EFESUS 5:5-16
EFESUS 5:5-16 Alkitab Berita Baik (BM)
Kamu tentu tahu bahawa orang yang melakukan perbuatan cabul, atau yang tidak senonoh, ataupun yang tamak (kerana ketamakan seperti penyembahan berhala), tidak akan menikmati Pemerintahan Kristus dan Allah. Janganlah biarkan sesiapa pun menipu kamu dengan kata-kata dusta, kerana hal-hal inilah yang menimbulkan kemurkaan Allah terhadap mereka yang tidak taat kepada-Nya. Oleh itu janganlah sekali-kali berhubungan dengan orang semacam itu. Dahulu kamu hidup dalam kegelapan, tetapi sekarang kamu telah menjadi umat Tuhan, maka kamu hidup dalam cahaya. Itulah sebabnya kamu mesti hidup seperti orang yang hidup dalam cahaya, kerana cahaya itulah yang menyebabkan orang melakukan segala sesuatu yang baik, adil, dan tulus. Berusahalah untuk melakukan apa yang menyenangkan hati Tuhan. Janganlah lakukan perbuatan tidak berguna, yang biasa dilakukan oleh orang yang hidup dalam kegelapan. Sebaliknya, kamu harus mendedahkan perkara-perkara itu. ( Sebenarnya hal-hal yang dilakukan mereka dengan diam-diam amat memalukan untuk dipercakapkan.) Segala sesuatu akan kelihatan dengan jelas, apabila disinari cahaya, kerana segala sesuatu yang dapat dilihat dengan jelas, adalah cahaya. Itulah sebabnya dikatakan, “Bangunlah, hai kamu yang tidur, dan bangkitlah daripada kematian! Kristus akan menyinari kamu.” Oleh itu, perhatikanlah cara hidup kamu dengan baik. Janganlah hidup seperti orang bodoh, tetapi hiduplah seperti orang bijak. Setiap kali kamu berpeluang melakukan apa yang baik, gunakanlah peluang itu, kerana masa ini masa yang jahat.
EFESUS 5:5-16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Kŭrna kamu tŭlah mŭngatahui ini, bahwa ta’da barang sa’orang bŭrzinah, atau chŭmar, atau tŭmaa yang mŭnyŭmbah bŭrhala itu mŭmpunyai pusaka skalipun dalam krajaan Almasih dan Allah. Maka janganlah kiranya barang sa’orang pun mŭnipu kamu dŭngan pŭrkataan yang sia sia: kŭrna sŭbab pŭrkara pŭrkara inilah mŭndatangkan morka Allah ka’atas sagala anak anak dŭrhaka. Maka sŭbab itulah jangan kamu tŭrmasok masok dŭngan dia. Kŭrna dahulu kamu ini ada dalam glap, tŭtapi skarang kamu sudah trang dŭngan bŭrkat Tuhan: maka bŭrjalanlah kamu spŭrti anak anak trang. Kŭrna buah buahan Roh itu nyatalah dŭngan sagala kabajikan, dan ka’adilan, dan kabŭnaran. Sŭrta nyatakanlah barang pŭrkara yang ditrima ulih Tuhan. Maka janganlah kamu sŭdaya dŭngan pŭrbuatan yang glap yang tiada mŭmbri buah itu, tŭtapi tŭrlŭbih baik kamu mŭnŭgorkan dia. Kŭrna malulah adanya, jikalau disŭbutkan barang pŭrkara yang dipŭrbuat ulih marika itu dŭngan tŭrsŭmbunyi skalipun. Tŭtapi sagala pŭrkara yang patut ditŭgorkan itu, iya itu tŭlah dinyatakan ulih trang, kŭrna sagala sŭsuatu yang mŭnyatakan iya itulah trang adanya. Maka sŭbab itulah Allah bŭrfŭrman, Bangunlah angkau hie pŭnidor, dan bŭrbangkitlah deripada mati, maka Almasih kŭlak akan mŭnŭrangkan kamu. Skarang tengoklah, supaya kamu bŭrjalan dŭngan hematnya, bukannya spŭrti orang gila, mŭlainkan spŭrti orang bŭrakal. Tŭbuslah akan waktu, sŭbab kŭrna masa masanya itu jahat adanya.
EFESUS 5:5-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kerana kamu tahu bahawa orang yang berzina, melakukan kecemaran, atau tamak haloba — yang sama dengan penyembah berhala tidak akan mewarisi kerajaan Kristus dan Allah. Jangan tertipu dengan kata-kata kosong, kerana itulah sebabnya kemurkaan Allah menimpa anak-anak derhaka. Oleh itu, janganlah kamu sepakat dengan mereka. Kerana dahulu kamu gelap tetapi sekarang sudah menjadi cahaya dalam Tuhan. Hiduplah sebagai anak-anak cahaya (kerana yang dihasilkan oleh cahaya terdapat dalam segala yang baik, wajar dan benar), maka kajilah apa yang diredai oleh Tuhan. Jangan bersubahat dengan perbuatan gelap yang tidak berfaedah, sebaliknya dedahkan perbuatan itu. Sebabnya perkara-perkara yang dilakukan oleh mereka secara rahsia itu, jika disebut pun adalah memalukan. Tetapi segala yang didedahkan itu dinyatakan oleh cahaya, kerana yang menyatakan adalah cahaya. Oleh itu, firman Tuhan: “Bangunlah, hai kamu yang tidur, bangkit daripada kematian, dan Kristus akan memberimu cahaya.” Hiduplah dengan hati-hati — bukan seperti orang tidak arif tetapi sebagai orang bijaksana, dan pergunakanlah setiap peluang dengan sebaiknya kerana ini zaman durjana.