ESTER 2:7-11
ESTER 2:7-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Mordekhai mempunyai sepupu yang bernama Ester. Nama Ibraninya ialah Hadasa. Ester seorang gadis yang berwajah cantik dan bertubuh molek. Ibu bapa Ester sudah meninggal, lalu dia menjadi anak angkat Mordekhai. Dia diasuh sebagai anak Mordekhai sendiri. Setelah titah raja itu diisytiharkan, banyak anak dara dibawa ke Susan, dan Ester ada di kalangan mereka. Dia dibawa ke istana, di bawah jagaan Hegai, ketua rumah tangga istana wanita. Hegai kagum melihat Ester dan suka kepadanya. Dengan segera Hegai memberi Ester perawatan kecantikan serta makanan yang khas. Dia memberi Ester bilik yang terbaik di dalam istana wanita itu. Hegai juga menyuruh tujuh orang gadis yang dipilih khas dari istana raja untuk melayani Ester. Selama itu Ester merahsiakan bahawa dia seorang Yahudi, kerana dia menurut nasihat Mordekhai. Tiap-tiap hari Mordekhai berjalan-jalan di halaman bahagian depan istana wanita itu untuk mengetahui bagaimana keadaan Ester, dan apa yang akan berlaku kepadanya.
ESTER 2:7-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Mordekhai bertindak sebagai penjaga yang membesarkan Hadasa, iaitu Ester, anak perempuan bapa saudaranya, memandangkan anak itu tidak lagi mempunyai ibu atau ayah. Gadis itu menarik lagi cantik paras rupanya. Setelah kematian ibu dan ayahnya, dia menjadi anak angkat Mordekhai. Setelah tersiarnya titah perintah raja itu, ramai gadis yang dikumpulkan di dalam puri Susan di bawah pengawasan Hegai. Ester juga dibawa masuk ke dalam istana raja dan ditempatkan di bawah pengawasan Hegai, yang bertugas menjaga para perempuan. Gadis itu menyenangi Hegai dan memenangi hatinya. Hegai segera menyediakan segala alat persolekan dan peruntukan makanannya. Dia turut memberinya tujuh orang dayang pilihan dari istana raja dan memindahkan gadis itu bersama-sama dayang-dayangnya ke tempat yang terbaik di balai perempuan. Ester tidak mendedahkan asal usulnya atau suku bangsanya kerana Mordekhai melarangnya berbuat demikian. Maka setiap hari Mordekhai berjalan-jalan di depan laman balai perempuan untuk mengetahui keadaan Ester dan apa yang akan terjadi kepadanya.