PENGKHUTBAH 8:14-17
PENGKHUTBAH 8:14-17 Alkitab Berita Baik (BM)
Tetapi hal itu tidak betul. Lihatlah apa yang terjadi di dunia; kadang kala orang baik menerima hukuman yang sepatutnya diterima oleh orang jahat, sedangkan orang jahat menerima ganjaran yang sepatutnya diterima oleh orang baik. Hal itu pun sia-sia. Oleh itu, aku yakin bahawa orang harus bergembira. Hanyalah makan, minum, dan bersuka-ria yang dapat dinikmati mereka. Setidak-tidaknya mereka dapat berbuat demikian semasa bersusah payah sepanjang hayat yang diberikan Allah kepada mereka di dunia ini. Apabila aku mencuba mendapat hikmat dan memahami segala yang berlaku di dunia ini, aku sedar bahawa walaupun kita berjaga siang dan malam, kita tidak memahami perbuatan Allah. Bagaimanapun kita mencuba, kita tidak akan memahaminya. Orang yang bijaksana mengaku bahawa mereka faham, tetapi sebenarnya tidak.
PENGKHUTBAH 8:14-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ada kesia-siaan yang berlaku di bumi: ada orang salih yang menerima balasan yang patut bagi perbuatan orang fasiq, dan ada orang fasiq yang menerima pahala yang patut bagi perbuatan orang salih. Aku berkata: “Ini pun kesia-siaan.” Maka aku mensyukuri segala nikmat kehidupan kerana di bawah matahari, tiada yang lebih baik daripada makan, minum dan bersifat ceria bagi manusia. Itu yang mengiringi segala usahanya berpenat lelah sepanjang usia yang dianugerahkan Allah kepadanya di bawah matahari. Ketika kutetapkan hati untuk memahami hikmah dan melihat manusia berhemah menjalani kehidupan di dunia dengan penuh ketekunan hingga tidak tidur siang malam, nyatalah kepadaku bahawa manusia tidak dapat memahami erti segala perbuatan yang dilakukan Allah di bawah matahari. Betapa kuat ketekunan manusia berpenat lelah pun, dia tidak mampu menyelaminya. Bahkan orang bijaksana yang mendakwa dia mengetahuinya juga tidak dapat menyelaminya.