sesuai seperti segala yang diperintahkan Haman, mereka pun menulis surat kepada wakil raja, kepada pembesar yang mengetuai setiap wilayah, dan kepada bangsawan setiap bangsa, setiap wilayah menurut tulisannya dan setiap bangsa menurut bahasanya. Surat itu ditulis atas nama Raja Ahasyweros dan dimaterai dengan cincin materai raja. Surat-surat itu dikirimkan ke seluruh wilayah kerajaan melalui para utusan pantas. Isinya ialah perintah untuk memusnahkan, membunuh, dan menghapuskan semua orang Yahudi sama sekali, daripada yang muda sampai yang tua, termasuk kanak-kanak dan kaum wanita, dalam satu hari, iaitu pada hari ketiga belas pada bulan kedua belas, bulan Adar, dan untuk merampas harta benda mereka. Salinan surat perintah itu dijadikan undang-undang di setiap wilayah dan diumumkan kepada segala bangsa supaya mereka bersiap-siap menjelang hari itu.