ESTER 1:2-22

ESTER 1:1-22 Alkitab Berita Baik (BM)

Di Susan, ibu kota Persia, Raja Ahasyweros memerintah 127 buah wilayah, dari India sampai ke Etiopia. Pada tahun ketiga pemerintahannya, Raja Ahasyweros mengadakan jamuan besar bagi semua pembesar dan pegawainya. Para panglima Persia dan Media, serta para gabenor dan pegawai tinggi dari wilayah-wilayah turut hadir di jamuan itu. Selama enam bulan raja mempamerkan kekayaan istananya, dan kemegahan serta keagungan kerajaan baginda. Selepas itu raja mengadakan jamuan bagi semua penduduk ibu kota, baik yang kaya mahupun yang miskin. Jamuan itu diadakan di taman istana raja, dan berlangsung selama satu minggu. Pekarangan istana dihias dengan tirai daripada kain linen berwarna biru dan putih, yang diikat dengan pita linen ungu yang halus, dan disangkutkan pada gelang-gelang perak yang dipasang pada tiang-tiang marmar. Sofa-sofa daripada emas dan perak di pekarangan istana, diletakkan di atas lantai yang berturap marmar putih, hablur merah, gewang yang berkilap, dan batu firus biru. Raja menyediakan sangat banyak wain yang dihidangkan di dalam cawan-cawan emas beraneka ragam. Wain yang diminum para tetamu tidak dihadkan. Raja sudah memberikan perintah kepada para pelayan istana supaya melayani setiap tetamu menurut keinginan masing-masing. Sementara itu, di dalam istana Permaisuri Wasti juga memberikan jamuan kepada para wanita. Pada hari ketujuh jamuan itu, raja minum sehingga berasa sangat gembira. Kemudian raja memanggil tujuh orang sida-sida yang menjadi pelayan peribadinya: Mehuman, Bizta, Harbona, Bigta, Abagta, Zetar, dan Karkas. Raja menyuruh mereka membawa Permaisuri Wasti kepadanya dengan memakai mahkota kerajaan. Permaisuri itu sangat cantik dan raja hendak memperlihatkan kecantikannya kepada para pembesar dan tetamunya. Tetapi apabila sida-sida itu menyampaikan perintah raja, Permaisuri Wasti tidak mahu datang. Perbuatannya itu menyebabkan raja sangat murka. Raja mempunyai kebiasaan untuk minta pendapat orang arif tentang persoalan undang-undang dan adat. Oleh itu raja memanggil para penasihatnya untuk bertanya apa yang harus dilakukan dalam perkara seperti itu. Para penasihat raja yang paling sering dipanggil ialah Karsena, Setar, Admata, Tarsis, Meres, Marsena, dan Memukan. Mereka pegawai Persia dan Media yang memangku kedudukan paling tinggi dalam kerajaan itu. Raja bertitah kepada tujuh orang penasihat itu, “Beta sudah mengutus pelayan kepada Permaisuri Wasti dengan perintah supaya permaisuri datang kepada beta, tetapi permaisuri enggan. Menurut undang-undang, tindakan apakah yang harus kita ambil terhadapnya?” Memukan berkata kepada raja dan para pembesar, “Permaisuri Wasti bukan sahaja sudah menghina tuanku, tetapi juga para pegawai tuanku, bahkan semua orang lelaki di dalam kerajaan! Kerana sebaik sahaja kaum wanita mendengar perbuatan permaisuri itu, tiap-tiap wanita di dalam kerajaan tidak akan menghormati suaminya. Mereka akan berkata, ‘Raja Ahasyweros memerintah supaya Permaisuri Wasti menghadap, tetapi permaisuri tidak mahu datang.’ Apabila para isteri pegawai diraja Persia dan Media mendengar tentang kelakuan permaisuri itu, tentu mereka akan segera memberitahu hal itu kepada suami mereka. Akibatnya, isteri akan melawan perintah suami dan suami akan memarahi isteri. Oleh itu, jika tuanku berkenan, keluarkanlah satu titah bahawa Permaisuri Wasti tidak boleh menghadap raja lagi. Titah itu harus dijadikan undang-undang Persia dan Media supaya tidak mungkin dibatalkan lagi. Setelah itu, berikanlah kedudukan Permaisuri Wasti kepada wanita lain yang lebih baik. Apabila titah tuanku itu diumumkan di seluruh kerajaan yang luas ini, maka tiap-tiap wanita akan menghormati suaminya, baik dia kaya mahupun miskin.” Raja dan para pegawainya menyetujui cadangan Memukan itu, lalu raja segera melaksanakannya. Raja mengirimkan surat perintah kepada semua wilayah di dalam kerajaan baginda, dalam setiap bahasa dan tulisan wilayah itu. Perintah itu mengatakan bahawa di dalam setiap rumah tangga, suamilah yang harus menjadi ketua, dan yang patut mengambil segala keputusan.

ESTER 1:2-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada zaman itu, ketika Raja Ahasyweros bersemayam di atas takhta kerajaannya di dalam puri Susan, pada tahun ketiga pemerintahannya, baginda mengadakan jamuan untuk kesemua pembesar dan pegawainya. Tentera Parsi dan Media serta kaum bangsawan, dan para pembesar wilayah hadir di hadapan baginda sementara baginda mempamerkan kekayaan kerajaannya yang mulia, kemegahan dan keagungannya berhari-hari lamanya iaitu selama seratus delapan puluh hari. Setelah hari-hari itu berakhir, raja mengadakan jamuan selama tujuh hari di laman taman istana diraja untuk seluruh rakyat yang ada di puri Susan, daripada yang besar sampai kepada yang kecil. Kelengkapan dan perhiasan di situ termasuk tirai-tirai kain linen putih dan biru diikatkan dengan tali-tali linen halus dan ungu pada gegelang perak serta tiang-tiang marmar. Kerusi-kerusi panjang bertilam daripada emas dan perak diletakkan di atas lantai pualam putih, marmar, mutiara, serta pualam hitam. Minuman disajikan di dalam wadah-wadah emas yang berbeza antara satu sama lain. Air anggur diraja berlimpah ruah, selaras dengan kemurahan hati raja. Acara minum itu pun dijalankan sesuai mengikut aturan dan tanpa paksaan, kerana raja telah berpesan kepada semua pembesar istananya agar mereka memenuhi keinginan setiap orang. Sementara itu Ratu Wasti juga mengadakan jamuan bagi kaum perempuan di istana diraja Raja Ahasyweros. Pada hari ketujuh, ketika baginda riang dibuai oleh kesan air anggur, baginda memerintahkan Mehuman, Bizta, Harbona, Bigta, Abagta, Zetar, dan Karkas, iaitu ketujuh-tujuh orang sida yang melayani Raja Ahasyweros secara peribadi, supaya membawa Ratu Wasti menghadap raja dengan memakai mahkota diraja. Baginda mahu memperlihatkan kecantikan sang ratu kepada rakyat dan para pembesar, kerana wajah sang ratu sememangnya sangat cantik. Akan tetapi, Ratu Wasti menolak untuk datang memenuhi perintah raja yang disampaikan oleh para sida itu lantas raja menjadi sangat murka dan begitu menyala-nyala kemurkaan baginda. Raja pun bertanya kepada para bijak pandai yang memahami adat kebiasaan zaman itu kerana raja memang biasa mendapatkan nasihat mengenai hukum-hakam daripada para ahli hukum. Antara pembesar yang terdekat dengan baginda ialah Karsena, Setar, Admata, Tarsis, Meres, Marsena, dan Memukan, iaitu tujuh orang pembesar Parsi dan Media yang boleh memandang wajah raja dan yang memiliki kedudukan utama dalam kerajaan. “Apakah yang harus dilakukan terhadap Ratu Wasti menurut undang-undang, kerana dia tidak patuh kepada perintah Raja Ahasyweros yang disampaikan kepadanya oleh para sida?” Lalu Memukan menjawab di hadapan raja dan para pembesar itu, “Ratu Wasti bukan hanya bersalah terhadap Raja, bahkan kesalahannya terhadap semua pembesar serta segala bangsa yang ada di seluruh wilayah Raja Ahasyweros juga. Hal keingkaran sang ratu akan diketahui oleh semua perempuan, sehingga mereka akan memandang rendah terhadap suami mereka dan berkata, ‘Raja Ahasyweros memerintahkan supaya Ratu Wasti dibawa menghadap baginda, tetapi dia enggan datang.’ Maka pada hari ini isteri para pembesar Parsi dan Media, yang mendengar kelakuan sang ratu, akan berkata seperti itu juga kepada semua pembesar raja, dan akan banyaklah penghinaan dan kemarahan. Sekiranya tuanku perkenankan hendaklah tuanku mengeluarkan suatu perisytiharan diraja dan dicatatkan dalam undang-undang orang Parsi dan Media dan tidak dapat dimansuhkan, bahawa Wasti tidak boleh datang lagi menghadap Raja Ahasyweros, dan bahawa raja akan mengurniakan kedudukannya sebagai ratu kepada orang lain yang lebih baik daripadanya. Hendaklah titah diraja ini diisytiharkan dan dicanang di seluruh kerajaan, betapa besar pun kerajaan itu, sehingga semua isteri akan menghormati suami mereka, baik orang atasan mahupun orang bawahan.” Kewajaran usul itu diterima baik oleh raja serta para pembesar, lalu bertindaklah raja selaras dengan usul Memukan itu. Baginda mengirimkan surat-surat ke semua wilayah kerajaan, iaitu kepada setiap wilayah menurut tulisannya dan kepada setiap bangsa menurut bahasanya, yang mengumumkan bahawa setiap lelaki harus menjadi ketua rumah tangganya dan menggunakan bahasa bangsanya sendiri.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami