EFESUS 2:9-16
EFESUS 2:8-16 Alkitab Berita Baik (BM)
Hal itu demikian, kerana dengan rahmat Allah, kamu diselamatkan oleh sebab kamu percaya kepada Yesus. Penyelamatan itu bukan hasil usaha kamu sendiri, melainkan kurnia Allah. Oleh itu kamu tidak mempunyai alasan untuk bercakap besar tentang hal itu. Kita ciptaan Allah dan kerana kita hidup bersatu dengan Kristus Yesus, Allah telah menjadikan kita untuk mengamalkan perbuatan baik, yang sudah disediakan-Nya untuk kita lakukan. Hai kamu yang bukan orang Yahudi! Ingatlah akan keadaan kamu dahulu. Kamu disebut ‘orang yang tidak bersunat’ oleh orang Yahudi yang menyebut diri mereka ‘orang yang bersunat’ (iaitu tanda yang dilakukan oleh manusia pada tubuh mereka). Pada masa itu kamu tidak mengenal Kristus. Kamu orang asing, yang tidak termasuk umat pilihan Allah. Kamu tidak mempunyai bahagian dalam perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan umat-Nya berdasarkan janji-janji-Nya kepada mereka. Kamu hidup di dunia ini tanpa harapan dan tanpa Allah. Tetapi sekarang, kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus Yesus, kamu yang dahulunya jauh daripada Allah, telah didekatkan kepada Allah oleh kematian Kristus. Hal itu demikian kerana Kristus sendiri telah membawa kedamaian untuk kita dengan menjadikan orang Yahudi dan orang bukan Yahudi satu umat. Dengan kematian-Nya di kayu salib Kristus telah merobohkan tembok permusuhan yang memisahkan mereka. Kristus memansuhkan semua perintah dan peraturan dalam Taurat, supaya daripada dua kaum itu, Dia boleh menjadikan mereka satu umat yang baru, yang hidup bersatu dengan Dia. Dengan cara itu Kristus mendatangkan kedamaian. Dengan kematian-Nya di kayu salib, Kristus telah melenyapkan permusuhan mereka. Dengan salib itu Dia mempersatukan dua kaum itu dan memimpin mereka kembali kepada Allah.
EFESUS 2:9-16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Bukannya dŭngan amal, asal jangan sa’orang pun kŭlak mŭmŭgahkan dirinya. Kŭrna adalah kami ini pŭrbuatannya, dijadikannya dalam Isa Almasih itu kapada pŭrbuatan yang baik, yang tŭlah ditŭntukan Allah dahulu, supaya kami patut bŭrjalan dalamnya. Maka sŭbab itu ingatlah, bahwa kami yang dahulu kala orang sŭsat, dalam pri hawa nafsu itu, yang disŭbut tiada bŭrsunat ulih orang yang disŭbut bŭrsunatkan daging, iya itu pŭrbuatan tangan; Maka pada masa itu kamu dŭngan tiada bŭrAlmasih, sŭbab mŭnjadi orang orang asing deripada bilangan orang Israil; dan lagi orang orang dagang bagie sagala waad pŭrjanjian, ta’da mŭmpunyai harap, dan dŭngan tiada bŭrAllah dalam dunia. Tŭtapi skarang ini dalam Isa Almasih, kamu yang dahulu jauh, sudah mŭnjadi hampir dŭngan bŭrkat darah Almasih. Kŭrna Isa itulah juga pŭrdamiean kami yang tŭlah mŭnjadikan kaduanya itu satu, dan lagi tŭlah mŭrobohkan dinding tembok yang ditŭngah diantara kami. Sŭbab tŭlah dihapuskannya dŭngan tubohnya akan pŭrsŭtruan itu, mŭskipun hukum yang bŭrisi sagala undang undang rukun, supaya dijadikannya bagie dirinya kaduanya itu suatu manusia bahru, dŭmkianlah mŭnjadi pŭrdamiean; Dan supaya dipŭrdamiekannya kaduanya itu kapada Allah dalam suatu tuboh juga ulih salib itu, sŭbab tŭlah dibunohnya pŭrsŭtruan itu disitu.
EFESUS 2:9-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)
bukan kerana usaha amalmu supaya tiada seorang pun yang dapat bermegah. Kerana kita ini buatan-Nya, dicipta dalam Kristus Yesus untuk melakukan perbuatan baik, yang telah disediakan terdahulu oleh Allah untuk kita lakukan. Oleh itu, ingatlah bahawa dari segi tubuhmu kamu ini dahulu orang bangsa asing, disebut “orang tidak bersunat” oleh mereka yang disebut “orang bersunat” (iaitu sunat yang dibuat dengan tangan orang pada tubuh). Pada masa itu kamu tanpa Kristus, terasing daripada perhimpunan orang Israel dan daripada perjanjian Allah, tanpa harapan dan tanpa Tuhan di dunia ini. Tetapi sekarang dalam Kristus Yesus, kamu yang dahulu jauh sudah dibawa dekat oleh darah Kristus. Kerana Dia sendiri adalah perdamaian kita, Dia menyatukan kedua-dua pihak dan meruntuhkan dinding pemisah, iaitu perseteruan. Dia menghapuskan dengan tubuh-Nya perseteruan itu, iaitu Taurat dengan hukum-hukum yang diperintahkan di dalamnya, untuk mencipta dalam diri-Nya seorang yang baru daripada dua, dan mengadakan perdamaian demikian, serta untuk mendamaikan kedua-duanya dengan Allah dalam satu tubuh melalui salib, dengan itu mematikan perseteruan itu.