EFESUS 2:1-9
EFESUS 2:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)
Dahulu kamu mati secara rohani, kerana kamu tidak taat kepada perintah Allah dan kamu berdosa. Pada masa itu hidup kamu mengikut cara hidup yang jahat daripada orang di dunia ini. Kamu mentaati penguasa roh-roh jahat di angkasa, iaitu roh yang sekarang menguasai orang yang tidak taat kepada Allah. Sebenarnya dahulu kita semua seperti mereka. Kita hidup mengikut tabiat manusia dan melakukan segala sesuatu yang dikehendaki tubuh dan fikiran kita. Seperti orang lain, kita pun kena kemurkaan Allah. Tetapi Allah sangat berbelas kasihan dan Dia sangat mengasihi kita, sehingga sementara kita mati secara rohani kerana pelanggaran kita, Dia menghidupkan kita semula bersama-sama Kristus. Kamu sudah diselamatkan oleh rahmat Allah. Kerana kita hidup bersatu dengan Kristus Yesus, Allah menghidupkan kita semula bersama-sama Dia supaya kita memerintah dengan Kristus di syurga. Allah melakukan hal itu supaya pada zaman yang akan datang, semua orang akan mengetahui rahmat-Nya yang tidak terhingga itu. Dia menunjukkan kasih-Nya kepada kita melalui Kristus Yesus. Hal itu demikian, kerana dengan rahmat Allah, kamu diselamatkan oleh sebab kamu percaya kepada Yesus. Penyelamatan itu bukan hasil usaha kamu sendiri, melainkan kurnia Allah. Oleh itu kamu tidak mempunyai alasan untuk bercakap besar tentang hal itu.
EFESUS 2:1-9 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
MAKA kamu tŭlah dihidopkannya yang tŭlah mati dalam kŭsalahan dan dosa. Dalam hal yang dŭmkian, pada masa yang tŭlah lalu, kamu tŭlah mŭlakukan mŭnurot kahandak hawa nafsu dunia, mŭnurot pŭnghulu pŭnguasaan udara ini, iya itu roh yang ada bŭkŭrja skarang ini dalam hati anak anak dŭrhaka. Maka diantaranyalah kami skalian inipun, pada masa yang tŭlah lalu, mŭlakukan mŭnurot sagala kainginan nafsu kami, mŭnchukopi kahandak hawa nafsu dan ingatan itu, dan tŭlah jadi deripada asalnya anak anak yang kŭna morka, spŭrti orang lain lain pun; Tŭtapi Allah yang kaya dŭngan rahmat itu, ulih sŭbab kasihnya yang bŭsar itu, dŭngan itulah iya tŭlah mŭngasihi akan kami; Sungguh pun tŭtkala kami tŭlah mati dalam dosa itu, dihidopkannya kami bŭsŭrta dŭngan Almasih; maka ulih anugrahlah kamu dislamatkan. Dan lagi tŭlah dibangkitkannya bŭrsama sama, dan tŭlah didudokkan kami bŭrsama sama dalam shorga dŭngan bŭrkat Isa Almasih. Supaya pada zaman zaman akan datang kŭlak, Allah akan mŭngunjokkan kŭkayaan anugrahnya yang amat sangat itu, ulih kamurahannya akan kami dŭngan bŭrkat Isa Almasih. Kŭrna ulih anugrah juga kamu tŭlah dislamatkan sŭbab iman, iya itu bukannya dŭngan kwasa kamu sŭndiri, mŭlainkan pŭmbrian Allah adanya. Bukannya dŭngan amal, asal jangan sa’orang pun kŭlak mŭmŭgahkan dirinya.
EFESUS 2:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kamu telah mati akibat kesalahan dan dosa yang dahulu kamu lakukan menurut jalan dunia, menurut raja segala kuasa di udara, roh yang sekarang bertindak dalam diri anak-anak derhaka. Kami semua juga pernah hidup sedemikian, memuaskan hawa nafsu, menunaikan kehendak tubuh dan fikiran, dan secara tabii merupakan anak-anak yang dimurkai, seperti yang lain juga. Namun Allah, yang kaya dengan belas kasihan, kerana kasih-Nya yang amat besar kepada kita, walaupun ketika kita telah mati disebabkan kesalahan kita, telah menghidupkan kita bersama Kristus — kamu telah diselamatkan dengan kasih kurnia-Nya. Allah telah membangkitkan kita bersama Kristus Yesus, serta mendudukkan kita bersama-Nya di syurga, supaya pada zaman-zaman akan datang Allah dapat menunjukkan limpah kekayaan kasih kurnia-Nya dalam belas ihsan-Nya kepada kita dalam Kristus Yesus. Kamu telah diselamatkan dengan kasih kurnia-Nya melalui iman — ini bukan daripada kamu sendiri tetapi adalah kurnia Allah — bukan kerana usaha amalmu supaya tiada seorang pun yang dapat bermegah.