EFESUS 1:3-10
EFESUS 1:3-10 Alkitab Berita Baik (BM)
Marilah kita bersyukur kepada Allah dan Bapa Tuhan kita Yesus Kristus! Kerana kita hidup bersatu dengan Kristus, Allah sudah memberkati kita dengan segala berkat rohani dari syurga. Sebelum dunia ini diciptakan, Allah telah memilih kita untuk menjadi umat-Nya melalui hidup bersatu dengan Kristus, supaya kita menjadi suci dan tidak bercela di hadirat-Nya. Kerana kasih-Nya, Allah telah membuat keputusan untuk menjadikan kita anak-anak-Nya melalui Yesus Kristus. Itulah keinginan dan kehendak Allah. Marilah kita memuji Allah bagi rahmat-Nya yang mulia, yang dikurniakan-Nya kepada kita melalui Anak yang dikasihi-Nya! Hal itu demikian, kerana dengan kematian Kristus kita dibebaskan; maknanya Allah sudah mengampunkan dosa kita. Alangkah mulianya rahmat Allah, yang sudah dikurniakan-Nya kepada kita dengan berlimpah-limpah! Dengan segala kebijaksanaan dan pengertian, Allah telah melaksanakan tujuan-Nya. Dia memberitahu kita rancangan-Nya yang dirahsiakan, tetapi yang sudah ditentukan-Nya akan disempurnakan melalui Kristus. Rancangan itu akan disempurnakan oleh Allah pada masa yang ditentukan-Nya. Rancangan itu adalah untuk menyatukan segala sesuatu yang telah diciptakan, baik yang di syurga mahupun yang di bumi, dengan Kristus sebagai kepala.
EFESUS 1:3-10 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Puji bagie Allah, iya itu Ayah Tuhan kami Isa Almasih, yang tŭlah mŭmbŭrkati kami dŭngan sagala bŭrkat rohani yang deri dalam shorga ulih Almasih. Spŭrti tŭlah dipileh Allah akan kami ulih Isa tŭrdahulu deripada kajadian dunia, supaya kami patut mŭnjadi suchi dŭngan tiada bŭrchachat dihadapannya kŭrna kasih. Maka tŭlah ditakdirkan Allah akan kami kapada pangkat anak anak angkat bagienya, iya itu ulih Isa Almasih mŭnurot kŭrelaan kahandaknya. Akan mŭmuji kamulian anugrahnya, dalam itupun iya tŭlah mŭnjadikan kami dipŭrkŭnankannya ulih sŭbab kakasihnya. Maka deripada Isalah kami tŭlah tŭrtŭbus ulih sŭbab bŭrkat darahnya, iya itu ampunan sagala dosa, mŭnurot kŭkayaan anugrahnya, Yang tŭlah dilempahkan Allah bagie kami dŭngan sagala hikmat dan bijaksana; Sŭbab sudah dibrinya tahu pada kami akan rahsia kahandaknya itu mŭnurot kŭrelaannya yang tŭlah ditŭntukannya dalam dirinya; Supaya dalam pŭratoran sagala waktu yang akan digŭnapi itu bulihlah Tuhan mŭnghimponkan sama sama mŭnjadi satu sagala pŭrkara itu bagie Almasih, iya itu baik yang dishorga, baik yang didunia, bagienya juga.
EFESUS 1:3-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Segala puji bagi Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus, yang telah memberkati kita dengan segala berkat rohani di syurga dalam Kristus. Sebabnya Dia telah memilih kita dalam Kristus sebelum dunia ini dijadikan, supaya kita suci dan tidak bercela di hadapan-Nya. Dalam kasih, Dia telah menentukan kita dari mulanya untuk diangkat sebagai anak oleh Yesus Kristus kepada diri-Nya, menurut keredaan dan kehendak-Nya — supaya terpujilah kemuliaan kasih kurnia-Nya, yang dirahmati-Nya kepada kita dalam Dia yang dikasihi-Nya. Dalam-Nya kita mendapat penebusan melalui darah-Nya, pengampunan dosa, menurut limpah kasih kurnia-Nya yang dilimpahkan-Nya kepada kita dengan segala kebijaksanaan dan pengertian. Dia memberitahu kita rahsia kehendak-Nya, menurut keredaan-Nya yang sudah ditentukan-Nya dalam Kristus, bahawa setelah sampai masa pelaksanaannya — Dia akan menyatukan segala sesuatu di bawah Kristus sebagai Kepala, baik yang di syurga mahupun yang di bumi.