EFESUS 2:12-18
EFESUS 2:12-18 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada masa itu kamu tidak mengenal Kristus. Kamu orang asing, yang tidak termasuk umat pilihan Allah. Kamu tidak mempunyai bahagian dalam perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan umat-Nya berdasarkan janji-janji-Nya kepada mereka. Kamu hidup di dunia ini tanpa harapan dan tanpa Allah. Tetapi sekarang, kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus Yesus, kamu yang dahulunya jauh daripada Allah, telah didekatkan kepada Allah oleh kematian Kristus. Hal itu demikian kerana Kristus sendiri telah membawa kedamaian untuk kita dengan menjadikan orang Yahudi dan orang bukan Yahudi satu umat. Dengan kematian-Nya di kayu salib Kristus telah merobohkan tembok permusuhan yang memisahkan mereka. Kristus memansuhkan semua perintah dan peraturan dalam Taurat, supaya daripada dua kaum itu, Dia boleh menjadikan mereka satu umat yang baru, yang hidup bersatu dengan Dia. Dengan cara itu Kristus mendatangkan kedamaian. Dengan kematian-Nya di kayu salib, Kristus telah melenyapkan permusuhan mereka. Dengan salib itu Dia mempersatukan dua kaum itu dan memimpin mereka kembali kepada Allah. Demikianlah Kristus datang dan mengisytiharkan Berita Baik tentang kedamaian itu kepada semua orang: baik kepada orang bukan Yahudi yang dahulu jauh daripada Allah, mahupun kepada orang Yahudi yang dekat dengan Allah. Melalui Kristus, kita semua - orang Yahudi mahupun bukan Yahudi - dapat datang ke hadirat Bapa dengan pertolongan Roh Allah yang satu.
EFESUS 2:12-18 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka pada masa itu kamu dŭngan tiada bŭrAlmasih, sŭbab mŭnjadi orang orang asing deripada bilangan orang Israil; dan lagi orang orang dagang bagie sagala waad pŭrjanjian, ta’da mŭmpunyai harap, dan dŭngan tiada bŭrAllah dalam dunia. Tŭtapi skarang ini dalam Isa Almasih, kamu yang dahulu jauh, sudah mŭnjadi hampir dŭngan bŭrkat darah Almasih. Kŭrna Isa itulah juga pŭrdamiean kami yang tŭlah mŭnjadikan kaduanya itu satu, dan lagi tŭlah mŭrobohkan dinding tembok yang ditŭngah diantara kami. Sŭbab tŭlah dihapuskannya dŭngan tubohnya akan pŭrsŭtruan itu, mŭskipun hukum yang bŭrisi sagala undang undang rukun, supaya dijadikannya bagie dirinya kaduanya itu suatu manusia bahru, dŭmkianlah mŭnjadi pŭrdamiean; Dan supaya dipŭrdamiekannya kaduanya itu kapada Allah dalam suatu tuboh juga ulih salib itu, sŭbab tŭlah dibunohnya pŭrsŭtruan itu disitu. Maka datanglah iya sŭrta mŭmashorkan pŭrdamiean kapada kamu yang ada jauh, dan kapada orang yang ada dŭkat pun. Kŭrna dŭngan bŭrkatnyalah kami kadua tŭlah bŭrulih jalan akan mŭnghadap Ayah dŭngan suatu roh juga.
EFESUS 2:12-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada masa itu kamu tanpa Kristus, terasing daripada perhimpunan orang Israel dan daripada perjanjian Allah, tanpa harapan dan tanpa Tuhan di dunia ini. Tetapi sekarang dalam Kristus Yesus, kamu yang dahulu jauh sudah dibawa dekat oleh darah Kristus. Kerana Dia sendiri adalah perdamaian kita, Dia menyatukan kedua-dua pihak dan meruntuhkan dinding pemisah, iaitu perseteruan. Dia menghapuskan dengan tubuh-Nya perseteruan itu, iaitu Taurat dengan hukum-hukum yang diperintahkan di dalamnya, untuk mencipta dalam diri-Nya seorang yang baru daripada dua, dan mengadakan perdamaian demikian, serta untuk mendamaikan kedua-duanya dengan Allah dalam satu tubuh melalui salib, dengan itu mematikan perseteruan itu. Dan Dia datang dan mengkhabarkan perdamaian kepada kamu yang jauh dan kepada mereka yang dekat. Kerana melalui-Nya kita, kedua-dua pihak, dapat menghampiri Allah Bapa dengan satu Roh.