ULANGAN 8:2,10-18
ULANGAN 8:2 Alkitab Berita Baik (BM)
Ingatlah bagaimana TUHAN, Allah kamu memimpin kamu dalam perjalanan jauh di padang gurun selama empat puluh tahun yang lampau; Dia mendatangkan kesukaran untuk menguji kamu supaya Dia dapat mengetahui isi hati kamu, dan mengetahui sama ada kamu akan taat kepada perintah-Nya atau tidak.
ULANGAN 8:10-18 Alkitab Berita Baik (BM)
Kamu akan mendapat semua yang kamu ingin makan, dan kamu akan bersyukur kepada TUHAN, Allah kamu untuk tanah subur yang diberikan-Nya kepada kamu.” “Pastikanlah supaya kamu tidak lupa akan TUHAN, Allah kamu. Jangan gagal mentaati satu hukum pun yang aku berikan kepada kamu hari ini. Apabila kamu sudah mendapat segala yang kamu ingin makan, dan telah membina rumah-rumah baik sebagai tempat tinggal kamu; apabila lembu dan domba, emas dan perak, serta segala harta kamu yang lain sudah bertambah banyak, pastikanlah supaya kamu tidak menjadi sombong, dan tidak lupa akan TUHAN, Allah kamu yang telah membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu diperhamba dahulu. Dia telah memimpin kamu melalui padang gurun yang luas dan menakutkan itu, tempat yang dihuni ular berbisa dan kala jengking. Di tanah yang kering dan tidak berair itu, Dia memancarkan air dari bukit batu untuk kamu. Di padang gurun Dia memberi kamu manna, sejenis makanan yang tidak pernah dimakan oleh nenek moyang kamu. Dia mendatangkan kesukaran untuk menguji kamu, supaya pada akhirnya Dia dapat berbuat baik kepada kamu. Oleh itu, jangan sekali-kali berfikir bahawa kamu menjadi kaya kerana kuasa dan kekuatan kamu sendiri. Ingatlah, bahawa TUHAN, Allah kamu itulah yang menjadikan kamu kaya. Dia melakukan hal itu kerana sampai hari ini, Dia masih setia kepada perjanjian yang dibuat-Nya dengan nenek moyang kamu.
ULANGAN 8:2 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ingatlah seluruh perjalanan yang kamu tempuh dalam pimpinan TUHAN, Allahmu, di gurun selama empat puluh tahun ini. Melalui semua itu Dia bermaksud untuk merendahkan hatimu, menguji kamu, dan mengetahui apa yang ada dalam hatimu, sama ada kamu mahu berpegang teguh pada segala perintah-Nya atau tidak.
Ulangan 8:10-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kamu akan makan sampai kenyang dan kamu akan memuji TUHAN, Allahmu, atas negeri yang baik yang dikurniakan-Nya kepadamu. Hati-hati, jangan sampai kamu lupa TUHAN, Allahmu, dengan tidak berpegang teguh pada segala perintah-Nya, peraturan-Nya, dan kanun-Nya yang kusampaikan kepadamu pada hari ini. Setelah kamu makan sampai kenyang, setelah kamu membina rumah-rumah yang baik dan tinggal di dalamnya, setelah bertambah banyak kawanan lembu dan kawanan dombamu, juga perak dan emas kamu, serta segala sesuatu yang kamu miliki, jangan sampai kamu menjadi takbur dan lupa TUHAN, Allahmu, yang membawa kamu keluar dari Tanah Mesir, dari tempat perhambaan. Dialah yang memimpin kamu berjalan di gurun yang luas dan menakutkan, tempat ular berbisa dan kala jengking, dengan tanah yang kering kontang dan tidak berair. Dialah yang telah memancarkan air bagimu dari batu pejal yang keras, dan Dia jugalah yang telah memberi kamu makan manna di gurun, iaitu makanan yang belum pernah dikenal oleh nenek moyangmu. Maksud semua itu ialah untuk merendahkan hatimu serta menguji kamu, sehingga akhirnya membuahkan kebaikan bagimu. Jangan sampai kamu berkata dalam hatimu, ‘Kekuatan dan keperkasaan tangankulah yang membuat aku memiliki kekayaan ini.’ Sebaliknya, ingatlah TUHAN, Allahmu, kerana Dialah yang memberikan kepadamu kekuatan untuk memperoleh kekayaan itu, demi meneguhkan perjanjian yang telah Dia sumpah kepada nenek moyangmu, seperti pada hari ini.