PENGKHUTBAH 4:8-12
PENGKHUTBAH 4:8-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Ada orang yang hidup seorang diri tanpa anak ataupun saudara. Namun, dia tidak berhenti-henti bekerja. Dia tidak puas hati dengan harta yang dimilikinya. Bagi siapakah dia membanting tulang serta menolak segala kesenangan? Bukankah itu sia-sia, dan satu cara hidup yang menyedihkan? Berdua lebih baik daripada seorang diri, kerana bersama-sama mereka dapat bekerja dan hasilnya lebih baik. Jika seorang jatuh, yang seorang lagi dapat menolongnya. Tetapi jika orang itu sendirian, lalu jatuh, malanglah dia kerana tiada sesiapa yang menolongnya. Jika dua orang tidur bersama-sama mereka dapat saling menghangatkan badan, tetapi bagaimanakah seorang menjadi hangat jika dia sendirian? Orang yang sendirian mudah dikalahkan, tetapi dua orang dapat menentang serangan. Tiga utas tali yang dipintal menjadi satu, susah diputuskan.
PENGKHUTBAH 4:8-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ada seorang yang hidup bersendirian, yang tiada anak lelaki atau saudara lelaki. Biarpun dia tidak henti-henti berusaha dengan jerih lelah, namun matanya tetap tidak puas dengan kekayaan; lalu bertanyalah dia: “Untuk siapakah aku berjerih lelah dan menolak kesenangan ini?” Itu pun kesia-siaan dan perkara yang teruk. Berdua lebih baik daripada bersendiri kerana mereka menerima upah yang baik atas penat lelah mereka. Seandainya ada antara mereka yang jatuh, yang seorang lagi akan mengangkat temannya, tetapi malangnya orang yang jatuh dan tiada sesiapa untuk mengangkatnya! Juga apabila orang tidur berdua, mereka akan terasa panas, tetapi bagaimana yang tidur bersendirian dapat berasa panas? Dan orang yang bersendirian dapat ditewaskan, dua orang dapat bertahan. Tiga utas tali yang dipintal memang tidak mudah diputuskan.