EFESUS 5:20-33
EFESUS 5:20-33 Alkitab Berita Baik (BM)
Hendaklah kamu sentiasa bersyukur kepada Allah Bapa bagi segala sesuatu, demi nama Yesus Kristus Tuhan kita. Untuk menghormati Kristus, hendaklah kamu taat kepada satu sama lain. Hai isteri, taatlah kepada suami seperti kamu taat kepada Tuhan, kerana suami ialah ketua kepada isteri, sebagaimana Kristus ialah ketua kepada jemaah. Kristuslah Penyelamat jemaah, iaitu tubuh-Nya. Oleh itu isteri harus taat dalam segala hal kepada suami, sebagaimana jemaah taat kepada Kristus. Hai suami, kasihilah isteri kamu, sebagaimana Kristus mengasihi jemaah, dan mengorbankan nyawa-Nya untuk jemaah. Kristus berbuat demikian untuk membersihkan jemaah dengan air dan dengan firman-Nya, supaya Dia dapat menyerahkan jemaah kepada Allah. Dengan demikian Kristus memiliki jemaah yang penuh dengan kecemerlangan, yang murni, dan yang tidak bercacat cela sedikit pun. Suami harus mengasihi isteri seperti mengasihi tubuh sendiri. Orang yang mengasihi isteri bererti mengasihi diri sendiri. ( Tidak seorang pun pernah membenci tubuhnya sendiri. Sebaliknya, dia memelihara dan menjaganya, seperti Kristus juga memelihara dan menjaga jemaah, kerana kita anggota tubuh Kristus.) Di dalam Alkitab tertulis, “Itulah sebabnya seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya untuk bersatu dengan isterinya, dan kedua-duanya akan menjadi satu.” Ayat itu mengandungi erti yang dalam. Menurut pengertianku, ayat itu berkaitan dengan hubungan antara Kristus dan jemaah. Tetapi ayat itu juga berkaitan dengan kamu: Setiap suami harus mengasihi isterinya seperti dia mengasihi dirinya sendiri, dan setiap isteri harus menghormati suaminya.
EFESUS 5:20-33 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Mŭnguchap shukorlah sŭntiasa kapada Allah Ayah itu, ulih sŭbab sagala pŭrkara dŭngan bŭrkat nama Tuhan kami Isa Almasih; Tundoklah kamu sa’orang akan sa’orang dŭngan takut akan Allah. Istri istri, ta’loklah dirimu kapada swamimu, spŭrti kapada Tuhan. Kŭrna swami itu mŭnjadi kŭpala istri, itupun spŭrti Almasih mŭnjadi kŭpala sidang jŭmaah: maka adalah iya itu pŭnulong tuboh itu. Maka sŭbab itu spŭrti sidang jŭmaah itu ta’lok kapada Almasih, maka dŭmkianlah handaknya sagala istri itupun pada swaminya dalam tiap tiap pŭrkara. Swami swami kasihilah akan istrimu, spŭrti Almasih mŭnggasihi sidang jŭmaah itu, dan tŭlah mŭnyŭrahkan dirinya gantinya itu. Supaya disuchikan Isa akan dia sŭrta dipŭrsihkannya dŭngan ayer ulih fŭrman. Supaya dihadapkannya dia bagie dirinya sŭndiri, iya itu suatu sidang jŭmaah yang mulia, dŭngan tiada barang bŭlang, atau bŭrkŭrot kŭrot, atau barang sŭbagienya, mŭlainkan suchi dŭngan tiada bŭrchŭla. Maka dŭmkian juga patut sagala swami itupun mŭngasihi istrinya spŭrti tubohnya sŭndiri; adapun orang yang mŭngasihi akan istrinya itu, spŭrti iya mŭngasihi dirinya sŭndiri. Kŭrna tiada pŭrnah barang sa’orang jua pun yang mŭmbŭnchikan dagingnya sŭndiri, mŭlainkan dipliharakannya, dan dikasihinya akan dia, mŭskipun spŭrti yang dipŭrbuat ulih Tuhan akan sidang jŭmaah. Kŭrna kami inilah anggota anggota tubohnya, dan dagingnya, dan tulang tulangnya. Maka ulih sŭbab itu, patutlah sa’orang itu mŭninggalkan ayah bondanya, dan bŭrhubong dŭngan istrinya, maka kaduanya itu mŭnjadi suatu daging juga adanya. Maka inilah suatu rahsia yang bŭsar; akan tŭtapi aku bŭrtutor ini derihal Almasih, dan sidang jŭmaah. Kŭndatilah, handaklah kiranya masing masing orang deripada kamu itu, mŭngasihi istrinya spŭrti dirinya sŭndiri, dan handaklah pula istri itu pun mŭmbri hormat akan swaminya.
EFESUS 5:20-33 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sentiasalah bersyukur atas segala-galanya kepada Allah Bapa dengan nama Tuhan kita Yesus Kristus. Tunduklah kepada satu sama lain dengan bertakwa kepada Kristus. Isteri, tunduklah kepada suamimu seperti kepada Tuhan. Kerana suami adalah kepala kepada isteri sebagaimana Kristus kepala jemaah dan Penyelamat tubuh itu. Oleh itu, sebagaimana jemaah tunduk kepada Kristus, begitulah juga isteri terhadap suaminya dalam segala hal. Suami, kasihilah isterimu, sebagaimana Kristus mengasihi jemaah dan menyerahkan diri-Nya untuk jemaah. Dengan demikian, Dia dapat menyucikan dan membersihkan jemaah dengan air melalui firman, dan menghadapkannya kepada diri-Nya sebagai jemaah yang mulia, tanpa cela atau kerut, tetapi suci dan tidak bercela. Demikian juga, suami harus mengasihi isterinya seperti tubuhnya, lelaki yang mengasihi isterinya itu mengasihi dirinya sendiri. Tiada sesiapa pun pernah membenci tubuhnya sendiri, tetapi memelihara dan menyayanginya, seperti yang dilakukan oleh Kristus kepada jemaah — kerana kita adalah anggota tubuh-Nya. “Oleh sebab itu, seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka berdua menjadi satu.” Ini adalah suatu rahsia besar — tetapi aku bercakap tentang Kristus dan jemaah. Walau bagaimanapun, setiap orang daripada kamu hendaklah mengasihi isterinya seperti dirinya sendiri, dan isteri hendaklah menghormati suaminya.