PENGKHUTBAH 1:12-18
PENGKHUTBAH 1:12-18 Alkitab Berita Baik (BM)
Aku, Si Pemikir, telah menjadi raja Israel di Yerusalem. Aku bertekad untuk mengkaji dan mempelajari dengan bijaksana segala yang dilakukan di dunia ini. Hidup yang ditentukan oleh Allah bagi manusia di dunia sungguh menyedihkan. Aku telah melihat segala perbuatan orang di dunia, dan sesungguhnya semua itu sia-sia seperti mengejar angin. Yang bengkok tidak dapat diluruskan; yang tidak wujud tidak dapat dihitung. Aku berkata dalam hati, “Aku telah menjadi agung, lebih bijak daripada sesiapa pun yang pernah memerintah Yerusalem sebelum zamanku. Aku tahu akan hikmat dan pengetahuan yang sebenar.” Aku bertekad untuk mengetahui perbezaan antara pengetahuan dan kebodohan, antara hikmat dan kebebalan. Tetapi ternyata aku ini seperti mengejar angin sahaja. Semakin banyak hikmat, semakin banyak kekhuatiran. Semakin banyak pengetahuan, semakin banyak penderitaan.
PENGKHUTBAH 1:12-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku, Pengkhutbah, ialah raja pemerintah Israel di Yerusalem. Maka sepenuh hatiku aku tetapkan untuk menerapkan hikmah demi menyelidiki segala yang terjadi di bawah langit. Berat, teruk lagi menghibakan, pekerjaan yang diberikan Allah kepada anak-anak manusia. Telah aku lihat segala perbuatan yang dilakukan orang di bawah matahari, dan lihatlah, betapa segala-galanya semata-mata kesia-siaan bagaikan usaha menjaring angin. Yang bongkok tidak dapat diluruskan, dan apa yang tiada tidak dapat dihitung. Berbicaralah aku dengan hatiku sendiri: “Lihatlah, aku kini hebat dan hikmahku jauh lebih daripada yang dimiliki oleh semua orang yang memerintah Yerusalem sebelum aku. Ya, hatiku sudah mengalami begitu banyak hikmah dan ilmu pengetahuan.” Maka sepenuh hatiku aku tetapkan untuk mengenali hikmah dan mengenali segala yang gila dan yang bodoh. Tetapi aku sedari itu pun usaha menjaring angin. Ada banyak kehibaan dalam banyak hikmah, dan sesiapa yang menambah ilmu pengetahuan sekadar meningkatkan sakit dan rasa hiba.