EFESUS 4:17-32

EFESUS 4:17-32 Alkitab Berita Baik (BM)

Oleh itu, demi nama Tuhan aku memberikan amaran ini: Janganlah kamu hidup seperti orang yang tidak mengenal Allah, yang berfikiran sia-sia. Mereka tidak dapat memahami apa-apa. Mereka tidak mengenal kehidupan yang diberikan oleh Allah, kerana mereka jahil dan degil. Mereka tidak mempunyai perasaan malu lagi. Mereka menuruti segala hawa nafsu dan terus-menerus melakukan segala perkara yang tidak senonoh. Bukan itu yang kamu pelajari tentang Kristus! Kamu tentu sudah diberitahukan tentang Dia. Sebagai pengikut-Nya kamu telah menerima ajaran benar tentang Yesus. Oleh itu, buanglah cara hidup yang lama, yang menyebabkan kamu berkelakuan seperti dahulu. Cara hidup itu membinasakan kamu, kerana kamu dikuasai keinginan yang menyesatkan. Hati dan fikiran kamu haruslah dibaharui seluruhnya. Hendaklah kamu hidup seperti manusia baru, yang diciptakan menurut rupa Allah. Dengan demikian orang dapat melihat bahawa kamu mengamalkan hidup yang menyenangkan hati Allah dan yang suci. Oleh itu, kamu tidak boleh berdusta lagi! Kamu harus mengatakan yang benar kepada saudara-saudara seiman, kerana kita semua anggota tubuh Kristus. Jika kamu marah, janganlah biarkan kemarahan itu menyebabkan kamu berdosa. Janganlah marah sepanjang hari. Janganlah berikan peluang kepada Iblis. Orang yang biasa mencuri mesti berhenti mencuri. Mereka harus mula bekerja untuk mencari nafkah dengan jujur sehingga dapat menolong orang miskin. Janganlah gunakan kata-kata kotor dalam percakapan kamu. Gunakanlah kata-kata yang membina dan memberikan pertolongan, supaya apa yang kamu katakan mendatangkan kebaikan kepada mereka yang mendengarnya. Janganlah sedihkan Roh Allah. Jika kamu memiliki Roh Allah, hal itu menunjukkan bahawa kamu milik Allah. Roh itu jaminan bahawa Hari Pembebasan akan tiba bagi kamu. Janganlah berdengki, geram, dan marah. Jangan lagi bertengkar dan memfitnah orang. Jangan lagi benci sesiapa pun. Sebaliknya, hendaklah kamu baik hati, saling berbelas kasihan, dan saling mengampuni sebagaimana Allah telah mengampuni kamu melalui Kristus.

EFESUS 4:17-32 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka sŭbab itulah aku bŭrkata ini, dan bŭrsaksi ulih Tuhan, supaya deripada masa ini kŭlak, jangan kamu bŭrlaku spŭrti klakuan orang sŭsat yang lain lain itu, dŭngan mŭnurotkan sia sia fikiran hatinya itu. Sŭbab ada gŭlap akalnya, dan sŭbab sudah bŭrchŭrie deripada hidop kŭrna Allah, mŭnurot kabŭbalan yang ada dalamnya ulih sŭbab tŭgar hatinya. Sŭbab hilanglah pŭrasaan hatinya, disŭrahkannya dirinya kapada hawa nafsu, akan bŭrbuat sagala kachŭmaran dŭngan glojohnya. Tŭtapi kamu ini bukannya diajarkan dŭmkian ulih Almasih. Jikalau kiranya kamu tŭlah mŭnŭngar pŭrkataannya, dan tŭlah diajarkan ulihnya, spŭrti kabŭnaran yang ada dalam Isa, Maka buanglah kamu klakuan yang dahulu, iya itu manusia lama itu, yang rosak adanya, ulih sŭbab kainginan kainginan pŭnipu adanya. Maka jadilah bahru tabiat akalmu itu. Dan pakiekanlah kamu akan manusia bahru itu, yang tŭlah dijadikan Allah bagie tuladannya dalam kabŭnaran, dan kasuchian yang sŭbŭnar bŭnarnya. Maka sŭbab itu handaklah kamu mŭmbuangkan dusta itu, mŭlainkan bŭrtutorlah bŭnar masing masing pada samanya manusia: kŭrna kamilah juga mŭnjadi anggota diantara sa’orang dŭngan sa’orang. Bulihlah marah, tŭtapi janganlah bŭrdosa: janganlah kamu biarkan tinggal marahmu itu sampie masok mata hari. Janganlah pun mŭmbri tŭmpat akan fitnah iblis. Maka orang yang mŭnchuri itu janganlah iya mŭnchuri lagi: mŭlainkan tŭrlebih baik biarlah iya bŭrlŭlah, bŭkŭrja dŭngan tangannya akan pŭrkara yang baik, supaya iya dapat kŭlak mŭmbri kapada orang yang kakorangan. Maka janganlah kiranya kluar pŭrkataan kotor kotor deri mulot kamu, mŭlainkan yang baik akan mŭnjadi bŭrfiedah, supaya kŭlak mŭnyampiekan anugrah kapada orang yang mŭnŭngar itupun. Dan jangan kamu mŭndatangkan kadukaan bagie Roh Allah itu, kŭrna ulihnya itu kamu tŭlah dimutriekan sampie kapada hari tŭbusan. Jauhkanlah deripada kamu sagala kapahitan dan gram, dan amarah, dan bising, dan mŭngumpat, sŭrta dŭngan sagala kajahatan. Mŭlainkan bŭrkasih kasihanlah kamu sa’orang dŭngan sa’orang, bŭrhati lŭmbut, dan bŭrmaaflah sa’orang akan sa’orang, spŭrti tŭlah diampuni Allah akan kamu ulih sŭbab Almasih.

EFESUS 4:17-32 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Oleh itu, aku berkata demikian dan bersaksi demi Tuhan, janganlah lagi kamu hidup seperti orang yang tidak mengenal Allah, menurut pemikiran yang sia-sia. Akibatnya, daya pengertian mereka dimalapkan, dan diri mereka tersisih daripada kehidupan Allah, kerana kejahilan mereka, kerana kedegilan hati mereka. Oleh sebab sudah hilang perasaan, mereka telah menceburkan diri dalam kancah maksiat, bergelumang dalam segala noda dengan rakus. Tetapi bukan demikian yang kamu pelajari tentang Kristus, jika kamu telah mendengar-Nya dan diajar oleh-Nya, sebagaimana kebenaran itu dalam Yesus. Berkenaan kelakuanmu yang dahulu, kamu menyingkirkan dirimu yang lama, yang dirosakkan oleh hawa nafsu tipu daya; dan kamu diperbaharu dalam roh pemikiranmu; serta berubah kepada diri baru yang dicipta menurut teladan Allah dalam perbenaran dan kesucian sejati. Oleh itu, janganlah lagi berdusta. Hendaklah setiap orang daripada kamu bercakap benar sesama manusia kerana kita adalah sesama anggota. “Apabila kamu marah, janganlah sampai melakukan dosa.” Jangan kekalkan kemarahanmu hingga matahari terbenam, dan jangan beri tempat kepada iblis. Orang yang mencuri hendaklah berhenti mencuri dan mula bekerja, membuat sesuatu yang baik dengan tangannya, supaya dapat memberi kepada orang yang kekurangan. Janganlah biarkan kata-kata yang kesat keluar dari mulutmu, tetapi lafazkanlah teguran baik yang membina, mengikut keperluannya, supaya membawa berkat kepada yang mendengar. Dan janganlah kamu menyedihkan Roh Kudus Allah yang telah mematerai kamu bagi hari penebusan. Singkirkanlah segala kepahitan, keberangan dan kemarahan, pergaduhan dan umpatan, bersama segala niat jahat. Dan berbelas kasihlah satu sama lain, bersikap baik, saling memaafkan, sebagaimana Allah telah mengampunimu dalam Kristus.