EFESUS 2:13-21
EFESUS 2:13-21 Alkitab Berita Baik (BM)
Tetapi sekarang, kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus Yesus, kamu yang dahulunya jauh daripada Allah, telah didekatkan kepada Allah oleh kematian Kristus. Hal itu demikian kerana Kristus sendiri telah membawa kedamaian untuk kita dengan menjadikan orang Yahudi dan orang bukan Yahudi satu umat. Dengan kematian-Nya di kayu salib Kristus telah merobohkan tembok permusuhan yang memisahkan mereka. Kristus memansuhkan semua perintah dan peraturan dalam Taurat, supaya daripada dua kaum itu, Dia boleh menjadikan mereka satu umat yang baru, yang hidup bersatu dengan Dia. Dengan cara itu Kristus mendatangkan kedamaian. Dengan kematian-Nya di kayu salib, Kristus telah melenyapkan permusuhan mereka. Dengan salib itu Dia mempersatukan dua kaum itu dan memimpin mereka kembali kepada Allah. Demikianlah Kristus datang dan mengisytiharkan Berita Baik tentang kedamaian itu kepada semua orang: baik kepada orang bukan Yahudi yang dahulu jauh daripada Allah, mahupun kepada orang Yahudi yang dekat dengan Allah. Melalui Kristus, kita semua - orang Yahudi mahupun bukan Yahudi - dapat datang ke hadirat Bapa dengan pertolongan Roh Allah yang satu. Oleh itu, kamu orang bukan Yahudi bukan lagi orang asing ataupun pendatang. Sekarang kamu warga umat Allah dan anggota keluarga Allah. Kamu pun dibina di atas asas yang diletakkan oleh para rasul dan nabi, dengan Kristus Yesus sebagai batu asasnya. Dialah yang menjadikan seluruh bangunan itu tersusun rapi dan meluaskannya sehingga menjadi Rumah Allah yang dikhaskan untuk Tuhan.
EFESUS 2:13-21 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Tŭtapi skarang ini dalam Isa Almasih, kamu yang dahulu jauh, sudah mŭnjadi hampir dŭngan bŭrkat darah Almasih. Kŭrna Isa itulah juga pŭrdamiean kami yang tŭlah mŭnjadikan kaduanya itu satu, dan lagi tŭlah mŭrobohkan dinding tembok yang ditŭngah diantara kami. Sŭbab tŭlah dihapuskannya dŭngan tubohnya akan pŭrsŭtruan itu, mŭskipun hukum yang bŭrisi sagala undang undang rukun, supaya dijadikannya bagie dirinya kaduanya itu suatu manusia bahru, dŭmkianlah mŭnjadi pŭrdamiean; Dan supaya dipŭrdamiekannya kaduanya itu kapada Allah dalam suatu tuboh juga ulih salib itu, sŭbab tŭlah dibunohnya pŭrsŭtruan itu disitu. Maka datanglah iya sŭrta mŭmashorkan pŭrdamiean kapada kamu yang ada jauh, dan kapada orang yang ada dŭkat pun. Kŭrna dŭngan bŭrkatnyalah kami kadua tŭlah bŭrulih jalan akan mŭnghadap Ayah dŭngan suatu roh juga. Maka sŭbab itu, skaranglah kamu bukannya lagi orang asing, dan orang dagang, mŭlainkan orang sa’nŭgri dŭngan sagala orang salih, dan orang isi rumah Allah. Maka kamu ini dibangunkan diatas kaki tembok rasul rasul, dan nabi nabi, maka adalah Isa Almasih itu sŭndiri mŭnjadi batu kŭpala pŭnjuru. Maka kapadanyalah sagala rumah itu bŭrhubong baik baik, sahingga tŭrbangunlah satu ka’abah yang suchi bagie Tuhan.
EFESUS 2:13-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Tetapi sekarang dalam Kristus Yesus, kamu yang dahulu jauh sudah dibawa dekat oleh darah Kristus. Kerana Dia sendiri adalah perdamaian kita, Dia menyatukan kedua-dua pihak dan meruntuhkan dinding pemisah, iaitu perseteruan. Dia menghapuskan dengan tubuh-Nya perseteruan itu, iaitu Taurat dengan hukum-hukum yang diperintahkan di dalamnya, untuk mencipta dalam diri-Nya seorang yang baru daripada dua, dan mengadakan perdamaian demikian, serta untuk mendamaikan kedua-duanya dengan Allah dalam satu tubuh melalui salib, dengan itu mematikan perseteruan itu. Dan Dia datang dan mengkhabarkan perdamaian kepada kamu yang jauh dan kepada mereka yang dekat. Kerana melalui-Nya kita, kedua-dua pihak, dapat menghampiri Allah Bapa dengan satu Roh. Oleh itu, sekarang, kamu bukan lagi orang asing dan pendatang, tetapi sesama warga negeri dengan orang yang salih dan ahli-ahli keluarga Allah, yang telah dibina atas asas para rasul dan para nabi, dengan Kristus Yesus sendiri sebagai batu penjuru utama. Dalam Kristus seluruh bangunan itu disatukan lalu menjadi Bait Suci dalam Tuhan