ULANGAN 8:2-6
ULANGAN 8:2-6 Alkitab Berita Baik (BM)
Ingatlah bagaimana TUHAN, Allah kamu memimpin kamu dalam perjalanan jauh di padang gurun selama empat puluh tahun yang lampau; Dia mendatangkan kesukaran untuk menguji kamu supaya Dia dapat mengetahui isi hati kamu, dan mengetahui sama ada kamu akan taat kepada perintah-Nya atau tidak. Dia membiarkan kamu kelaparan lalu memberi kamu manna, iaitu sejenis makanan yang belum pernah dimakan oleh kamu atau nenek moyang kamu. Dia berbuat demikian untuk mengajar kamu bahawa manusia tidak hidup dengan roti sahaja, melainkan dengan tiap-tiap firman TUHAN. Selama empat puluh tahun itu, pakaian kamu tidak menjadi usang, dan kaki kamu tidak menjadi bengkak. Ingatlah, TUHAN, Allah kamu menegur ajar kamu sama seperti seorang bapa menegur ajar anak-anaknya. Oleh itu, patuhilah perintah TUHAN; hiduplah menurut hukum-Nya dan taatilah Dia.
ULANGAN 8:2-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ingatlah seluruh perjalanan yang kamu tempuh dalam pimpinan TUHAN, Allahmu, di gurun selama empat puluh tahun ini. Melalui semua itu Dia bermaksud untuk merendahkan hatimu, menguji kamu, dan mengetahui apa yang ada dalam hatimu, sama ada kamu mahu berpegang teguh pada segala perintah-Nya atau tidak. Dia merendahkan hatimu, membiarkan kamu lapar, dan memberi kamu makan manna, iaitu makanan yang belum pernah dikenali, baik oleh kamu mahupun oleh nenek moyangmu, supaya kamu sedar bahawa manusia hidup bukan dengan roti sahaja, tetapi dengan setiap firman yang keluar daripada mulut TUHAN. Selama empat puluh tahun ini pakaianmu tidak menjadi usang pada tubuhmu dan kakimu pun tidak menjadi bengkak. Maka sedarilah dalam hatimu bahawa seperti seseorang yang mendidik anaknya, demikianlah TUHAN, Allahmu, mendidik kamu. Oleh sebab itu peganglah dengan teguh pada segala perintah TUHAN, Allahmu, dengan cara tetap melangkah mengikut jalan-Nya serta takut kepada-Nya.