ULANGAN 7:1-6
ULANGAN 7:1-6 Alkitab Berita Baik (BM)
“TUHAN, Allah kamu akan membawa kamu ke tanah yang akan kamu duduki, dan Dia akan mengusir banyak bangsa dari tanah itu. Semasa kamu bergerak maju, Dia akan mengusir tujuh bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada kamu: orang Het, Girgasi, Amori, Kanaan, Feris, Hewi, dan Yebusi. Apabila TUHAN, Allah kamu menyerahkan bangsa-bangsa ini kepada kamu, dan kamu mengalahkan mereka, kamu mesti membunuh mereka semua. Jangan ikat perjanjian dengan mereka, dan jangan kasihani mereka. Jangan berkahwin dengan mereka, dan jangan biar anak-anak kamu berkahwin dengan mereka, kerana mereka akan menjauhkan anak-anak kamu daripada TUHAN, sehingga anak-anak kamu itu menyembah tuhan-tuhan lain. Jika hal itu berlaku, TUHAN akan murka terhadap kamu dan membinasakan kamu dengan serta-merta. Oleh itu, robohkanlah mazbah-mazbah bangsa-bangsa itu, hancurkanlah tiang-tiang batu keramat, tumbangkanlah lambang-lambang Dewi Asyera, dan bakarlah berhala-berhala mereka. Lakukanlah hal itu, kerana kamu milik TUHAN, Allah kamu. Dari antara semua bangsa di bumi, Dia memilih kamu untuk menjadi umat-Nya yang istimewa.
ULANGAN 7:1-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Apabila TUHAN, Allahmu, membawa kamu ke negeri yang akan kaumasuki serta duduki, Dia akan mengusir banyak bangsa dari hadapanmu, iaitu orang Het, orang Girgasi, orang Amori, orang Kanaan, orang Feris, orang Hewi, dan orang Yebus iaitu tujuh jenis bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada kamu. Pada masa TUHAN, Allahmu, menyerahkan mereka kepadamu sehingga mereka kamu kalahkan, hendaklah kamu menumpaskan mereka sama sekali. Jangan ikat perjanjian dengan mereka dan jangan kasihani mereka. Jangan saling berkahwin dengan mereka. Jangan berikan anak perempuanmu kepada anak lelaki mereka, dan jangan ambil anak perempuan mereka untuk menjadi isteri kepada anak lelakimu, kerana mereka akan membuat anak lelakimu menyimpang, tidak lagi mengikuti Aku, dan kemudian beribadat kepada tuhan-tuhan lain. Jika demikian halnya, maka murka TUHAN akan menyala atas kamu dan Dia akan membinasakan kamu dengan segera. Sebaliknya, hendaklah kamu melakukan begini terhadap mereka: robohkanlah segala mazbah tempat pembakaran korban mereka, hancurkanlah segala tiang berhala mereka, tebanglah patung berhala Asyera mereka, dan bakarlah habis patung-patung ukiran mereka, kerana kamu umat yang suci bagi TUHAN, Allahmu. Kamu telah dipilih oleh TUHAN, Allahmu, untuk menjadi umat kesayangan-Nya daripada semua bangsa yang ada di muka bumi.